Categories
SELANGOR

Abdul Khalid, Azmin bertemu bincangkan Belanjawan Selangor 2014

Anwar-MB-2
SHAH ALAM 29 OKT: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Penyokong Kerajaan Selangor, Mohamed Azmin Ali dan pimpinan lain merangka Belanjawan Selangor 2014.

Menteri Besar itu berkata, pertemuan berkala dengan pemimpin Pakatan Rakyat perlu bagi memastikan setiap agenda kemajuan negeri sentiasa diberi perhatian utama demi kepentingan rakyat.

“Saya juga menggalakkan perbincangan berterusan untuk merangka strategi,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan lobi Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini, petang ini.

Pertemuan itu menjadi tumpuan ramai berikutan ia berlangsung ketika media tempatan memberi gambaran gambaran kononnya berlaku pergeseran antara kedua-dua pemimpin berkenaan.

Sebelum ini, beberapa media tempatan menerbitkan berita yang membawa persepsi kononnya Azmin bakal mengambil alih teraju kerajaan negeri tetapi ia sudah dinafikan pemimpin itu sendiri, semalam.

Malah, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mempertahankan kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR pula berkata, ia pertemuan biasa antara pimpinan Pakatan Rakyat untuk mendapatkan gambaran jelas berkaitan Belanjawan Selangor sebelum ia diumumkan tidak lama lagi.

Sebagai Pengerusi BBC Selangor, beliau berkata, perbincangan mengenai Belanjawan Selangor dengan Abdul Khalid perlu supaya ia dapat dipertahankan diputar belit media arus perdana.

“Kita bertanggungjawab untuk memberi idea dan pandangan sebagai parti yang diangkat sebagai kerajaan harus diberi peluang untuk menyatakan pandangan, tidak timbul soal campur tangan,” katanya.

Selain Belanjawan Selangor, mereka juga berbincang pelbagai perkara lain bagi memajukan negeri dan member manfaat kepada segenap lapisan rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.