Categories
SELANGOR

Jentera PAS Selangor sedia gempur Sungai Limau

PRK DUN Sungai LimauSHAH ALAM 22 OKT : PAS Selangor berkeyakinan tinggi untuk menggempur Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK), pada 4 November ini.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman, berkata jentera PAS Selangor sudah tiba di Sungai Limau sejak pengumuman calon yang diumumkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, semalam.

Katanya, seramai 15 orang ditempatkan di setiap kawasan DUN berkenaan mulai semalam sehingga tarikh pembuangan undi, awal bulan hadapan.

“Jentera PAS Selangor sudah mula tiba semalam di Sungai Limau dan kita sudah buat jadual untuk mereka sepanjang tempoh tertentu bagi membantu jentera PAS Kedah dalam mengekalkan kemenangan di DUN berkenaan,” katanya kepada TV Selangor, di sini, hari ini.

Abdul Rani berkata, beliau yakin PAS dapat mempertahankan kerusi berkenaan yang sebelum ini disandang mantan Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abu Bakar, yang meninggal dunia, pada 26 September lalu.

PAS mempertaruhkan bekas guru, Azam Samad, sebagai calonnya bagi berdepan dengan calon BN iaitu bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ahmad Sohaimi Lazim.

Mengikut rekod, DUN Sungai Limau mempunyai 27,287 pengundi yang majoritinya adalah Melayu dengan 40 peratus adalah pengundimuda.

Empat daripada 19 buah pusat daerah mengundi yang dianggap kritikal bagi BN adalah Bukit Besar, Matang Buloh, Sungai Dedap dan Bukit Choras kerana majoriti undi lebih memihak PAS.

Pada PRU13, Azizan mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 2,774 undi dalam saingan empat penjuru yang turut membabitkan sepupunya, Mohd Fazillah Mohd Ali dari BN.

-NFN-

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.