Categories
SELANGOR

Kenaikan harga gula beri kesan sambutan Deepavali

deepavali

deepavali2BANDAR TUN RAZAK 29 OKT: Kesan pemotongan subsidi gula sebanyak RM0.34 yang diumumkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pembentangan Belanjawan Negara 2014 memberi kesan sempena sambutan perayaan Deepavali, pada 2 November ini.

Peningkatan harga daripada 2.50 sekilogram kepada RM2.84 dilihat menjadi beban kepada masyarakat India kerana kuih-muih terutama manisan yang sinonim dengan mereka menggunakan gula.

Pemotongan subsidi yang berkuatkuasa, pada 26 Oktober lalu, dibuat atas alasan mengurangkan jumlah pesakit diabetes yang agak membimbangkan di Malaysia, selain dapat menjimatkan perbelanjaan negara sebanyak RM64.02 juta tahun ini dan RM551.25 juta bagi 2014.

Mulai 26 Oktober lalu, harga gula dinaikkan daripada RM2.50 sekilogram kepada RM2.84 selepas pengumuman pemansuhan subsidi sebanyak RM0.34 dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2014 sehari sebelum itu.

Beberapa individu yang ditemui pada majlis penyerahan sumbangan Sambutan Deepavali peringkat Parlimen Bandar Tun Razak melahirkan kekecewaan di atas keputusan kerajaan itu.

Penduduk, K Palanivel, ketika ditemui melahirkan kekecewaan ekoran kenaikan harga barangan sebelum sambutan Deepavali dan bebanan yang ditanggung rakyat mungkin tidak terlalu dirasakan, jika kenaikan dilaksanakan selepas sambutan perayaan itu.

“Memang kenaikan barangan tidak perlu berlaku dan saya sangat sedih dengan tindakan kerajaan ini. Bukan saya seorang, tetapi smeua rakyat Malaysia  makan gula, jadi keputusan ini memang tidak wajar berlaku, apatah lagi ketika sambutan Deepavali hampir tiba,” katanya.

Bagi seorang lagi penduduk, M Sarojini, kenaikan harga gula menyebabkan dia terpaksa mengatur perbelanjaan berhemah bagi menghadapi perayaan Deepavali.

“Perbelanjaan terpaksa dikurangkan kerana saya bimbang barangan lain akan turut naik disebabkan peningkatan harga gula,” katanya.

Majlis penyerahan itu disempurnakan isteri Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Puan Seri Salbiah Tunut sambil diiringi Ahli Parlimen berkenaan yang juga Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, di sini, malam tadi.

Sempena sambutan Deepavali, Parlimen Bandar Tun Razak memberikan sumbangan wang tunai RM50 beserta barangan keperluan seperti beras, gula dan tepung kepada 100 penduduk kurang berkemampuan sekitar kawasan berkenaan. -NFN-

deepavali3

Leave a Reply

Your email address will not be published.