Categories
SELANGOR

PEMADAM seru pemimpin masyarakat bantu penagih dadah

 

01

SHAH ALAM 23 OKT: Setiap pemimpin masyarakat terutama ketua kampung diseru untuk memainkan peranan dalam menangani penyalahgunaan dadah.

Pengerusi PEMADAM Selangor, Dr Abdul Rani Osman, berkata permasalahan itu perlu ditangani secara penghapusan holistik dan menyeluruh membabitkan semua pihak.

“Kalau kita sering dengar ungkapan ‘Charity begins at home’, anti dadah juga perlu bemrula dari rumah. Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dengan memberi tumpuan yang serius untuk menangani isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam program bual bicara Selangorku yang turut dihadiri Setiausaha PEMADAM, Faiz Ismail dan Pegawai Perhubungan Awam Kumpulan Media KARANGKRAF, Hashim Anang, di TV Selangor, baru-baru ini.

Abdul Rani berkata, Selangor akan menjadi tuan rumah pada Perhimpunan Agong Tahunan Pemadam Kebangsaan Ke-38 bertempat di The Summit Hotel, Subang Jaya, pada 27 Oktober ini.

Sementara itu, Pengerusi Biro Jagaan Lanjutan dan Penawar PEMADAM Kebangsaan, Datuk Dr Mohd Yasir Ehsan, menyarankan supaya ketua kampung seluruh negara turut bekerjasama mengenalpasti jumlah penagih dadah di kawasan mereka bagi mengekang lambakan kumpulan berkenaan.

“Sebenarnya kita ingin mengajak ketua kampung untuk mengumpul dan mengetahui data serta statistik ini. Daripada data yang dikumpulkan itu, kita akan mengetahui bilangan penagih yang boleh dibantu.

“Bagi saya, kalau ingin bebas daripada dadah, kita harus fokus kepada kampung tertentu yang tidak mempunyai masalah itu. Sebagai contoh di Selangor adalah di Kampung Indah yang dipimpin dengan baik dan perlu dicontohi dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah oleh masyarakat di situ,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.