Categories
NASIONAL

Pro-M UIA sasar menang 20 kerusi pada Pilihan Raya Kampus

grafik-kampus-uia

SHAH ALAM 29 OKT : Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mensasarkan kemenangan 20 kerusi daripada 27 kerusi kuliah yang dipertandingkan dalam pertembungan dengan Pro-Aspirasi (Aspirasi) pada Pilihan Raya Kampus 2013-2014 (PRK 2013-2014).

Pengerusi Pro-M, Muhammad Najib Abdurrahim, berkata 20 kerusi kuliah itu membabitkan pertandingan di Kampus Gombak dan Kampus Kuantan.

“Keyakinan kita adalah untuk mengekalkan kemenangan seperti yang dilakukan pada tahun sebelum ini dan kita nampak beberapa cabaran sebelum ini muncul daripada beberapa pihak,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, hari ini.

Pada pertembungan kali ini, sebanyak 14 kerusi kuliah dipertandingkan di Kampus Gombak, sementara 13 kerusi lagi di Kampus Kuantan dan Pro-M turut menyapu bersih kesemua 27 kerusi kuliah yang dipertandingkan, pada PRK 2012-2013.

Najib berkata, sepanjang tempoh berkempen terdapat beberapa kejadian yang menjadi pertikaian mereka terutama membabitkan peraturan berkempen.

Selain itu, Pro-M mendakwa terdapat enam orang calon bertanding mendapat penajaan daripada pihak pengurusan pentadbiran.

“Isu yang kita bawa sekarang adalah pertikaian peraturan yang berubah sesuka hati tanpa ada hitam putih. Terdapat pengedaran risalah memburukkan calon bertanding selain mengaitkan kami dengan parti politik luar dan ditaja, namun ini adalah satu tuduhan liar apabila tidak mengemukakan bukti,” katanya.

UIAM akan menggunakan cara pengundian secara manual untuk tahun kedua dan semua petugas hari pengundian Pro-M diberikan latihan bagi memastikan tidak ada penipuan yang berlaku sepanjang hari pembuangan undi, pada PRK kali ini.

“Untuk mengatasi penipuan, kita ambil pengajaran PRK sebelum ini iaitu memberi latihan kepada agen mengundi kerana sebelum ini menggunakan ‘e-voting’. Kita juga sudah susun perancangan keselamatan peti undi supaya selamat sampai tanpa sebarang manipulasi,” katanya.

Proses pembuangan undi PRK UIAM akan berlangsung esok yang bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dan dijangka keputusan akan diumumkan paling awal sekitar jam 8 malam.

-EZY-

Leave a Reply

Your email address will not be published.