Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lega dapat vaksin negeri, suntikan di kampus UIAM mudahkan penuntut

GOMBAK, 19 OGOS: Mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) lega apabila selesai menerima suntikan dos pertama menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti semalam.

Abdul Qayyum Fadzlin, 20, berkata pemberian pelalian Covid-19 di dalam kampus memudahkan penuntut khususnya yang tidak memiliki kenderaan untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV) luar.

Pelajar, Abdul Qayyum Fadzlin, 20. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menurut pelajar tahun satu jurusan sosiologi, dia membatalkan janji temu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di sebuah hospital di ibu kota awal bulan ini berikutan lokasinya jauh dari kampus.

“Apabila dimaklumkan mengenai program Selvax melalui poster yang dikongsikan di kumpulan WhatsApp, saya terus hadir ke PPV ini dan terlebih dahulu mendaftar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Saya tidak perlu bersusah payah keluar, hanya berjalan dari asrama yang mengambil masa kurang 15 minit untuk sampai malah prosesnya cukup mudah dan pantas,” katanya kepada Selangorkini.

Hafizzurahman Abu Baqr Hudri, 20, pula menyambut baik pelaksanaan program tersebut bagi mewujudkan imuniti kelompok dalam kalangan pelajar dan kakitangan.

Pelajar, Hafizzurrahman Abu Baqr Hudri, 20. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Penuntut tahun pertama jurusan bahasa Inggeris berkata kerjasama universiti dengan Kerajaan Selangor mampu mencegah jangkitan sporadik di kawasan kampus.

“Memandangkan sebelum ini ada beberapa kes Covid-19 dikesan di kampus, jadi penting untuk membina imuniti kelompok melalui program seperti ini supaya kesihatan dan keselamatan pelajar lebih terjamin.

“Walaupun sekarang cuti semester, ramai dalam kalangan kami yang menginap di asrama dan memilih untuk tidak pulang ke rumah kerana bimbang risiko kepada ahli keluarga,” kata anak ketiga dari lima beradik yang berasal dari Kuala Lumpur.

Bagi Farra Naylia Nasya Burhan Shukri dia bersyukur kerana layak menerima vaksin meskipun usianya akan mencapai 18 tahun pada Disember ini.

Pelajar, Farra Naylia Nasya Burhan Shukri, 18. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pelajar tingkatan enam dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gombak Setia berkata dia teruja untuk mendapat suntikan memandangkan sesi persekolahan akan dibuka tidak lama lagi.

“Prosesnya sedikit rumit kerana perlu cetak borang pengesahan dan bawa penjaga ke PPV, namun saya gembira boleh menyertai kawan-kawan lain yang kebanyakannya sudah divaksin,” kata anak bongsu dari empat beradik.

Kerajaan Negeri bekerjasama dengan UIAM bagi meningkatkan kadar suntikan vaksin dalam kalangan pelajar dan kakitangan.

Sebanyak 10,000 dos diperuntukkan dengan 5,000 daripadanya digunakan untuk suntikan dos pertama bermula kelmarin sehingga semalam manakala baki untuk dos kedua.

Categories
AGENDA NASIONAL

75 peratus penuntut, kakitangan UIAM terima vaksin

75 peratus penuntut, kakitangan UIAM terima vaksin

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

GOMBAK, 19 OGOS: Sebanyak 75 peratus daripada 31,500 penuntut dan kakitangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menerima suntikan pelalian Covid-19 setakat ini.

Pengarah pusat pemberian vaksin (PPV) UIAM berkata jumlah itu membabitkan dos pertama dan kedua menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) serta Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti.

“Dengan perkembangan ini, kita percaya sasaran 85 peratus pelajar dan kakitangan menerima vaksin mampu dicapai menjelang semester baharu yang bakal dibuka pada Oktober depan.

“Ia penting bagi memudahkan sesi pembelajaran walaupun kita mempunyai banyak pilihan dan tidak semestinya dibuat secara fizikal semata-mata,” kata Dr Muhammad Faris Abdullah ketika ditemui pada program Selvax Komuniti di sini semalam.

Beliau turut menghargai peluang diberikan Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dalam program tersebut bagi meningkatkan kadar suntikan vaksin kepada pelajar dan kakitangan.

“Sebelum ini kita cuba menubuhkan PPV tetapi akhirnya dapat peluang dengan Kerajaan Negeri. Kita akan berusaha sebaik mungkin untuk pastikan pelajar dan kakitangan divaksin segera,” katanya.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin menerusi Selvax Komuniti untuk dimanfaatkan 250,000 rakyat negeri ini.

Usaha itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jadi duta Islam dalam mencari keredaan Illahi

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) perlu menjadi duta kepada integrasi, Islamisasi, pengantarabangsaan dan kecemerlangan menyeluruh dalam mencari keredaan Illahi, titah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Tunku Azizah yang juga Ketua Perlembagaan (Canselor) UIAM,juga menasihati para graduan agar menggunakan ilmu yang mereka perolehi daripada universiti itu untuk menjadikan dunia ini lebih baik daripada apa yang ada sekarang.

“Keadaan ummah memerlukan, lebih daripada biasa, bahawa kita bangkit dengan kebijaksanaan, keyakinan, keberanian dan tekad. Apa pun cabaran, kita tidak boleh, dan tidak harus berputus asa, kerana itu akan menafikan intipati Islam yang menjadi Raḥmatan Lil-‘Alamin atau rahmat kepada sekelian alam, “titah baginda.

Baginda bertitah kepada 577 graduan sebelum permulaan majlis penganugerahan pertama pada majlis konvokesyen IIUM ke-35, di sini hari ini.

Tunku Azizah, yang juga wanita pertama yang diisytiharkan Ketua Perlembagaan UIAM, menyeru graduan supaya mempersiapkan diri dalam menghadapi cabaran termasuk sosial, budaya, politik, ekonomi, rohani dan peradaban.

Baginda percaya UIAM telah menyediakan graduannya untuk menghadapi cabaran dengan kebijaksanaan, keyakinan, keberanian dan tekad.

“Keberanian bukan tentang memanjat gunung paling tinggi. Ini adalah tentang menjadi diri anda sebenar. Ia adalah mengenai berpegang teguh kepada iman kita, dengan kekuatan dan keyakinan. Ini adalah tentang memenuhi ‘amanah’ Ilahi.

“Dengan konvokesyen ini, anda berdiri di ambang yang menandakan permulaan yang baharu, satu perjalanan baru. Pembelajaran adalah proses sepanjang hayat. Belajar daripada orang-orang di sekeliling anda. Belajar daripada keadaan baru anda. Belajar daripada sejarah dan belajar daripada kehidupan, “titah baginda.

Tunku Azizah juga bertitah kepada para graduan bahawa mereka telah menamatkan pengajian dari sebuah institusi yang berbangga memanggil dirinya sebagai ‘Taman Ilmu dan Kebaikan’ di mana UIAM melambangkan sebuah taman, di mana ilmu dan kebaikan itu tumbuh dan makmur.

“Anda telah menyumbang dengan ketara dalam membina taman ini. Anda telah membantu dalam memastikan kebun itu menjadi yang mampan, dengan bukan sahaja sebagai penerima ilmu wahyu dan sains manusia tetapi juga pencipta bersama pengetahuan bersepadu dan menjadi pembawa serta penggerak kepada pengetahuan, sains dan kebaikan Islam itu sendiri, “titah baginda.

Baginda juga berbangga dengan usaha-usaha UIAM dalam mengutamakan ‘keperluan khusus’ pelajar dan kakitangan serta usaha menjangkau mereka yang memerlukan pendidikan.

“Ini sesungguhnya merupakan sebahagian daripada ‘rahmah’ atau ihsan dalam usaha kita untuk menyebarkan Rahmatan Lil-Alamin. Saya berbangga untuk mengumumkan kepada anda semua, bahawa UIAM sekali lagi ‘Memimpin Jalan’ bagi umat Muslim untuk mencerahkan masa depan’, “titah Tunku Azizah.

Tunku Azizah, yang tiba di majlis konvokesyen bersama puteri baginda Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah, disambut oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, Presiden UIAM Datuk Dr Mohd Daud Bakar dan Rektor UIAM Tan Sri Prof Emeritus Dzulkifli Abdul Razak.

Tahun ini seramai 5,445 graduan akan menerima skrol di peringkat ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah mengikut bidang pengajian masing-masing menerusi lapan sidang selama empat hari bermula hari ini.

Pada sidang itu, Permaisuri Agong turut berkenan menyampaikan 10 anugerah utama kepada graduan, antaranya Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Presiden, Anugerah BUDI dan Anugerah Rektor.

Tunku Azizah turut berkenan menyampaikan Anugerah Merit Ibn Khaldun 2019 kepada Majlis Kanser Nasional (MAKNA) sebagai menghargai sumbangan MAKNA atas usaha serta kepakaran menjaga kebajikan pesakit kanser.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Dr Maszlee sah bukan lagi Presiden UIAM

KLUANG, 6 JAN: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengesahkan beliau tidak lagi memegang jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), yang sepatutnya berakhir pada 2021.

Beliau berkata, surat perletakan jawatan telah ditandatanganinya dan kini menunggu pengumuman rasmi UIAM untuk pelepasan jawatan disandangnya bermula September tahun lalu.

“Saya kini bukan lagi Presiden UIAM, surat perletakan jawatan telah saya tandatangani, cuma kini menunggu pengumuman dari UIAM termasuk individu bakal menggantikan saya.

“Perletakan jawatan ini atas kerelaan saya dan demi kebaikan bersama,” katanya ketika diminta mengulas berkenaan kedudukannya dalam UIAM di sini. hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja dan memberikan sumbangan kelengkapan klinik di Klinik Kesihatan Simpang Renggam turut dihadiri Pakar Perubatan dan Kesihatan Keluarga Klinik Kesihatan Simpang Renggam, Dr Fatimah Hassan.

Dr Maszlee berkata, beliau turut berharap semua pihak dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada individu bakal menggantikan tempatnya.

Beliau turut enggan mengulas tarikh sah perletakan jawatannya selain enggan mengulas lanjut berkenaan desas-desus individu bakal menggantikannya iaitu bekas Naib Canselor UIAM, Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

Sementara itu, semasa lawatannya ke klinik kesihatan berkenaan beliau telah memberikan beberapa kelengkapan untuk kemudahan orang ramai termasuk kerusi menunggu dan alat pendingin hawa.

Katanya, pemberian sumbangan berkenaan adalah susulan daripada gambar dan berita diviralkan dalam media sosial mengenai beberapa kemudahan terbabit telah uzur serta tidak selesa untuk kegunaan umum.

“Hari ini kita berikan beberapa kemudahan di klinik di sini agar orang ramai terutamanya pesakit akan berada dalam keadaan selesa ketika menunggu giliran mereka untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Anwar dedah tolak jawatan Presiden UIAM

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 7 SEPT: Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan pernah menolak tawaran jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi sokongan sepenuhnya terhadap pentadbiran diterajui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, tindakan terbabit juga bagi memastikan kepimpinan Tun Dr Mahathir berada di landasan kukuh selepas mengambil alih pemerintahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Kerja saya sekarang apa? Tidak ada jawatan apa-apa. Saya beritahu Dr Mahathir juga ketika ini saya tidak mahu apa-apa.

“Baru ini dicadangkan sebagai presiden UIA juga saya tidak mahu, kerana saya nak sokong kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir,” katanya ketika ditemui pemberita pada Ceramah Perdana, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau sudah lama menolak tawaran itu dan enggan mengulas berhubung pelantikan Maszlee.

Katanya, pihaknya menyerahkan perkara terbabit ke kabinet untuk dibincangkan.

“Itu mereka bincang dalam kabinet,” katanya ringkas.

Terdahulu, Maszlee dilantik menggantikan Tan Sri Rais Yatim sebagai presiden kelapan UIA, berikutan kekosongan kerusi itu sejak tempoh perkhidmatan lima tahun Rais tamat kontrak Jun lalu.

Sebelumnya, Bahagian Komunikasi Korporat UIAM menerusi kenyataan, merakamkan setinggi tahniah atas pelantikan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik sebagai Presiden universiti selama tiga tahun, bahkan disambut baik warga universiti itu.

Bagaimanapun, pelantikan itu mengundang sedikit perselisihan faham memandangkan beliau adalah Menteri Pendidikan yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam.

Categories
PENDIDIKAN

UIAM wujud Kafe RnR dalam perpustakaan

OLEH NADIAH ZAMLUS

GOMBAK, 19 OGOS: Perpustakaan Dar Al-Hikmah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kini mempunyai Kafe Rehat dan Rawat (RnR).

Ketua Bahagian Korporat UIAM, Leenawati Razali berkata, kafe itu dijadikan sebagai tempat pembelajaran umum bagi mahasiswa untuk berbincang, mengkaji, bersosial dan juga merehatkan minda.

Katanya, ia juga mengikut trend semasa di negara moden hari ini di mana kafe layan diri dibina dalam perpustakaan.

“Kafe RnR di UIAM menyediakan perkhidmatan layan diri untuk membolehkan mahasiswa serta pengunjungnya membeli kopi, biskut serta snek, malah pengunjung juga boleh menggunakan mesin urut, dan ia boleh menampung lebih dari 40 hingga 50 orang dalam satu-satu masa.

“Perkhidmatan ini bertujuan untuk menjadikan kafe sebagai tempat yang lebih selesa untuk perbincangan dan bersantai,” katanya dalam kenyataan.

Kafe RnR itu dilancarkan oleh Rektor UIAM, Prof. Dato’ Sri Dr. Zaleha Kamarudin.

Menurut rekod, dari 2016 hingga 2017, pelawat harian ke perpustakaan UIAM meningkat kepada 1.2 juta, manakala pengunjung alam maya mencecah 3,000.

Categories
SELANGOR

Pro-M Kekal Penguasaan di UIA

grafik-kampus-uia

KUALA LUMPUR 31 OKT : Pro-Mahasiswa (PRO-M) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mempertahankan kemenangan Pilihan Raya Kampus (PRK) 2013-2014 apabila menewaskan Pro-Aspirasi (ASPIRASI) dengan memperoleh 22 kerusi daripada 25 kerusi dipertandingkan.

Kemenangan itu diumumkan Pengerusi Pro-M, Muhammad Najib Abdurrahim menerusi satu kenyataan media kepada TV Selangor.

Katanya, walaupun Pro-M berjaya mengekalkan kemenangan itu, namun terpaksa berhadapan kemerosotan undi di beberapa kuliah yang  memberikan tamparan hebat kepada mereka.

“Kami berjaya memenangi kerusi di kawasan panas iaitu di kuliah undang-undang. Kami mengucapkan tahniah dan takziah kepada semua calon yang memenangi PRK kali ini.

“Tidak lupa ucapan terima kasih ditujukan kepada semua pihak, khususnya pengundi dan tenaga jentera yang bertungkus-lumus berkempen demi memberi kemenangan kepada calon kami,? katanya.

Beliau berkata, mereka tidak akan mendiamkan isu berbangkit sepanjang perjalanan PRK dan akan mengumpulkan bukti untuk dibawa ke peringkat tertinggi supaya diberi perhatian serius.

PRK kali ini memperlihatkan 25 buah kerusi kuliah dipertandingkan di Kampus Gombak dan Kuantan yang menyaksikan PRO-M masih berjaya mengekalkan kemenangan walaupun gagal memenangi semua kerusi, seperti PRK 2012-2013.

Proses pengundian bermula sejak jam 9 pagi dan berakhir pada jam 5 petang dengan peratusan sebanyak 62.68% mahasiswa menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi, manakala keputusan rasmi PRK diumumkan jam 9.30 malam di tempat penjumlahan undi universiti itu. -NFN-

 

Categories
NASIONAL

Pro-M UIA sasar menang 20 kerusi pada Pilihan Raya Kampus

grafik-kampus-uia

SHAH ALAM 29 OKT : Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mensasarkan kemenangan 20 kerusi daripada 27 kerusi kuliah yang dipertandingkan dalam pertembungan dengan Pro-Aspirasi (Aspirasi) pada Pilihan Raya Kampus 2013-2014 (PRK 2013-2014).

Pengerusi Pro-M, Muhammad Najib Abdurrahim, berkata 20 kerusi kuliah itu membabitkan pertandingan di Kampus Gombak dan Kampus Kuantan.

“Keyakinan kita adalah untuk mengekalkan kemenangan seperti yang dilakukan pada tahun sebelum ini dan kita nampak beberapa cabaran sebelum ini muncul daripada beberapa pihak,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, hari ini.

Pada pertembungan kali ini, sebanyak 14 kerusi kuliah dipertandingkan di Kampus Gombak, sementara 13 kerusi lagi di Kampus Kuantan dan Pro-M turut menyapu bersih kesemua 27 kerusi kuliah yang dipertandingkan, pada PRK 2012-2013.

Najib berkata, sepanjang tempoh berkempen terdapat beberapa kejadian yang menjadi pertikaian mereka terutama membabitkan peraturan berkempen.

Selain itu, Pro-M mendakwa terdapat enam orang calon bertanding mendapat penajaan daripada pihak pengurusan pentadbiran.

“Isu yang kita bawa sekarang adalah pertikaian peraturan yang berubah sesuka hati tanpa ada hitam putih. Terdapat pengedaran risalah memburukkan calon bertanding selain mengaitkan kami dengan parti politik luar dan ditaja, namun ini adalah satu tuduhan liar apabila tidak mengemukakan bukti,” katanya.

UIAM akan menggunakan cara pengundian secara manual untuk tahun kedua dan semua petugas hari pengundian Pro-M diberikan latihan bagi memastikan tidak ada penipuan yang berlaku sepanjang hari pembuangan undi, pada PRK kali ini.

“Untuk mengatasi penipuan, kita ambil pengajaran PRK sebelum ini iaitu memberi latihan kepada agen mengundi kerana sebelum ini menggunakan ‘e-voting’. Kita juga sudah susun perancangan keselamatan peti undi supaya selamat sampai tanpa sebarang manipulasi,” katanya.

Proses pembuangan undi PRK UIAM akan berlangsung esok yang bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dan dijangka keputusan akan diumumkan paling awal sekitar jam 8 malam.

-EZY-

Categories
NASIONAL

Ahli akademik: Kemenangan pemimpin terpalit skandal petanda Umno hidapi sindrom beku, jumud

Dr-Maszlee

SHAH ALAM, 13 OKT: Kemenangan pemimpin terpalit skandal dana awam dan politik wang dalam Pemilihan Umno 2013 menunjukkan ahli parti itu tidak menganggap perbuatan salahguna kuasa dan rasuah sebagai satu dosa, sebaliknya menganggapnya sebagai hak pemimpin mereka.

Menurut pengananalis politik, Dr Maszlee Malik, kemenangan pemimpin dari golongan itu sekaligus membuktikan Umno bukan sahaja masih takut hendak berubah, malah turut dilanda sindrom beku dan jumud.

“Masalahnya mereka tak anggap rasuah itu sebagai rasuah tetapi anggap sebagai hak pemimpin Umno dan mana-mana Menteri dan ini menyebabkan pemimpin terus bertindak sewenang-wenangnya.

“Mereka sudah selesa dalam keadaan ini, jadi mengapa mereka perlu berubah?” Soal pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu ketika dihubungi TV Selangor.

Dr Maszlee menambah, Umno turut berhadapan isu ketandusan pemimpin yang mampu menongkah arus yang mempunyai visi jelas dan berani bagi membawa Umno keluar dari acuan politik lapuk serta masalah rasuah.

“Pemilihan Umno ini tidak mempunyai sebarang signifikan, malah masih berada di takuk lama, tak nak berubah kerana takut berubah, ketandusan pemimpin yang mempunya visi yang jelas dan berani menongkah arus seperti pemimpin Umno dahulu sebab itu kita Umno dianggap masih menghidapi sindrom beku dan jumud,” kata beliau lagi.

Selain itu, Umno juga dikatakan gagal meletakkan wanita sebagai salah satu komponen penting bagi memperjuangkan isu kebajikkan rakyat dan wanita khususnya.

Ini berbeza dengan pendekatan parti lain yang berjaya meletakkan wanita sebagai salah seorang pemimpin tertinggi mereka sepertimana Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah Anwar sebagai Presiden dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Dalam Umno, wanita hanya disempitkan dalam Wanita Umno dan Puteri Umno sahaja, lain dalam parti politik lain yang wanitanya boleh sampai ke Naib Presiden.

“Wanita berkaliber pun kebanyakkannya memilih tidak bersama Umno atau kalau bersama Umno sekadar mengikut arus yang ada,” ujar Dr Maszlee lagi.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Maszlee Senaraikan 11 Janji 2008 Tak Ditepati BN, Bolehkah Percaya Janji Baru?

DSC_1054

SHAH ALAM, 1 MEI: Umno-BN didapati tidak menepati janji yang dibuat dalam manifesto 2008 meskipun menang dalam Pilihan Raya Umum Ke- 12(PRU12) itu.

Menurut pensyarah Jabatan Ilmu Wahyu dan Ilmu Kemanusiaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Maszlee Malik, keadaan ini berbeza dengan Pakatan Rakyat (PR) yang kali pertama membentuk manifesto bersama.

Dr Maszlee turut menyenaraikan janji Manifesto PRU-12 yang gagal ditepati oleh BN.

Antara kegagalan BN menepati janji termasuklah kegagalan mentangani kesan kenaikan harga barang bagi menjamin kualiti hidup rakyat yang bermutu dan menjana 2 juta peluang perkerjaan yang masih kekurangan 800,000 dari angka yang disasarkan.

Malahan, menurut Dr Maszlee, kualiti 1.8 juta peluang perkerjaan yang dijana BN itu juga boleh dipertikaikan samada benar-benar mempunyai kualiti yang dijanjikan.

DSC_1004“Mengurangkan defesit fiskal negara; kenyataanya 2009 defisit RM362 bilion, 2010 RM407 bilion, 2011 RM456 bilion. Janji ditepati tak? Adakah boleh nak percaya 2013 punya (manifesto), saya tak tahu.

“Tentang agama; membina persefahaman lebih baik tentang Islam kepada semua rakyat melalui Islam. Melalui Perkasa ke? Zul Noordin ke? Atau melalui Ibrahim Ali? atau melalui Chua Soi Lek?” kata Dr Maszlee lagi.

Janji lain dalam manifesto yang turut gagal ditepati seperti mengurangkan indeks jenayah negara yang gagal memberi persepsi perasaan selamat kepada masyarakat dan janji mentangani isu kedatangan pendatang tanpa izin yang semakin meruncing kebelakangan ini.

“Urus tadbir kerajaan; BN berjanji dalam 2008 akan memerangi rasuah tanpa gentar tanpa memilih kasih. Lingam mana pergi? Taib Mahmud… SPRM tak layak, apa cerita? Sharizat dan banyak isu rasuah lain.

“Menyediakan pengangkutan awam bermutu dan mengurangkan kesesakan lalu lintas, tetapi kesesakan lalu lintas masih teruk, pengangkutan awam juga teruk dimonopoli syarikat-syarikat tertentu.

“Pendekatan ‘Kelantan Baru, Kelantan Maju’ bagi penduduk negeri itu. Royalti apa cerita? Ujar Dr Maszlee ketika menjadi panelis dalam Wacana Sinar, ‘Manifesto PRU-13: BN VS PR di Auditorium Karangkraf semalam.

Selain itu BN turut gagal merealisasikan janji untuk mengurangkan kadar kemiskinan ke 2.8 peratus menjelang 2010 dan menyediakan rumah mampu milik yang secukupnya kepada rakyat sehingga menyebabkan BN terpaksa berjanji semula dalam manifesto PRU-13.

Majlis Fatwa Pahang Wajib Buat Pendirian Isu Lynas

lynas

GOMBAK, 19 DIS: Majlis Fatwa Pahang wajib menyatakan pendirian berhubung isu projek pemprosesan nadir bumi, Lynas di Gebeng kerana ia melibatkan kepentingan rakyat, khususnya masyarakat Kuantan, Pahang.

Demikian menurut Pensyarah Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Dr Maszlee Malik kepada media selepas Seminar Nasional Fiqh Kontemporari yang diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) semalam.

“Mereka perlu terlibat dengan semua pihak untuk dapatkan gambaran sebenar mengenai Lynas dan berikan pandangan dari kacamata Islam, apakah boleh gadaikan kesihatan dan nyawa demi keuntungan.

“Maka mereka perlu berikan solusi dari sudut Maqasid Syariah,” ujar beliau.

Projek Lynas di Gebeng mendapat tentangan pelbagai pihak kerana mempunyai risiko tinggi, membawa pencemaran bahan radioaktif kepada manusia dan alam sekitar.

Terdahulu, Seminar Nasional Fiqh Kontemporari yang diadakan berjaya menarik 250 peserta yang terdiri dari ahli akademik dan pelajar seluruh negara.

Antara yang hadir termasuklah, Mufti Singapura, Dr Fatris Bakaram, Ketua Penasihat Syariah Bank Negara, Dr Daud Bakar dan Dekan Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Datuk Profesor Dr Mahmood Zuhdi.

 

Categories
NASIONAL

DAP tak ancam Melayu Islam

 

SHAH ALAM, 28 JUN : DAP tidak pernah mengancam masyarakat Melayu serta Islam di negara ini namun persepsi palsu atau negatif diwujudkan Umno-BN menerusi siaran media yang dikuasai mereka.

Laporan media berat sebelah inilah yang menjadi penyebab masyarakat Melayu Islam memandang serong terhadap DAP.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, sentimen perkauman itu dimainkan Umno-BN sejak sekian lama bagi terus mengekalkan kuasa yang dipegang mereka sebagai kerajaan.

Bagaimanapun, DAP tidak mengancam kehidupan orang Melayu serta Islam di negara ini malah menghormati hak golongan itu sama sebagaimana orang Melayu dan Islam menghormati orang bukan Islam.

“Sebenarnya tidak timbul persoalan itu kerana macam mana DAP boleh ancam Islam, itu sesuatu yang tak mungkin tetapi itulah permainan persepsi dan mereka (Umno-BN) berjaya sehingga sesuatu yang tak mungkin berlaku boleh dicipta macam ia adalah satu ancaman yang benar-benar boleh berlaku.

“Kalau kita lihat dalam permainan persepsi ini bukan sahaja DAP anti Islam. Ia juga menakutkan orang bukan Islam. Betapa bahayanya ancaman Islam ke atas cara kehidupan orang bukan Islam. Persepsi yang dibentuk Umno-BN dalam suratkabar adalah PAS atau Islam itu mengancam atau menakutkan cara hidup orang bukan Islam dan hanya Umno-BN boleh melindunginya,” katanya dalam wacana “Benarkah Dasar DAP Mengancam Islam? anjuran Roketkini.com di sini malam tadi.

Wacana tersebut turut disertai Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik dengan Naib Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), Wan Saiful Wan Jan bertindak sebagai moderator.

Guan Eng berkata, permainan persepsi itu telah lama dimanipulasikan Umno-BN bagi meyakinkan rakyat bahawa hanya mereka yang terbaik dan layak diangkat sebagai kerajaan di negara ini.

“Kalau kita dituduh anti Islam di kalangan orang Islam, itu biasa. Kita juga dituduh anti Cina di kalangan orang Cina. Anda tak baca suratkabar Cina….. . Di kalangan orang India pula kita dikata anti India. Itulah permainan perkauman,” katanya.

Tambahnya, perubahan yang berlaku sejak Pilihan Raya Umum Ke-12(2008) amat menakutkan Umno-BN dan permainan persepsi itu semakin hebat terhadap DAP serta PAS dan PKR dalam gabungan Pakatan Rakyat yang berjaya mengugat kekuatannya.

Menurut Guan Eng, apa yang perlu dilakukan rakyat adalah melakukan perubahan terhadap kerajaan supaya kehidupan menjadi lebih baik kerana Umno-BN jelas telah bertindak sebaliknya ke atas rakyat.

“Kalau kita terperangkap dengan isu yang dimainkan oleh Umno-BN, saya rasa yang untung hanya mereka sahaja. Mereka telah berjaya menggunakan isu ini untuk mengalihkan perhatian (terhadap isu lain) selama lebih 50 tahun,” katanya lagi.