Categories
SELANGOR

Selangor lancar kempen ‘Ayuh Gempur Aedes Perdana’

teng-chang-kim

SHAH ALAM 30 OKT: Selangor akan melancarkan kempen ‘Ayuh Gempur Aedes Perdana’ bagi mencegah pembiakan nyamuk aedes, sekali gus mengekang penularan penyakit demam denggi di negeri itu.

Kempen anjuran Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan itu akan dijalankan membabitkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Selangor, bermula esok hingga 30 November ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Datuk Teng Chang Khim, berkata pelbagai program diadakan dalam kempen itu termasuk gotong-royong perdana yang diadakan serentak di semua PBT, pada 10 November ini.

“Kita akan menjalankan dua langkah dalam kempen ini, pertama pencegahan dan kedua penguatkuasaan,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Chang Khim berkata, antara aktiviti lain sepanjang kempen itu adalah menambah kekerapan mengutip sampah, khususnya di kawasan pangsapuri dan lokasi perniagaan.

“Program penguatkuasaan pula akan dilaksana membabitkan pemeriksaan nyamuk aedes di kawasan kediaman dan premis perniagaan, khususnya restoran.

“Kompaun maksima RM500 akan dikenakan tanpa diskaun jika terdapat nyamuk dan jentik-jentik di premis yang diperiksa nanti,” katanya.

Mengikut rekod, Selangor mencatatkan jumlah kes denggi tertinggi setakat laporan iaitu 14,299 kes dengan 16 kematian, yang direkodkan pada 2013, berbanding 9113 kes dengan 12 kematian (2012) dan 7758 kes dengan 14 kematian (2011).

Chang Khim juga berharap orang ramai memastikan kawasan kediaman dan perniagaan mereka bebas daripada pembiakan nyamuk aedes bagi mengelak dijangkiti demam denggi dan dikompaun pihak berkuasa. -NFN-

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.