Categories
NASIONAL

Utusan Malaysia digesa lebih beretika

utusan syed husin aliSHAH ALAM 24 OKT : Akhbar kawalan Umno, Utusan Malaysia digesa lebih bertanggungjawab dan beretika ketika membuat laporan berita dengan mementingkan profesionalisme kewartawanan.

Senator Dewan Negara, Syed Husin Ali, berkata permohonan maaf akhbar itu hari ini membuktikan dakwaan yang dilemparkan ke atas beliau tidak berasas.

Katanya, Utusan memohon maaf dalam penyelesaian saman fitnah akhbar terbabit terhadapnya berhubung tuduhan fitnah bahawa beliau menerima RM500,000 untuk membubarkan Parti Rakyat Malaysia dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), pada awal tahun 2000.

Syed Husin yang juga mantan Timbalan Presiden (PKR) berkata, syarat Utusan memohon maaf kepadanya adalah untuk menyiarkan permohonan maaf di akhbar itu dalam tempoh 10 hari seperti yang ditetapkan.

“Saya menyerahkan tindakan susulan kepada peguam, L Bani Prakash dan jumlah pampasan yang bakal diterima,” katanya ketika dihubungi TVSelangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, terdapat dua lagi kes saman fitnah yang membabitkan Utusan terhadapnya berhubung dengan kenyataan Zulkfili Nordin dan menjangkakan akhbar itu akan turut membuat permohonan maaf.

Sebelum ini, Syed Husin memfailkan saman fitnah itu terhadap artikel yang bertajuk ‘RM500,000: Syed Husin dicabar lapor polis’ berjumlah RM10 juta terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dan dua lagi individu berhubung artikel yang didakwa memfitnah beliau.

Penyelesaian itu direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Su Geok Yiam.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.