Categories
NASIONAL

Merdeka melalui kerjasama punca penjajah kekal kepentingan ekonomi, politik

Oleh : NAZLI IBRAHIM

PUCHONG 7 JAN: Kemerdekaan yang diperoleh melalui cara bersubahat atau menjalin kerjasama dengan penjajah menyebabkan British berpeluang meneruskan sebahagian daripada kepentingan dan keuntungan ekonomi yang pernah mereka nikmati ketika masih menjajah.

British juga berpeluang meneruskan institusi dan dasar politik yang pernah dilaksanakan ketika menjalankan pemerintahan di tanah jajahan mereka.

syed husin aliBekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Profesor Dr Syed Husin Ali, berkata hal itu dapat dilakukan dengan meletakkan terma dan syarat tertentu di dalam rundingan antara pihak penjajah dan dijajah sebelum keputusan memberikan kemerdekaan dilakukan.

“Antara contohnya adalah institusi pendidikan, selain institusi kehakiman atau dasar dalam atau luar negara.

“Di Malaya, sebahagian besar keuntungan diperoleh golongan bangsawan, pemodal dan bekas pegawai tinggi yang kebanyakannya mempunyai hubungan rapat dengan penjajah. Mereka juga dilihat terpengaruh dengan sistem pendidikan penjajah, bersikap pro-barat dan sering dianggap hero dalam penulisan sejarah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramahnya dalam Kursus Merdeka Rakyat yang diadakan di Pusat Reformasi Demokrasi dan Inisiatif Sosial, di sini, baru-baru ini.

Syed Husin berkata, pendekatan mencapai kemerdekaan negara berbeza dengan perjuangan kemerdekaan di India yang diperoleh melalui cara penentangan pasif selain kurang pertumpahan darah.

Katanya, rakyat India yang mahukan kemerdekaan menyeluruh memutuskan untuk enggan berkerjasama dalam segala aspek dengan penjajah dan mereka berjaya memperoleh kebebasan tanpa perlu meneruskan dasar yang terus memelihara kepentingan politik serta keuntungan ekonomi negara penjajah.

“Penentang penjajah di Indonesia turut memperjuangkan kemerdekaan dengan kaedah berbeza berbanding Malaya dengan menjalankan penentangan mengangkat senjata terhadap penjajah Belanda, sekali gus membabitkan pertumpahan darah.

“India dan Indonesia dapat mengawal sumber kekayaan negara dan melaksanakan dasar yang difikirkan menguntungkan negara serta rakyat masing-masing. Hal ini berbeza dengan Malaya yang terikat bagi terus menjaga kepentingan ekonomi, politik dan dasar menguntungkan bekas penjajah British,.

“Perkara itu tidak harus berlaku apabila sikap tamak sesetengah pemimpin di awal kemerdekaan di negara terbabit menyebabkan pengagihan sumber kekayaan tidak dilaksanakan sepenuhnya.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA

Perginya seorang pejuang tulen yang gigih (Oleh Syed Husin Ali)

suhaimi said 01Seorang pejuang tulen yang gigih untuk keadilan rakyat sudah meninggalkan kita buat selama-lamanya pada 5 November lalu.

Haji Suhaimi @ Sulaiman bin Said menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultan Ahmad Shah (HSAS) kira-kira jam 6.08 petang, dengan disaksikan oleh isterinya Hajah Hendon Jaafar, anak-anak dan keluarga terdekat.

Pada hari itu saya mendapat mesej menyatakan keadaan Suhaimi tenat. Saya telefon Hendon dan apabila ditanya keadaan Suhami dia menangis dan hanya mengeluarkan perkataan “Teruk”.

Dalam tiga kali saya melawatnya di HUKM dan HSAS saya lihat keadaannya semakin membimbangkan. Jadi kali ini saya terus bertolak dari rumah bersama empat orang kawan ke Temerloh.

suhaimi said 02Kami sampai di HSAS kira-kira jam 4.15. Walaupun belum waktu melawat lagi, kami dibenarkan ke wadnya di tingkat 7. Saya lihat matanya pejam dan nafasnya kuat; pada hidungnya terletak alat membekal oksigen.

Saya membisikkan nama pada telinganya, mengucap beberapa kali dan mengingatkannya supaya terus mengucap. Saya percaya dia mendengar.

Setengah jam kemudian kami turun untuk melapangkan tempat bagi keluarga dan sahabat yang menunggu hendak naik. Lepas jam 5 kami beredar dari hospital untuk pulang. Semasa berhenti di Lancang untuk menunaikan solat asar, kami ditelefon Suhaimi tiada lagi.

Saya merasa pilu sekali.

Suhaimi dilahirkan di kampung Lubuk Kawah, Temerloh pada 8 Disember 1944. Beliau membesar dalam keluarga dan masyarakat yang kuat berjuang untuk kemerdekaan dari penjajah.

Ayahnya seorang aktivis Angkatan Pemuda Insaf (API), sayap pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Bahkan boleh dikatakan seluruh kampung itu kuat dipengaruhi PKMM. Hampir semua anggota keluarganya terlibat dengan perjuangan parti kebangsaan itu.

Semasa dewasanya Suhaimi belajar di Koleh MARA dan ketika itulah saya sebagai pensyarah di UM mulai berkenalan dengannya. Kemudian Suhaimi bekerja di pejabat Menteri Besar Pahang, di bawah Datuk Razak Hussein.

Beliau dapat memberitahu kami tentang banyak laporan bertulis SB (Cawangan Khas) kepada MB. Masa itu pengaruh Parti Rakyat (PRM) di Temerloh sangat kuat.

Suhaimi berhenti dari bekerja untuk melanjutkan pelajaran undang-undang di London. Semasa itu saya selalu berjumpa dengannya sebab saya juga berada di sana untuk membuat ijazah PhD.

Di London beliau bergerak dalam PRM Ranting London dan cergas dalam gerakan pelajar. Beliau mengikuti juga pergerakan sosialis di sana.

Selepas dianugerah seorang anak perempuan dan berjaya mendapat ijazah, Suhaimi pulang ke tanah air dan tidak lama kemudian menceburkan diri dalam PRM. Dari masa itulah beliau mula bergerak di kalangan peneroka Felda.

Di samping itu beliau cergas mendirikan atau menguatkan ranting-ranting PRM. Beliau seorang aktivis yang tidak kenal penat lelah.

Berikutan krisis dalam PRM Suhaimi meninggalkannya dan memasuki PAS. Beliau menghadapi masalah dalam Parti itu dan berhenti pula untuk pindah sekejap ke dalam UMNO, yang sentiasa dianggapnya sebagai kesilapan besar.

Walaupun berpindah-pindah parti, beliau sentiasa berpegang kuat kepada asas perjuangan yang pro-rakyat. Beliau “bersara” dari politik seketika. Hanya pada 27 November 2007 Suhaimi memasuki Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), setelah diminta oleh Syed Husin, Anwar Ibrahim dan Nizam.

Beliau begerak dengan gigih hampir seorang diri mula-mulanya untuk terus membela nasib peneroka Felda dan menggerakkan jentera parti di Pahang. Beliau membuka Ranting Kuala Krau, yang ramai dianggotai oleh peneroka Felda dan Orang Asal.

Selaku pemimpin Ranting itu, beliau tidur baring di rumah Orang Asal dan mempelajari bahasa mereka. Mereka sayangkannya, dan tidak peliklah ramai antara mereka hadir pada hari pengebumiannya.

Di dalam KEADILAN Suhaimi memegang beberapa jawatan penting di peringkat Negeri dan Pusat. Beliau dipilih menjadi Naib Pengerusi KEADILAN Pahang dan diangkat sebagai anggota Majlis Pimpinan Parti (MPP) dan Ketua Biro Peneroka Felda dan Orang Asal.

Di bawah Biro ini beliau dan beberapa orang peguam, seperti Sivarasa, Kumar dan Latheefa telah memenangi beberapa kes saman mahkamah terhadap Felda untuk membela peneroka.

Suhaimi boleh dikatakan pekerja sepenuh masa Parti tanpa bayaran daripadanya. Baginya perjuangan dalam politik bukan untuk kepentingan diri. Kerana perjuangan beliau ditahan dua kali di bawah ISA pada 1985 dan 1987.

Beliau mempunyai sebuah syarikat guaman dan tidak pernah menggunakannya untuk mengumpul kekayaan. Oleh kerana bergerak cergas, beliau menyerahkan syarikat untuk diuruskan oleh anak perempuannya yang lahir di London dulu. Beliau bertanding dalam pilihanraya ke-13 akan tetapi gagal.

Semasa berkempen dalam pilihanraya itu Suhami sudah mula mengalami sakit yang bertambah tenat selepasnya. Beliau kembali ke RahmatulLah tanpa meninggalkan harta benda. Sebagai harimau mati meninggalkan belang, beliau meninggalkan nama yang harum.

Nama itu berkaitan dengan kegigihan dan keikhlasannya dalam perjuangan demi rakyat. Suhami harus dijadikan teladan dan ikutan paling baik bagi semua anggota KEADILAN dan pejuang rakyat.

Al-Fatihah.

Categories
NASIONAL

Utusan Malaysia digesa lebih beretika

utusan syed husin aliSHAH ALAM 24 OKT : Akhbar kawalan Umno, Utusan Malaysia digesa lebih bertanggungjawab dan beretika ketika membuat laporan berita dengan mementingkan profesionalisme kewartawanan.

Senator Dewan Negara, Syed Husin Ali, berkata permohonan maaf akhbar itu hari ini membuktikan dakwaan yang dilemparkan ke atas beliau tidak berasas.

Katanya, Utusan memohon maaf dalam penyelesaian saman fitnah akhbar terbabit terhadapnya berhubung tuduhan fitnah bahawa beliau menerima RM500,000 untuk membubarkan Parti Rakyat Malaysia dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), pada awal tahun 2000.

Syed Husin yang juga mantan Timbalan Presiden (PKR) berkata, syarat Utusan memohon maaf kepadanya adalah untuk menyiarkan permohonan maaf di akhbar itu dalam tempoh 10 hari seperti yang ditetapkan.

“Saya menyerahkan tindakan susulan kepada peguam, L Bani Prakash dan jumlah pampasan yang bakal diterima,” katanya ketika dihubungi TVSelangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, terdapat dua lagi kes saman fitnah yang membabitkan Utusan terhadapnya berhubung dengan kenyataan Zulkfili Nordin dan menjangkakan akhbar itu akan turut membuat permohonan maaf.

Sebelum ini, Syed Husin memfailkan saman fitnah itu terhadap artikel yang bertajuk ‘RM500,000: Syed Husin dicabar lapor polis’ berjumlah RM10 juta terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Bhd dan dua lagi individu berhubung artikel yang didakwa memfitnah beliau.

Penyelesaian itu direkodkan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Su Geok Yiam.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR Lancar Institut Rakyat, Lahirkan Dasar Lebih Baik

institut rakyat PKR 01

SUBANG JAYA, 21 FEB : PKR hari ini melancarkan Institut Rakyat bagi menjalankan penyelidikan dan membuat formula dasar ke arah keadilan sosial dan masa depan mampan negara.

Badan pemikir itu akan mendapatkan pandangan awam, masyarakat sivil, pembuat dasar, ahli korporat dan sektor awam melalui bengkel perbincangan, forum, persidangan dan penerbitan kertas kerja bagi melahirkan dasar.

Menurut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim Insitut Rakyat dengan slogan ‘Ke Arah Malaysia Baru’ tersebut dilahirkan dari hasil desakan pemimpin muda dalam PKR.

“Ini sesuatu yang baru, ahli politik seperti saya dari masa ke semasa terpaksa tunduk kepada tokoh-tokoh muda yang mahukan Institut Rakyat ditubuhkan,” kata Anwar sebelum melancarkan ‘think tank’ tersebut dihadapan lebih 100 hadirin.

Sementara itu, Pengerusi Institut Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam sidang medianya berkata Institut Rakyat tetap menjalankan fungsi sebagai badan pemikir dan pengkritik kerajaan walaupun sekiranya PKR mentadbir Putrajaya nanti.

Selain Dr Wan Azizah sebagai Pengerusi, turut berada dalam lembaga pengarah Institut Rakyat, Dr Syed Husin Ali sebagai Timbalan Pengerusi, Dr Mehnun Siraj dan tiga nama lain.

Sebelum itu, majlis pelancaran Institut Rakyat yang diadakan di Hotel Empire Subang petang tadi turut dihadiri beberapa ahli akedemik, ahli ekonomi dan pemimpin PKR.

Antara yang turut hadir termasuklah, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Pengarah Startegi PKR, Mohd Rafizi Ramli, bekas Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali, Ahli Ekonomi, Dr Jomo Sundaram dan Pakar ekonomi Azrul Azwar Ahmad Tajudin.

Categories
NASIONAL

Anwar Ibrahim Ikon Kebangkitan Rakyat – INFO 12


 

Sinopsis:

Info 12 Untuk 12122012

Saksikan secara langsung “INFO 12? sebuah rancangan baru yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 12 DISEMBER 2012 :

1. Atlet paralimpik diberi penghormatan sebagai penerima pingat dihari Keputeraan Sultan Selangor.

2. Anwar Ibrahim – Kebangkitan rakyat di Baling dan Sik pada 1974 membuktikan rakyat negara ini berani untuk membuat perubahan.

3. Dr Syed Husin Ali – Peristiwa kebangkitan rakyat yang bermula dengan Demontrasi di Baling memperlihatkan ketokohan Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang peka dengan nasib dan penderitaan rakyat bawahan.

TAWAS : Sambutan Luar Dugaan, Staf Bank Terpaksa Kerja Lebih Masa – Detik Semasa

Sinopsis 

DETIK SEMASA Untuk 30112012 

Saksikan DETIK SEMASA sepanjang Sidang Dewan Undangan Negeri (DNS) Selangor. 

Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 30 NOVEMBER 2012 :

1. Sambutan TAWAS Luar Dugaan, Staf Bank Terpaksa Kerja Lebih Masa
2. Syed Husin dan Chandramohan dilantik Senator Dewan Negara
Categories
SELANGOR

Syed Husin dan Chandramohan dilantik Senator Dewan Negara

SHAH ALAM 29 NOV : Bekas Timbalan Pengerusi DAP Selangor, T Chandra Mohan dan Bekas Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali dilantik sebagai Ahli Dewan Negara mewakili Selangor bagi tempoh tiga tahun akan datang.

Perlantikan dari Dewan Negeri Selangor ini merupakan pertama untuk Chandramohan dan kedua bagi Dr Syed Husin.

Chandramohan akan menggantikan Dr S Ramakrishnan yang menamatkan tempohnya pada 9 Disember depan. Dr Syed Husin akan menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 16 Disember.

Selain berpengalaman luas lebih 50 tahun sebagai  seorang ahli politik, Syed Husin sebelum ini juga merupakan Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada 1990 hingga 2001.

Beliau pemegang Ijazah Kedoktoran (PhD) dari London School of Economic and Political Science selain Ijazah Sarjana Dalam Pengurusan Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur serta Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pengurusan dan Pentadbiran UM, Singapura.

Beliau juga merupakan aktivis sosial dan ahli akademik yang pernah bertugas selaku Profesor di Bahagian Pembangunan Manusia UM pada 1982 hingga 1986 serta Jabatan Antropologi dan Sosiologi UM (1986 – 1990) di samping Ahli Senat univerisiti sama (1981 – 1990).

Selain itu, Dr Syed Husin telah menulis dan mengedit lebih 20 buku dan 100 kertaskerja untuk majalah di peringkat negara dan antarabangsa.

Antara buku tersebut ialah ?Apa Erti Pembangunan, Pembangunan di Malaysia : Perancangan, Pembangunan dan Presrasi? serta ?The Malays : Their Problems and Future?.

Bekas Pengasas Suara Rakyat Malaysia (Suaram) ini turut menyumbang kepakarannya kepada badan antarabangsa seperti Unesco dan United Nations University.

Sementara itu, Chandramohan, pemegang Ijazah Sarjana Sains (Pengurusan Sumber Manusia) University Western City, Australia, adalah seorang aktivis hak pekerja berpengalaman melebihi 30 tahun.

Seorang bekas Ahli Parlimen dan bekas Pegawai Perhubungan Kesatuan Pekerja Pengangkutan (Transport Workers Union) dari 1977 hingga 1995.

Beliau juga pernah menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) dalam Perbadanan Sumber Manusia Berhad (PSMB) sebuah agensi Kementerian Sumber Manusia selama lima tahun.

Beliau ketika ini adalah Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan pensyarah sambilan di sebuah universiti swasta di Selangor.

Categories
NASIONAL

Pengaliran Wang Haram: Siasat Penglibatan Golongan Politik

SHAH ALAM 21 JULAI: Senator, Dr Syed Husin Ali menggesa kerajaan menjelaskan isu-isu menyentuh penglibatan individu kaya yang menyembunyikan kekayaan dari hasil kegiatan haram dengan memindahkan wang ke luar negara secara haram.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penangguhan di Dewan Negara baru-baru ini.

Katanya, aliran keluar wang haram yang semakin melonjak itu, antara lain disebabkan kebimbangan pemimpin besar politik dan ekonomi yang takut kehilangan kuasa dan pengaruh.

Beliau turut memberitahu Malaysia menduduki tempat ke lima tertinggi pengaliran wang haram ke luar negara.

“Mengikut laporan global Financial Integrity dengan tajuk Financial Flows from Developing Countries 2000-2009, Malaysia terletak pada kedudukan kelima mengikut jumlah wang haram yang mengalir keluar, iaitu di belakang China, Russia, Mexico dan Saudi,” katanya.

Selain itu laporan yang dinyatakan Syed itu turut menyebut sejumlah USD291 billion wang haram mengalir keluar dari negara ini pada tahun 2000 hingga 2008.

Dalam laporan yang sama turut menyebut angka tersebut mencecah antara USD337 billion atau lebih USD1 trilion pada 2009.

Jelasnya kadar lonjakan yang besar ini berlaku mungkin berkaitan dengan isu-isu tatakelola pentadbiran (governance) yang menjejaskan sektor-sektor awam dan swasta.

Dr Syed berkata jumlah pengaliran wang haram tersebut yang lima kali ganda dari anggaran Belanjawan 2012 itu mampu memberi banyak manfaat kepada negara sekiranya dapat digunakan sebagai modal pelaburan dalam negara.

“Dari segi hutang pula, jumlah wang haram ini adalah lebih daripada dua kali ganda jumlah hutang negara, yang pada 2012 adalah sebanyak RM456 bilion.

“Ertinya dengan cukai yang boleh dikutip daripada wang haram yang mengalir keluar sepanjang satu dekad antara tahun 2000 sehingga 2009, kita sebenarnya boleh melunaskan sebahagian besar daripada hutang negara tersebut,” katanya lagi.