Categories
SELANGOR

Wong Chen : Tangani jenayah secara holistik

jenayah wong chenSHAH ALAM 31 OKT : Masalah jenayah harus ditangani secara holistik dan bukan hanya tertumpu kepada penguatkuasaan undang-undang semata-mata, tegas Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen.

Wong Chen berkata, aspek ekonomi juga harus diberi perhatian sama serius seperti penguatkuasaan undang-undang dalam mengekang kes jenayah di negara ini.

“Andaikan seorang penjenayah melakukan rompakan bersenjata setiap hari, negara bakal menyaksikan 365 kes jenayah sepanjang tahun.

“Bayangkan kalau 10 ribu penjenayah dengan komitmen yang sama. Jadi berapa banyak anggota polis diperlukan untuk tangani masalah ini?,” katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Wong Chen berkata, beliau mengesa Kerajaan Pusat bersikap lebih prihatin dengan pengurusan pentadbiran yang lebih cekap dalam memberi suasana ekonomi yang lebih baik kepada rakyat terbanyak.

Gesaannya itu diambil kira dari kehidupan rakyat yang semakin menekan ekoran desakan ekonomi yang saban hari semakin merunsingkan.

Kata Wong Chen, penjenayah di negara ini seakan komited menjadikan jenayah sebagai satu kerjaya tetap sehingga sanggup menyeludup senjata api dari negara jiran.

“Orang terdesak berisiko besar terjerumus dalam kancah jenayah. Jika kerajaan terus-terusan tidak prihatin dengan perkara ini, maka lebih ramai rakyat negara ini akan terjerumus dengan jenayah.

“Atas faktor ini, ekonomi memainkan peranan penting sekiranya peluang pekerjaan untuk rakyat lebih terjamin dengan pulangan pendapatan lebih memberangsangkan, jenayah tidak lagi menjadi pilihan kerjaya mereka,” ujarnya.

– EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.