Categories
NASIONAL SELANGOR

Yahya Shari bebas tuduhan guna dokumen palsu

Yahya Sahari

SHAH ALAM 18 OKT : Bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Besar Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam daripada tuduhan menggunakan dokumen palsu iaitu ‘Resolusi Pembukaan Akaun untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor’, lima tahun lalu.

Yahya berkata, beliau bersyukur dibebaskan daripada tuduhan itu dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan moral selama ini.

Yahya, 47, didakwa melakukan kesalahan terbabit di Maybank cawangan Bandar Sunway, dekat sini, pada 14 Mei 2008.

“Saya berterima kasih kepada peguam, rakan dan pimpinan parti yang terus memberikan sokongan dari awal hingga sekarang,” katanya ketika dihubungi TVSelangor, di sini, hari ini.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan itu di akhir kes pembelaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah dan turut memerintahkan wang jaminan RM10,000 dikembalikan kepada penjamin.

Pertuduhan terbabit dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 1 Disember 2010, Azhaniz melepas dan membebaskan Yahya daripada pertuduhan sama tanpa dipanggil membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie ke atas tertuduh.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan pada Julai lalu, Yahya diperintah membela diri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norazah Kasran sementara Yahya diwakili peguam bela, Ahmad Nizam Hamid dan T Suresh. -NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.