Categories
NASIONAL

2/3 perwakilan tolak usul, AMK perlu sedia pemimpin baru

Oleh : SIRAJ MOHD ZAINI

SHAH ALAM 24 NOV: Angkatan Muda Keadilan (AMK) berdepan dengan cabaran besar di semua peringkat bagi menyediakan kepimpinan muda yang baru dalam tempoh terdekat.

Hal ini susulan penolakan dua pertiga perwakilan Kongres Nasional Khas PKR 2013 terhadap usul Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin atas pindaan mengecualikan had umur bagi jawatan tertinggi sayap parti itu di semua peringkat.

Shamsul Kongres PKRShamsul berkata, AMK kini perlu bekerja keras dalam tempoh empat hingga lima bulan akan datang bagi menyediakan kepimpinan baru sayap parti itu sebelum melalui proses pemilihan tahun hadapan.

Katanya, pelaksanaan had umur maksimum 35 tahun bagi jawatan AMK dipersetujui melalui pindaan pada 2010, namun atas beberapa sebab beliau meminta dipinda semula.

“Pindaan pertama dilakukan tiga tahun lepas dan waktu itu saya minta dikuatkuasakan pada 2013. Kita bergerak ke hadapan dengan mengambil kira tiada kelompangan dalam kepimpinan dan meminta tahap kedua iaitu kepimpinan utama di peringkat negeri, pusat serta cabang diberi sedikit kelonggaran umur bawah 40 tahun,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita sejurus berakhir kongres berkenaan yang diadakan di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor,di sini, hari ini.

Shamsul berkata, AMK yang mempunyai lebih 180 cabang berdepan kehilangan sebahagian besar daripada pemimpinnya kerana bakal melepasi had umur 35 tahun.

“Tapi oleh kerana perwakilan sudah buat keputusan, kita terpaksa berusaha segenap tenaga. Jika tidak, pasti kita akan gagal menyiapkan barisan pelapis terutama di peringkat cabang dan AMK,” katanya.

Shamsul berkata, beliau tetap gembira kerana keputusan berkenaan diputuskan majoriti perwakilan yang hadir bukan melalui Biro Politik PKR atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP) walaupun kecewa kerana usul itu ditolak.

“Sedikit kesal dengan keputusan perwakilan, tetapi ini keputusan mereka dan saya gembira kerana ia diputuskan di peringkat kongres bukan setakat kepimpinan parti sahaja,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.