Categories
NASIONAL

PR kesal Speaker tolak usul isu keselamatan Sabah

Oleh : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR 19 NOV : Pakatan Rakyat (PR) kesal tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul membincangkan isu keselamatan negara membabitkan kes penculikan dan pembunuhan pelancong di Pulau Pom Pom, Semporna, Sabah.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong, berkata penolakan usul itu dibuat atas alasan masih dalam siasatan polis dan tidak perlu disegerakan.

jimmy-wong“Saya begitu kecewa kerana isu membabitkan keselamatan negara disifatkan tidak penting. Tahap keselamatan di Sabah semakin hari semakin menurun kerana terlalu banyak pendatang yang membimbangkan rakyat tempatan.

“Saya rasa tahap keselamatan masih lemah walaupun berbilion wang dibelanjakan sejak 20 tahun dahulu,” katanya pada sidang media, di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Katanya, semua Ahli Parlimen sedia maklum berkenaan isu terbabit dan boleh berbincang di Dewan Rakyat untuk memberikan saranan terbaik bagi menyelesaikan masalah itu.

Ahli Parlimen Sandakan, Wong Tien Fatt, menegaskan rakyat Sabah mahu jaminan keselamatan mereka yang semakin longgar hingga mengakibatkan kehilangan nyawa pelancong.

Ahli Parlimen Sandakan, Wong Tien FattKatanya, kejadian pencerobohan masih berlaku dan boleh mengganggu sektor pelancongan negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 walaupun Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) sudah ditubuhkan.

“Saya tidak tahu bagaimana ‘perkara yang perlu disegerakan’ itu ditafsirkan. Pelancong dibunuh dan pelbagai pihak antarabangsa mempertikaikan isu keselamatan kita termasuk keselamatan pelancongan, bahkan pelancong yang diculik juga masih tidak ada khabar berita.

“Kami mahu dasar jaminan keselamatan dan kerajaan perlu memandang isu itu secara serius terutama berkenaan pemberian kad pengenalan,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.