Categories
NASIONAL

Ahli Parlimen Penampang : Speaker tolak usul

Oleh : NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR 13 NOV : Ahli Parlimen Penampang, Ignatius Darell kesal dengan tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang menolak usul tergempar bagi mengkaji semula Perkara 20 dan Perkara 18 dalam Perjanjian Malaysia 1963, pada Isnin lalu .

darellDarell berkata, beliau mengemukakan usul terbabit bagi membolehkan satu penubuhan Suruhanjaya Khas mengkaji semula secara terperinci perjanjian terbabit.

Katanya, cadangan itu adalah bagi menentukan sama ada kandungan perjanjian itu dipenuhi dan ditepati kerajaan.

“Baru-baru ini, Tengku Razaleigh Hamzah mendedahkan bahawa Perkara 20/18 dikaji semula selepas 10 tahun pembentukan Malaysia iaitu pada 1973. Dalam hal itu satu jawatankuasa khas sudah dibentuk, namun tidak sempat menjalankan kajian,” katanya pada sidang media, di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Katanya, usul terbabit perlu disegerakan kerana beberapa isu yang timbul kebelakangan ini dan antaranya kes pencerobohan di Lahad Datu dan penggunaan kalimah Allah yang mencabar asas penubuhan Persekutuan Malaysia.

“Contohnya, kes penggunaan kalimah Allah di Sabah dan Sarawak dan tindakan kerajaan yang menukar hakim anak asal Sabah dan Sarawak ke Semenanjung. Ia menampakkan sebagai ancaman kepada autonomi Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.

“Begitu juga dengan kes Lahad Datu, tidakkah semua insiden ini memberi kesan kepada Sabah dan adalah hal yang perlu disegerakan,” katanya.

Darell berkata, beliau juga mahu membentangkan usul itu kerana kajian boleh dilihat sebagai ‘pembaharuan ikrar perkahwinan’ untuk mengeratkan lagi hubungan rakan kongsi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

“Tahun ini, adalah tahun ke 50 Persekutuan Malaysia. Walaupun 50 tahun sudah berlalu perkara ini masih lagi dibincangkan oleh warga Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Namun, tindakan speaker yang menolak usul ini dengan mengatakan ia tidak mendesak sangat mengecewakan saya,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.