Categories
NASIONAL

JPN digesa tidak berat sebelah urus IC

Oleh: Lizawati Madfa

PETALING JAYA 13 NOV : Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) digesa tidak mengamalkan sikap ‘double standard’ dalam menguruskan dan melaksanakan prosedur permohonan kad pengenalan (IC) rakyat di negara ini.

nazreeNaib Ketua AMK, Mohd Nazree Mohd Yunus, berkata sikap dan amalan JPN itu menyebabkan rakyat berkelayakan dengan pengesahan sijil beranak tidak memperoleh kad pengenalan walau sudah berpuluh kali memohon di JPN.

Sebaliknya, ujar Nazree, warga asing yang memasuki negara ini dengan visa sosial pula dengan prosedur mudah boleh mendapatkan kad pengenalan dalam tempoh masa singkat.

“Seorang mualaf wanita dari Sabah, sejak berusia 12 tahun sehingga kini memasuki usia 30 tahun, tidak dapat memiliki IC sedangkan ibu bapanya berstatus warganegara dan dua orang kakaknya juga sudah mempunyai IC.

“Kini, bapanya juga sudah meninggal dunia dan kita jangkakan permohonannya akan mengalami kesulitan lagi kerana JPN kebiasaannya dalam kes sebegini inginkan saksi bagi mengesahkan kelahirannya di sini, walaupun dia juga mempunyai surat nikah yang menyatakan bahawa beliau seorang warganegara Malaysia,” kata Nazree.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu prosedur JPN dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, yang turut dihadiri Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Mengulas lanjut, Nazree turut mendakwa seorang warganegara India yang masuk ke Malaysia dengan visa sosial dan menetap sebagai pendatang haram diberikan ‘special pass’ dalam tempoh dua minggu oleh Jabatan Imegresen Wilayah Persekutuan.

“Sepuluh bulan selepas itu, dia berjaya pula mendapat kad pengenalan biru di Sabah sedangkan dalam pasport membuktikan dia warganegara India.

“Ini menunjukkan JPN seolah-olah mesra warganegara asing dan bersikap acuh tidak acuh terhadap warganegara sendiri,” kata Nazree.

Sehubungan itu, beliau mendesak agar JPN melakukan reformasi dalam sistem dan prosedur kerjanya agar tidak lagi menganiaya mana-mana rakyat yang layak di samping tidak menjual kedaulatan negara dengan pemberian IC mudah kepada warga asing.

– EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.