Categories
BERITA UTAMA

Antara kucing kurap, Jeff Ooi & pesona kuasawan – Shazni Munir

Oleh Shazni Munir

KUASA dan keseronokan berkuasa bukanlah sesuatu yang asing dalam peradaban manusia.

Sekian banyak peperangan dalam lipatan sejarah telah memperlihatkan pesona maha nikmat itu sering menjadi rebutan insani, tidak mengira agama dan anutan si pendamba kekuasaan.

Bahkan jika boleh dilelong kekuasaan ini di pasar-pasar malam, pasti subjek ini paling cepat laris, jauh meninggalkan apam balik coklat dan murtabak daging RM2.00.

Begitulah hebatnya pesona kekuasaan. Letaklah di mana sahaja. Orang gila sahaja yang membiarkan kekuasaan itu terletak dan tidak diusik. Yang namanya waras, pasti mengingini kekuasaan.

Insiden ‘kucing kurap’ yang berlaku antara Jeff Ooi dan penjawat awam rendah Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bukanlah sesuatu yang terpencil dalam lingkaran kekuasaan.

Jeff OoiMungkin kerana namanya Jeff Ooi, seorang blogger dan politisi kontroversi, maka isu itu pun menjadi kontroversi.

Hakikatnya kita sudah lama hidup dalam cacian dan makian mereka yang memegang kuasa. Di pejabat-pejabat kerajaan, yang berjawatan rendah pasti sering dimaki dan dicaci oleh ‘bos’ yang bertakhta di kerusi empuk berbilik asing-asing.

Di sektor swasta, caci maki sudah seperti ‘zikir’ selepas solat. Selalu dan biasa.

Di kedai-kedai makan tepi jalan, memarahi pekerja di hadapan pelanggan semacam suatu kebanggaan. Apatah lagi dengan gaya bercekak pinggang. Soal memalukan atau tidak bukan persoalan.

Muktamadnya, “Aku bos, ikut suka aku nak cakap apa!”

Kuasawan bertaraf menteri apatah lagi. Blazzer dan kot berharga belasan & puluhan ribu itu sudah cukup untuk menunjukkan ‘engkau siapa dan aku siapa’.

Maka tidaklah menjadi suatu kepelikan jika pak menteri mengherdik sesiapa sahaja yang cuba mempertikai apa yang ingin dilakukan, apatah lagi menghalang usaha kepemimpinannya.

Sindrom ‘caci maki’ ini – dalam sejarahnya – tidak pernah memilih agama dan bangsa anutan kuasawan, Apatah lagi sekadar baju parti dan jenama kumpulan yang dianggotai.

Sindrom ini boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang sudah berasa cukup hebat dengan kuasa yang dipegang.

Im_The_BossMaka jika Jeff Ooi memanggil seseorang dengan panggilan ‘kucing kurap’, bukanlah sesuatu yang ganjil dengan resam kekuasaan. Tidaklah cukup berkuasa jika tidak mencaci-maki.

Kerana sekian lama kita dibudayakan dengan sindrom ini, maka pemimpin yang berideologikan sosial demokrat pun tidak mampu menyediakan vaksin untuk sindrom ini.

Dek kerana itu, usahlah menipu diri sendiri. Yang berada di bawah dan sentiasa dimaki tidak pernah gagal untuk mengintai-ngintai tangga dakian ke atas, untuk menjadi pemaki pula.

Inilah lingkaran kekuasaan. Perkara yang telah diterima umum sebagai garis pemisah antara pemerintah dan diperintah. Justeru – dari aku – tahniah buat rakyat Malaysia.

Kalian berjaya membudayakan sindrom yang membunuh budi pekerti menjadi budaya yang berakar umbi!

* Shazni Munir ialah bekas pemimpin mahasiswa yang kini aktif dalam pergerakan politik khususnya di Selangor dan Johor

Leave a Reply

Your email address will not be published.