Categories
AGAMA

Antara taubat Ummu Jah dan legasi Al-Arqam

Oleh Nazli Ibrahim

KIRA-KIRA 45 tahun lalu, Al-Arqam yang sinonim dengan ajaran Aurad Muhamadiah bermula dengan hanya 20 ahli termasuk pengasasnya, Ashaari Muhammad atau Abuya.

Perlahan-lahan ia berkembang sehingga organisasi itu ada kira-kira 50 pengikut sekitar 1976. Pada hujung 70-an pula, keanggotaannya bertambah mendadak.

Pada 1987, jemaah itu dikatakan disertai antara 5,000 hingga 6,000 pengikut. Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri pada 1994 menganggarkan Al-Arqam ada 6,000 pengikut fanatik dan 15,000 simpatisan.

Sesetengah akhbar tempatan menyebut pertubuhan itu memiliki 10,000 pengikut pada waktu itu.

Al-Arqam_logoSebenarnya, Al-Arqam dilihat mencapai zaman kemuncaknya sekitar akhir 80-an dan awal 90-an. Pada era kegemilangannya – sebelum diharamkan pada 1994, jemaah itu dianggap model teras kehidupan Islam.

Perkampungan di Sungai Penchala juga menjadi model pembangunan berteras Islam dan kerap menerima kunjungan tetamu sama ada orang perseorangan, delegasi tertentu mahupun orang kenamaan atau selebriti.

Pengaruh Al-Arqam turut menular ke beberapa negara rantau Asia seperti Indonesia, Thailand, Jordan dan Pakistan.

Betapa tidak, ia memiliki organisasi teratur dalam pembangunan ekonomi meliputi 52 kedai runcit di seluruh perkampungan Al-Arqam, 20 pasar mini, 36 kedai buku dan alat ibadat dan 18 restoran di pelusuk negara.

Malah, Al-Arqam memiliki 56 kilang perusahaan di seluruh tanah air.

DSC_0076Antara produk makanan keluaran Al-Arqam yang mendapat sambutan hangat ketika itu ialah cili sos dan kicap. Malah, produk itu turut dijual di kedai bukan Islam. Ketika itu, syarikat pengeluar makanan Islam sangat kurang.

Selain itu, Al-Arqam juga menerbitkan pelbagai bahan bacaan meliputi buku agama dan majalah untuk kanak-kanak, remaja, wanita dan dewasa.

Antara majalah yang pernah mendapat permit penerbitan ialah Al-Arqam, Al-Mukminah, Al-Nasihah, Al-Munir, Al-Qiadah dan Al-Imam sebelum ia ditarik balik pada 1990.

Lebih dari itu, Al-Arqam juga memiliki klinik kesihatan dan unit perundangannya sendiri.

Sekitar 1993, Al-Arqam melebar sayap perniagaan ke peringkat antarabangsa. Mereka menubuhkan Al-Arqam Group of Companies (AGC) yang menghimpunkan 22 anak syarikat.

Al-Arqam juga membuka pusat hubungan antarabangsa di Islamabad, Pakistan yang diberi nama Al-Arqam International Centre (AIC). Pada tahun inilah, Ashaari mengisytiharkan terbentuknya Daulah Islam di bumi Malaysia dan Indonesia.

Zaman kejatuhan

Ketika Al-Arqam berkembang pesat, mula kedengaran aduan ibu bapa yang mendakwa anak gadis mereka ‘diculik’. Ada mendakwa anak mereka dikahwinkan dengan pemimpin Al-Arqam tanpa pengetahuan mereka.

Pada masa hampir sama, pertubuhan itu juga membina sekolah tanpa kelulusan kerajaan. Ia menggunakan sukatan pelajaran yang tidak mematuhi piawaian sistem pelajaran Malaysia.

DSC_0110Malah, pembelajaran dan pengajarean sekolah itu dilihat lebih bertujuan melahirkan kader yang taksub kepada pemimpin Al-Arqam.

Pelajar pula dieksplotasi untuk menjual bahan bacaan terbitan mereka. Akibatnya mereka tercicir dari arus pendidikan perdana dan gagal meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Ironinya, keciciran itu memudahkan lagi proses menyemai doktrin Aurad Muhamadiah dan sikap taksub ke jiwa individu terbabit.

Pekerja Al-Arqam pula menerima bayaran tidak setimpal. Lazimnya mereka hanya diberi makan minum dan tempat tinggal sahaja.

Meskipun keadaan itu boleh dianggap tidak berperikemanusiaan dan tidak wajar, pengikut Al-Arqam sebaliknya menerima ‘nasib’ mereka berikutan konsep ‘jihad ke jalan Allah’ dimanipulasi.

Konsep jihad itu juga dikaitkan dengan cita-cita politik Ashaari. Sekitar awal 90-an, tersebar ramalan kononnya Ashaari bakal menjadi Perdana selepas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mereka mengaitkan ramalan itu dengan teori R-A-H-M-A-N. Mereka percaya ‘A’ selepas Mahathir adalah Ashaari.

Kerajaan Malaysia mula bertindak apabila Al-Arqam menerbitkan buku bertajuk ‘Jadual Allah Untuk Umat Islam’ pada 1992. Buku itu memuatkan dakwaan Pemuda Bani Tamim pada akhir zaman dan kebangkitan Islam dari Timur, kononnya merujuk kepada Ashaari dan Al-Arqam.

Buku itu menggambarkan Ashaari menyediakan pergerakan militan walaupun tidak terang-terangan. Sekitar 1992, rata-rata pengikut Al-Arqam begitu menekankan kemunculan Imam Mahadi.

Ashaari juga pernah menimbulkan kontroversi kerana pernah mendakwa beliau berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW secara sedar.

Pada 1994, Pusat Islam mendakwa Al-Arqam menyediakan 313 tentera berani mati untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Berikutan itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-34 yang bersidang pada 31 Mac 1994 membincangkan fatwa terhadap Kumpulan Al-Arqam Pimpinan Haji Ashaari Muhammad dan memutuskan:

Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri hendaklah menggunakan peruntukan yang ada di dalam enekmen pentadbiran agama Islam sepenuhnya di dalam usaha untuk membenteras kegiatan Darul Arqam seperti peruntukan mengajar tanpa tauliah, membuka sekolah tanpa kebenaran dan berpoligami tanpa kebenaran mahkamah syariah.

Berikutan itu, Asaari ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) antara 2 hingga 24 Sept 2004 sebelum ditahan di bawah Akta Kediaman Terhad di Rawang dan Wilayah Persekutuan Labuan selama 10 tahun.

Serentak pengumuman Majlis Fatwa itu juga, Al-Arqam turut diisytihar sebagai pertubuhan haram. Namun, ia tidak berakhir begitu sahaja. Pada 2006, Ashaari didakwa cuba menghidupkan semula Al-Arqam dengan nama baru, Kumpulan Rufaqa.

Pada 2009, Ashaari menubuhkan pula Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) dengan 20 rangkaian perniagaannya serta cawangan di luar negara termasuk di Indonesia, Timur Tengah dan Australia.

gisbbbm_ikhwan130614_130_226_100Selepas kematian Ashaari pada 13 Mei 2010, operasi rangkaian perniagaan GISB diterajui Fakhrur Razi, anak sulung Ashaari.

Kumpulan Rufaqa, GISB dilihat cuba menghidupkan kembali ajaran Aurad Muhamadiah secara diam-diam.  Selepas 2010, pemimpin tertinggi GISB mula berhijrah ke Arab Saudi dengan menjadikan Mekah sebagai pangkalan operasi rangkaian perniagaan.

Bagaimanapun – selepas kira-kira tiga tahun menetap di Mekah, isteri Ashaari, Hatijah Aam atau Ummu Jah dan pengikutnya ditahan penguat kuasa Arab Saudi dan dihantar pulang ke tanah air.

Mereka ditahan atas tuduhan mengamal amalan meragukan, bidaah dan aktiviti nasyid berunsur syirik. Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Hatijah ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Bagaimanapun, hasil sesi penerangan dan perbincangan antara JAIS dan Hatijah, akhirnya mereka mengakui membawa ajaran yang bertentangan dengan akidah Islam hingga jatuh syirik.

DSC_0098“Wallahi, Wabillahi, Watallahi; kami hari ini bertaubat dengan sebenar taubat dan kami begitu hina dan menyesal dengan perbuatan kami dan kami berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatan kami dan selayaknya wajib atas kami untuk tidak akan memberi sebarang ruang walau sebesar zarah kepada tempias dan sisa fahaman dan pegangan yang berdetik dan berlegar di hati-hati kami, apatah lagi kepada insan lain sesama Islam yang lain.”

Demikian beliau membuat perisytiharan taubat bersama hampir 400 pengikut Al-Arqam di Hotel Concorde, Shah Alam pada 8 November lalu.

Pastinya, umat Islam di negara ini yang acap kali berdepan pelbagai pancaroba dan mehnah duniawi tak sudah-sudah, mengharapkan pisang tak berbuah dua kali.

– FZL

Leave a Reply

Your email address will not be published.