Categories
NASIONAL

Bersihkan daftar pengundi sebelum laksana persempadanan semula

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 30 NOV : Daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum sebarang kerja-kerja persempadanan semula diteruskan, tegas Maria Chin Abdullah.

maria chin bersihPengerusi Jawatankuasa Bersih 2.0 yang baru dilantik itu berkata, gerak kerja dan fokus BERSIH 2.0 masih sama iaitu memperjuangkan lapan tuntutan namun fokus utama adalah untuk menuntut pembersihan daftar pemilih.

Katanya, tanpa daftar pemilih yang bersih, proses persempadanan semula adalah mustahil memandangkan jumlah pengundi sebenar dalam sesuatu kawasan tidak diketahui.

“Buat masa terdekat, keutamaan yang telah digariskan kami jelas; menuntut supaya persempadanan semula dihentikan, memandangkan kepincangan masih berlaku dalam daftar pemilih dan keraguan terhadap kebebasan Suruhajaya Pilihan Raya belum tercabut.

“Dengan pelbagai kepincangan dalam pilihan raya yang lalu, termasuklah gerrymandering, pembahagian tidak adil, dan saiz kawasan pilihan raya yang tidak sekata; kami percaya bahawa persempadanan semula yang akan datang ini akan terus membelit dan merugikan pengundi dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan mengenai hala tuju dan fokus Bersih 2.0 selepas lima anggota baru Jawatankuasa Pemandu baru diputuskan hari ini.

Selain beliau yang diangkat sebagai pengerusi, turut terpilih ialah Dr. Ahmad Farouk Musa (Naib Pengerusi), Masjaliha Hamzah (Bendahari) dan Farhana Halim serta New Sin Yew (Ahli Jawatankuasa Pemandu Berportfolio).

Maria juga menegaskan Bersih 2.0 akan turut fokus kepada usaha membina kapasiti rakyat dalam menyusun gerakan memperkembang dan memperjuangkan agenda pilihan raya bersih dan adil yang selama ini diperjuangkan.

Sehubungan itu, beliau berkata satu jawatankuasa Anak Muda Bersih akan diwujudkan bagi memberi galakan, platform dan ruang yang lebih besar kepada anak muda, di samping dapat membina sahsiah pemimpin yang berkualiti di masa hadapan.

“Sebagai tambahan, BERSIH 2.0 akan berusaha mengukuhkan lagi capaian di luar daerah supaya masyarakat terutama yang sukar mendapatkan informasi tidak lagi terpinggir dan diasingkan,” kata Maria.

Beliau turut memberikan amaran kepada Kerajaan Pusat dan parti-parti politik untuk tidak terus menafikan hak rakyat menjalani satu proses pilihan raya yang bersih dan adil.

“Agenda reformasi pilihan raya seperti 15 tuntutan buat SPR pada 2011; 22 usul kepada PSC; keputusan tertangguh RCI Sabah; kesemuanya perlu dimuktamadkan segera tanpa sebarang alasan.

“Janji kami; jika agenda reformasi pilihan raya ini tidak dipenuhi; Bersih 4.0 adalah jawapannya,” katanya.

-EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.