Categories
SELANGOR

Kajian: PAS miliki kelebihan tapi 10% pengundi belum buat keputusan

SUNGAI LIMAU 3 NOV: Badan penyelidikan bebas, Ilham Centre menjangka keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau bakal menentu kemenangan tetapi cenderung memilih PAS kekal kerusi berkenaan.

Pengerusi Eksekutif Ilham Centre, Muhamad Hisommudin Bakar, berkata PAS dijangka bertahan dengan majoriti lebih rendah berdasarkan respon pengundi.

Beliau menyifatkan PAS mendahului dengan peratusan 48 peratus dan BN pada aras 42 peratus manakala baki 10 peratus belum membuat keputusan.

Katanya, peratusan undi itu diukur kepada pengundi dalam kawasan pilihan raya tanpa melibatkan sekitar tujuh peratus pengundi di luar kawasan.

“Pengundi Cina kelihatan berhati-hati dalam membuat keputusan. Mereka mengambil kira aspek untung rugi, faedah serta impak kepada mereka.

“Semua pertimbangan mengambil kira survival ekonomi masyarakat dalam membuat keputusan politik kali ini,” katanya pada kenyataan media hari ini.

logo ILHAM CentreIlham Centre ditubuh pada 2006 dengan menjalankan penyelidikan bebas dan menggunakan kaedah penyelidikan akademik di peringkat pengajian tinggi.

Kata Muhamad Hisommudin, kelebihan PAS mempunyai undi penyokong tegar, selain memiliki kelebihan peratus pengundi luar kawasan yang condong kepada Pakatan Rakyat.

Katanya, pengaruh Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Razak ketara berikutan 68 peratus responden menyifatkan bekas Menteri Besar Kedah itu memberi sumbangan besar.

“Allahyarham disifatkan sebagai pemimpin prihatin tanpa mengenal perbezaan parti. Antara jasa besarnya ialah meredakan pertembungan keras yang menjadi tradisi UMNO-PAS di kawasan ini.

“Ini menyebabkan kedua-dua jentera pilihan raya menggunakan faktor Azizan dalam kempen,” katanya, menambah pengaruh Datuk Mukhriz Mahathir menunjukkan Menteri Besar Kedah itu berada tahap 38 peratus. – FZL

Leave a Reply

Your email address will not be published.