Categories
NASIONAL

Kerajaan perlu dedah belanja bayaran syarikat perundingan swasta

Oleh : NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR 13 NOV : Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen mendesak kerajaan pusat supaya mendedahkan lebih terperinci berhubung perbelanjaan yang dibazirkan kepada syarikat perundingan swasta.

wong chan - tarif eletrik 02Beliau berkata, kerajaan pusat sudah membelanjakan lebih RM7.2 bilion kepada syarikat perundingan terbabit, dalam tempoh lima tahun ini.

Katanya, jumlah itu boleh dihuraikan sebagai RM125 juta sebulan atau RM4 juta sehari dan jumlah bayaran itu didapati meningkat dari tahun 2009 hingga Oktober lalu.

“Jumlah itu adalah penggunaan hasil kerajaan yang sebahagiannya dijana daripada cukai pendapatan tahunan rakyat dan perkara ini cukup tidak bertanggungjawab,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan pusar yang tidak menyatakan tujuan, faedah dan jenis syarikat yang diberikan kontrak.

Katanya, kebergantungan pada firma perunding swasta mencerminkan kepercayaan yang rendah terhadap perkhidmatan awam.

“Tren perbelanjaan untuk perkhidmatan perundingan membimbangkan. Ini adalah satu kebimbangan yang sah apabila perunding swasta mengenakan yuran tidak tetap.

“Bagaimana kita tahu bahawa kerajaan mengupah syarikat terbabit pada kadar yang berpatutan dan lebih banyak ketelusan diperlukan dalam isu ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak semua kementerian mendedahkan sepenuhnya jumlah perbelanjaan dan nama syarikat perunding terbabit.

Katanya, Pakatan Rakyat (PR) akan menyelaras semua Ahli Parlimen untuk meminta kementerian melepaskan semua perbelanjaan yang berkaitan dengan syarikat perunding swasta pada sesi soal jawab, jika kerajaan enggan mendedahkannya.

“Kami juga mahu Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Awam untuk memberi tumpuan kepada perbelanjaan untuk perkhidmatan ini dalam laporan akan datang,” katanya.

Mengikut statistik perbelanjaan mencatatkan sebanyak RM1.2 bilion, pada 2009, RM1.6 bilion (2010), RM1.7 bilion (2011), RM1.8 bilion (2012) dan lebih RM720 juta, sejak Oktober lalu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.