Categories
NASIONAL

PR bantah DBKL naik cukai taksiran

Oleh : NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR 13 NOV : Pakatan Rakyat (PR) membantah kenaikan cukai taksiran yang akan dikenakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), menjelang 2014.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, berkata kadar cukai yang dikenakan ke atas penduduk Wilayah Persekutuan itu sebagai tidak munasabah.

Katanya, terdapat kadar kenaikan tidak sekata mengikut kawasan apabila ada kawasan naik sebanyak 150 peratus, manakala sebahagiannya 20 peratus dan 30 peratus.tian chua pic

“Ahli Parlimen PR tidak tahu kriteria apa yang diambil kira dalam kenaikan kadar cukai itu,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Tian Chua berkata, pihaknya akan meminta pertemuan diadakan antara Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan dengan DBKL bagi membincangkan perkara terbabit.

“DBKL perlu sedar, warga kota adalah yang pertama akan menghadapi tekanan inflasi, berbanding masyarakat di kawasan lain,” katanya.

Sementara itu, Izzah mahu rakyat membandingkan Datuk Bandar DBKL, Datuk Ahmad Phesal Talib dengan mantan terdahulu yang menambah pulangan hasil tanpa menaikkan cukai taksiran.

“Datuk Bandar sebelum ini tidak membebankan warga kota. Tetapi Datuk Bandar yang baru ini, tidak ada langsung dialog diadakan untuk kenaikan cukai ini, bukan sahaja rakyat tetapi Ahli Parlimen juga tidak dimaklumkan,” katanya.

Sebelum ini, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berharap kadar baru cukai taksiran DBKL tidak dinaikkan secara mendadak hingga membebankan pemilik hartanah.

DBKL sebelum ini, mengumumkan akan melaksana penilaian dan penyelarasan semula cukai taksiran ke atas 500,000 pegangan unit hartanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, yang mana tindakan itu dilaksanakan berikutan agensi itu tidak membuat penilaian semula sejak 1992 serta diperlukan berdasarkan beberapa faktor.

-NFN-

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.