Categories
SELANGOR

Konsep ‘bersetuju membeli, bersetuju menjual’ tindas rakyat

Oleh : SIRAJ MOHD ZAINI

SHAH ALAM 20 NOV : Pendirian kerajaan pusat yang menetapkan konsep ‘bersetuju membeli, bersetuju menjual’ bagi penstrukturan dan pengambilalihan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menjadikan ia semakin berkuasa memeras ugut Selangor dan menindas rakyat.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Datuk Teng Chang Kim, berkata konsep berkenaan bertentangan dengan penggubalan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang menyatakan perkhidmatan air perlu diurus agensi kerajaan bukan syarikat swasta.

03Katanya, sehingga kini, rundingan berkenaan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor masih belum dapat dimuktamadkan kerana pendirian dan konsep yang ditetapkan kerajaan pusat dalam menentukan nilai tawaran kepada kepada syarikat konsesi air.

“Kerajaan pusat dalam beberapa surat kepada kerajaan negeri masih menegaskan dalam merealisasikan pelaksanaan Model Holistik yang dicadangkan, Selangor perlu menyelesaikan sebarang isu pengambilalihan syarikat konsesi air melalui transaksi komersial ‘bersetuju membeli, bersetuju menjual,” katanya.

Chang Kim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Amiruddin Setro (BN-Jeram) ketika Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, di sini, hari ini.

Katanya, Akta 655 tidak mensyaratkan secara mutlak bahawa rundingan antara kerajaanpPusat, negeri dan syarikat konsesi diadakan berasaskan konsep ‘bersetuju membeli, bersetuju menjual’.

“Dalam pengambilalihan syarikat konsesi air, kerajaan negeri sentiasa menekankan sebahagian besar aset yang digunakan syarikat berkenaan dibina sejak zaman Jabatan Bekalan Air Selangor dan Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS) melalui cukai yang dikutip daripada rakyat di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

“Kepentingan rakyat Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya wajar dibela dan bukan mengutamakan syarikat konsesi berkenaan melalui konsep ‘bersetuju membeli, bersetuju menjual’ dalam menetapkan tawaran pengambilalihan itu,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri tidak berupaya menawarkan nilai pengambialihan bseperti yang dituntut syarikat konsesi air itu jika berdasarkan konsep berkenaan.

Beliau menegaskan, jika syarikat konsesi air berkeras tidak menerima tawaran yang dikemukakan itu masalah berkenaan boleh dirujuk kepada Tribunal Timbang Tara yang berpusat di London, United Kingdom.

“Rujukan kepada Tribunal Timbang Tara adalah langkah yang adil dan saksama dalam menyelesaikan sebarang pertikaian ke atas nilai tawaran oleh kerajaan negeri,” katanya lagi.

Sehingga kini, Selangor kekal dengan tawaran sebanyak RM9.651 bilion untuk dikemukakan kepada empat syarikat yang mengendalikan industri air di negeri itu iaitu ABASS, SPLASH, PUNCAK, SYABAS.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.