Categories
AGENSI SELANGOR

SYABAS sasar kerja penggantian paip siap malam ini

SHAH ALAM, 3 OGOS: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) menyasarkan kerja penggantian paip pecah di di KM 6.6, Lebuhraya Persekutuan siap sepenuhnya sekitar 8 malam ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, pihaknya sudah mengeluarkan kepala gerudi (Cutter Head) pihak ketiga, yang menyebabkan kerosakan teruk dan paip bersaiz 800mm pecah.

“Proses pembaikan ini mengambil masa kerana membabitkan paip pecah bawah tanah dan proses pembaikan rumit serta perlu dijalankan dengan berhati-hati bagi mengelakkan risiko juga insiden tidak diingini yang akan melewatkan lagi kerja pembaikan.

“Proses penggantian paip pecah itu sedang dilaksanakan dan pihak kami menyasarkan kerja pembaikan dapat disiapkan pada 8 malam ini,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, Air Selangor juga sudah menggerakkan secara berterusan bantuan lori tangki air ke dua kawasan terjejas di Wilayah Petaling, iaitu Seksyen 11 dan Seksyen 16 serta premis di Jalan Pantai Baharu dan Lingkaran Syed Putra.

“Kami amat memahami kesulitan dialami pelanggan yang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini dan pengguna lebuh raya yang terkesan ekoran insiden tidak dijangkakan serta memohon maaf atas segala kesulitan.

“Pihak kami mengambil segala usaha bagi mempercepatkan kerja pembaikan dan pemulihan semula bekalan ke kawasan yang terjejas,” katanya.

Categories
SELANGOR

Bekalan air di lima wilayah pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 26 APR: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), ahli kumpulan Air Selangor memaklumkkan bekalan air di lima wilayah pulih sepenuhnya pada jam 6 petang tadi.

Berikut adalah kenyataan penuh SYABAS berhubung perkara itu:

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), ahli kumpulan Air Selangor ingin memaklumkan sehingga jam 6.00 petang, bekalan air di lima wilayah iaitu Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Selangor yang terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual ekoran kerja-kerja penambahbaikan sistem agihan
air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2), telah pulih sepenuhnya kecuali wilayah Kuala Lumpur yang masih berada pada tahap pemulihan 98%.

Segala usaha sedang diambil bagi mempercepatkan pemulihan di lokasi serta premis-premis yang masih lagi belum pulih.

Pihak kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat khususnya pelanggan-pelanggan yang telah memberikan kerjasama dalam usaha kami meningkatkan perkhidmatan bekalan air.

Bagi mendapatkan maklumat dan status terkini, sila muat turun aplikasi telefon bimbit Air Selangor di Google Play atau App Store atau layari laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook Air Selangor; dan Twitter @air_selangor.

Pelanggan-pelanggan juga boleh menghubungi kami di talian 15300 atau Whatsapp ke 019-281 6793 dan 019-280 0919 untuk bantuan.

Dikeluarkan oleh: Abdul Raof Ahmad
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan & Komunikasi
Pengurusan Air Selangor

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerja penambahbaikan LRA SSP2 siap sepenuhnya

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 APR: Kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) siap dilaksanakan pada jam 11 malam semalam, kata Abdul Raof Ahmad.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, perkara itu dimaklumkan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) menerusi kenyataan di laman Facebook.

“Loji diaktifkan semula dan proses penyaluran bekalan air terawat ke kolam-kolam utama dan sistem agihan utama akan dilaksanakan sebelum bekalan dapat disalurkan kepada pengguna.

“Proses ini dijangka mengambil masa dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Menurutnya, proses pemulihan berlangsung secara berperingkat dan berbeza di setiap kawasan bergantung kepada geografi dan altitud premis pelanggan.

Terdahulu, Air Selangor dalam kenyataan awal sekitar jam 6 petang memaklumkan kerja-kerja di lapangan sudah berada di tahap 70 peratus dan berjalan mengikut jadual.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat di laman Facebook atau aplikasi Air Selangor yang boleh didapati menerusi Google Play atau Apps Store.

Kira-kira 4.1 juta pengguna di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka berdepan gangguan bekalan air bermula 24 sehingga 27 April ini.

Categories
SELANGOR

Bekalan air di Kuala Lumpur pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 13 JAN: Bekalan air di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya dilaporkan pulih sepenuhnya, setelah mengalami gangguan sebelum ini.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dalam kenyataan merakamkan setinggi penghargaan kepada semua pelanggan yang terbabit atas kerjasama diberikan.

Terdahulu, bekalan air di beberapa kawasan, di Kuala Lumpur mengalami gangguan ekoran kebocoran serius paip air mentah.

Bagaimanapun, kerja pembaikan siap dilaksanakan dan loji kembali beroperasi.

Sebarang maklumat berkenaan bekalan air, boleh layari www.syabas.com.my, Facebook “Air Selangor”, Twitter @air_selangor dan aplikasi telefon pintar “Air Selangor”, yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store.

Categories
SELANGOR

Bekalan air di Kuala Lumpur pulih berperingkat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 JAN: Bekalan air di beberapa kawasan, di Kuala Lumpur dan kawasan sekitar pulih secara berperingkat selepas kerja pembaikan kebocoran serius paip air mentah siap dilaksanakan dan loji kembali beroperasi.

Bagaimanapun, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) berkata, pihaknya akan terus mengerakkan bantuan bekalan air kecemasan melalui lori tangki air.

Katanya, Pusat Khidmat Setempat di parkir HKL, Jalan Tun Razak juga akan terus beroperasi sehingga bekalan pulih sepenuhnya.

“Kerjasama pelanggan sepanjang tempoh gangguan berjadual ini amatlah dihargai.

“Segala tindakan perlu sedang diambil bagi mempercepatkan pemulihan bekalan dan meminimumkan impak gangguan,” katanya.

Pengguna boleh merujuk laman sesawang www.syabas.com.my atau muat turun aplikasi telefon bimbit ‘Air Selangor’ bagi mendapatkan maklumat dan status terkini berkenaan bekalan air.

Categories
SELANGOR

Syabas tuntas depani gangguan bekalan air

SHAH ALAM, 11 JAN: Beberapa kawasan di pusat bandar Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya bakal berdepan gangguan bekalan air berjadual bermula 9 malam esok.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) menerusi kenyataannya berkata, pihaknya sudah membuat segala persiapan sepanjang tempoh gangguan yang dijangka berakhir pada 11 malam pada 13 Januari ini.

Katanya, gangguan berjadual itu adalah bagi perlaksanaan kerja-kerja pembaikan kebocoran serius paip air mentah dan hentitugas sementara Loji Rawatan Air Bukit Nanas.

“Pelbagai persiapan bagi menghadapi gangguan berjadual ini telah dan sedang laksanakan termasuk pemakluman awal dan hebahan notis gangguan kepada pelanggan-pelanggan.

“Pusat Khidmat Setempat (PKS) bagi memberikan bantuan kepada pelanggan akan mula diaktifkan pada jam 8.00 malam, pada 12 Januari (Sabtu) selain penempatan tangki-tangki statik di premis-premis kritikal,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, segala usaha diambil bagi mempercepatkan kerja-kerja pembaikan dan meminimakan tempoh gangguan.

“Kerjasama pelanggan sepanjang tempoh gangguan ini amatlah dihargai,” katanya.

Untuk makluman kemaskini, pertanyaan atau bantuan, pengguna boleh menghubungi Syabas di talian 15300 atau melayari laman sesawang www.syabas.com.my, Facebook “AirSelangor”, Twitter @air_selangor dan aplikasi telefon pintar Air Selangor, yang boleh dimuat turun di Google Play dan App Store,” katanya.

Categories
ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

Tumpahan bahan Latex di Sungai Bernam terkawal

 

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 SEPT: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) mengesahkan tumpahan bahan Latex ke aliran Sungai Bernam ekoran kemalangan kenderaan di KM 271.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) semalam berada dalam keadaan terkawal.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad berkata, pihaknya sudah membuat pemantauan rapi bermula dari hari kejadian dan menjalankan ujian pensampelan kualiti sumber air mentah.

“Loji beroperasi seperti biasa tanpa sebarang gangguan bekalan air kepada penduduk Sabak Bernam yang menerima bekalan dari Loji Rawatan Air Bernam River Headworks,” katanya dalam kenyataan.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat bekalan air dan pengebilan dengan memuat turun aplikasi telefon bimbit pintar Air Selangor, di Google Play atau AppStore

Terdahulu, BERNAMA melaporkan, seluruh kawasan Sabak Bernam mengalami gangguan bekalan air sementara ekoran Loji Rawatan Air BRH dihenti tugas, pada jam 12 tengah malam tadi.

Loji itu dijadual beroperasi semula selepas ujian pensampelan kualiti sumber air mentah mengesahkan tiada lagi sisa tumpahan Latex, di sungai berkenaan.

Categories
SELANGOR

Gangguan bekalan air di Pulau Ketam beransur pulih

SHAH ALAM, 15 SEPT: Kerja penggantian dan penyambungan paip pecah dasar laut, di Terusan Bagan yang membekalkan air kepada pelanggan di Pulau Ketam, Bagan Teo Chew dan Sungai Lima siap dilaksanakan.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Abdul Raof Ahmad berkata, bekalan air juga sudah diaktifkan bagi proses pemulihan berperingkat.

“Pihak kami ingin memohon maaf kepada pelanggan dan penduduk yang terjejas sepanjang tempoh gangguan dan merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama semua,” katanya dalam kenyataan.

Untuk maklumat dan status terkini berkenaan gangguan bekalan air dan pengebilan, orang ramai boleh memuat turun aplikasi telefon bimbit pintar “Air Selangor” di Google Play atau AppStore.

Terdahulu, media melaporkan penduduk di tiga kawasan itu mengalami gangguan bekalan air ekoran proses kerja pembaikan paip dasar laut yang pecah di Terusan Bagan, pada 4 September lalu.

Kejadian itu menyebabkan bekalan air kepada kira-kira 6,000 penduduk di Pulau Ketam, Bagan Teochew dan Sungai Lima terjejas.

Categories
SELANGOR

Proses pemulihan bekalan air berjalan lancar, pulih secara berperingkat

SHAH ALAM, 10 MAC: Proses pemulihan bekalan air yang dijalankan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) bermula semalam berjalan lancar selain beberapa kawasan di wilayah terjejas pulih secara berperingkat dan mendapat bekalan air.

Setakat 7.00 pagi tadi, jumlah keseluruhan akaun terjejas adalah 73 peratus dan bantuan bekalan disalurkan melalui lori-lori tangki air secara berterusan ke kawasan yang masih dalam proses pemulihan dan Pusat Khidmat Setempat diaktifkan sehingga bekalan air pulih sepenuhnya.

Pecahan pemulihan berdasarkan wilayah adalah seperti berikut:

Wilayah                      Peratus Pemulihan
Hulu Selangor                   98.8%
Klang                                   85.5%
Gombak                              77.8%
Petaling                              47.5%
Kuala Lumpur                  30.4%
Kuala Langat                     17.8%

“SYABAS prihatin atas kesulitan yang dihadapi pengguna dan mengambil segala langkah perlu bagi mempercepatkan proses pemulihan.

“Kerjasama pelanggan sepanjang tempoh pemulihan amatlah dihargai dan mohon maaf di atas segala kesulitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi mengelakkan kesesakan talian dan masa menunggu yang lama, pelangan boleh mendapatkan maklumat terkini dan menghubungi SYABAS melalui saluran-saluran interaksi berikut:
i. Pusat Panggilan : talian 15300 atau 1800 88 5252
ii. Maklumat atau info berhubung gangguan bekalan air/status terkini gangguan:

– Layari www.syabas.com.my
– Facebook Air Selangor
– Aplikasi telefon pintar mySYABAS

iii. Aduan berkaitan bil tinggi, sila hantar gambar bil air ke WhatsApp 019-2816793/ 019-2800919 atau email ke [email protected]
iv. Permohonan bantuan lori tangki air, sila hantar SMS ke 15300 (taip Tanker<Jarak>Nama dan Alamat)

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

SYABAS sasar bekalan air pulih secara berperingkat

OLEH SHEEDA FATHIL
SHAH ALAM, 9 MAC : Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) mensasarkan pemulihan bekalan air akan bermula secara berperingkat, mulai tengah malam ini atau awal pagi esok.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi SYABAS, Abdul Raof Ahmad berkata, pemulihan bekalan akan berlangsung secara berperingkat bergantung pada lokasi geografi dan altitud premis pelanggan.

“Kami ingin memaklumkan bahawa Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) yang dikendalikan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) sudah beroperasi dengan purata kapasiti 830 JLH.

“Proses pengepaman bekalan ke Kolam Imbangan Bukit Tadun sedang giat dilaksanakan dan seterusnya penyaluran bekalan sistem utama ke kolam perkhidmatan bagi proses pemulihan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Raof berkata, pusat panggilan mereka sedang menghadapi kemasukan jumlah panggilan yang sangat tinggi menjadi punca pelanggan terpaksa menunggu lama.

Sehubungan itu, beliau berkata, SYABAS memohon kerjasama pelanggan untuk berhubung atau mendapatkan maklumat melalui saluran www.syabas.com.my, Facebook Air Selangor dan aplikasi telefon pintar mySyabas.

Selain itu, aduan berkenaan bil tinggi perlu menghantar gambar bil air ke WhatsApp 019-2816793/019-2800919 atau e-mel [email protected].

Bagi bantuan bekalan air, pelanggan di kawasan berdekatan boleh mengunjungi Pusat Khidmat Setempat SYABAS di beberapa lokasi seperti berikut:

PETALING  : USJ 4/5, USJ 4, Subang Jaya , Jalan 23, Taman Bukit Kuchai, Jalan Puchong (Ditutup sementara waktu bagi memberi laluan kepada Pasar Malam Mingguan dan akan kembali beroperasi pada 10/3/2018 jam 8.00pagi), Jalan SS 19/2, Subang Jaya, Taman Perindustrian Kinrara (Pemindahan sementara bagi menggantikan PKS Taman Bukit Kuchai)

KLANG/SHAH ALAM : Dewan MBSA Seksyen 27, Jalan Sg Gapis 27/71, Seksyen 27 Shah Alam, Perkarangan Masjid Sultan Abd Aziz, Persiaran Masjid Sultan, Kg. Perigi Nenas, Pulau Indah, Surau Al-Hidayah, Jalan Nagasari 36/9, Desa Latania Seksyen 36,

GOMBAK    :   Jalan 23/56, AU3 Keramat, KFC AEON Big Ampang

KUALA LUMPUR :  Berhampiran Rapid KL (LRT Taman Dagang), Jalan Dagang 1, Taman Dagang

Categories
SELANGOR

SYABAS jalankan kerja pembaikan 6 Mac ini

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 3 MAC: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) akan menjalankan kerja-kerja pembaikan kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) bermula 6 hingga 10 Mac ini.

SYABAS menerusi Facebook berkata, kerja pembaikan oleh Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) menyebabkan henti tugas loji sepenuhnya.

Justeru, beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air sementara bagi tempoh 10 jam.

Antara kawasan terjejas termasuk Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Hulu Selangor.

Daerah Petaling dijangka mengalami gangguan bekalan air bermula jam 8 pagi pada Selasa sehingga jam 9 malam pada hari berikutnya.

Sementara itu, kawasan Klang dan Shah Alam akan mengalami gangguan bekalan air bermula jam 8 pagi sehingga jam 9 pagi pada jumaat, Gombak sehingga jam 12 malam pada Khamis.

Manakala, Kuala Lumpur sehingga jam 9 malam pada Khamis, Kuala Langat sehingga jam 3 petang pada Rabu, dan Hulu Selangor sehingga 9 malam pada Rabu.

SYABAS dalam kenyataan menasihatkan pelanggan di daerah terbabit menyimpan air secukupnya sebelum 6 Mac.

Categories
SELANGOR

Jangan panik nampak paip pecah

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 24 JAN: Penduduk di sekitar Seksyen 17, Petaling Jaya diminta bertenang jika menemui paip bocor, di jalan kawasan kediaman mereka kerana kerja menguji sambungan paip baru sedang dilakukan.

Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing, R Rajiv berkata, kerja pemeriksaan paip baru menahan tekanan air sedang dilakukan kontraktor bertanggungjawab dalam tempoh tiga minggu bagi memastikan semua sambungan dilaksanakan dengan baik.

“Standard yang ditetapkan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) untuk penyaluran tekanan air ke kawasan kediaman adalah 2.2 bar.

“Untuk ujian pertama, tekanan air diletakkan pada kadar 15 bar selama 10 minit bagi menyemak sama ada berlaku kebocoran, pada sambungan paip baru.

“Jika ada kebocoran, bacaan meter akan turun. Untuk ujian kedua, tekanan diletakkan pada 12 bar selama 24 jam,” katanya pada sesi lawatan tapak menguji paip baru, di Jalan 17/3, di sini.

Sebelum ini, berlaku salah faham dalam kalangan penduduk yang menyangka berlaku kebocoran terhadap paip baru, sedangkan ia belum disambung secara terus kepada sistem SYABAS.

Rajiv berkata, jika berlaku kebocoran, ia hanya membabitkan sambungan paip baru dan tidak mengganggu sumber air penduduk yang disalurkan mengikut paip lama.

Beliau berkata, bagi mengelakkan kekeliruan, satu papan tanda yang menyatakan paip baru sedang diuji diletakkan untuk makluman penduduk setempat.

“Fasa akhir nanti akan membabitkan sambungan dari paip utama bawah tanah ke meter setiap rumah dan ke sistem SYABAS. Kerja sambungan dijangka hanya membabitkan gangguan air selama enam jam sahaja.

“Apabila kerja penyambungan siap, semua jalan akan diturap semula dan penduduk akan mendapat jalan lebih selesa,” katanya.

Fasa pertama kerja mengorek dan menanam semula paip baru sudah disiapkan sepenuhnya sejak dimulakan, pada April 2017.

Kerja penggantian itu membabitkan hampir 2,000 rumah dengan jarak keseluruhan 16 kilometer.

Kawasan lain yang turut dinaik taraf adalah di Seksyen 5 dan Kayu Ara.