Categories
SELANGOR

MB : Kerajaan negeri konsisten tingkat pendapatan cukai tanah

Oleh : Lizawati Madfa
Gambar : Shuaib Ayob

SHAH ALAM 21 NOV : Kerajaan negeri terus konsisten meningkatkan pendapatan cukai tanah semasa dan berjaya mengurangkan jumlah tunggakan cukai dikutip, sejak 2008.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kejayaan itu hasil langkah proaktif kerajaan negeri antaranya membabitkan penguatkuasaan melalui surat peringatan, notis 6A dan notis 8A (Rampasan Tanah) yang dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian.

09Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri juga akan memperkenalkan langkah baru dalam usaha mengekalkan rekod cemerlang menambah hasil cukai tanah semasa sementara tunggakan cukai terus dikurangkan.

“Kita akan mewajibkan penyemakan kadar cukai tanah bagi setiap sepuluh tahun berdasarkan Seksyen 101, KTN yang akan dilaksanakan pada 2016.

“Kertas penyelarasan akan dibentang Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan dalam Mesyuarat Tanah Negara kali ke-70, pada awal tahun 2014,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim, berkenaan kuitpan cukai tanah semasa di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Abdul Khalid (PKR-Pelabuhan Klang) memaklumkan kerajaan negeri berjaya mengutip cukai tanah berjumlah RM 374 juta bagi kesemua sembilan daerah pada 2013, berbanding RM 335 juta, pada 2008.

Sementara itu, jumlah tunggakan cukai sebanyak RM 99 juta pada 2008 kini semakin berkurangan sehingga RM 84 juta, pada 2012.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.