Categories
SELANGOR

MBSA bakal laksana sistem Pembuangan Sampah Bawah Tanah

mbsa 06Oleh : ASRI SAPFIE

SHAH ALAM 27 Nov : Majlis Bandaraya Shah Alam bakal mengguna sistem pembuangan sampah bawah tanah yang sudah diaplikasi di bandar Hanam, Korea Selatan, yang dijangka mampu mengatasi pelbagai masalah terutama sampah dan pencemaran sekeliling.

Datuk Bandarnya, Mohd Jaafar Mohd Atan, berkata usaha itu bakal memberi impak besar kepada Shah Alam dalam merealisasikan usaha ke arah menjadikannya bandar hijau dan mesra alam.

“Saya mendapati bandar Hanam sangat bersih dan penduduknya menjadikan ruang di luar kawasan rumah mereka sebagai tempat untuk bercucuk tanam antaranya tomato dan sayuran ketika melawat bandar berkenaan, Jun lalu.

“Di atas tempat pembuangan sampah itu, mereka hasilkan kawasan rekreasi yang lengkap dengan kemudahan bagi mengindahkan lagi persekitaran terbabit”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis menandatangani persetujuan dua hala antara Shah Alam dan Hanam yang berlansung di Pusat Konvesional Setia City, di sini, hari ini.

Turut hadir, 23 delegasi termasuk Datuk Bandar Hanam,Lee Kyo Bum dan wakil MBSA, manakala delegasi itu akan berada di Shah Alam selama empat hari serta bakal melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Jaafar berkata, persetujuan itu dapat memberikan keuntungan kepada dua pihak daripada sudut pendidikan, kebudayaan dan perniagaan yang mampu memajukan lagi bandar masing-masing.

mbsa 04“Usul ini akan dibincangkan dengan Pengerusi Jawatan Kuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Datuk Teng Chang Kim seterusnya mengadakan sesi lawatan bersama beliau bagi melihat sendiri konsep pembuangan sampah bawah tanah ini di Hanam,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.