Categories
SELANGOR

‘Mini Cruise’ Sungai Klang, usaha MPK tarik pelancong

Oleh : SIRAJ MOHD ZAINI

KLANG 15NOV : Majlis Perbandaran Klang (MPK) mewujudkan program pelancongan yang dinamakan ‘Mini Cruise Sungai Klang’ bagi menyahut usaha kerajaan negeri membangunkan sungai berkenaan.

Program kerjasama MPK dan Persatuan Nelayan Sungai Sireh itu bertujuan menjadikan Klang yang juga sebuah Bandar DiRaja sebagai salah satu pusat tarikan pelancong dalam dan luar negara.

Sebagai usaha peringkat awal, pelancong akan menaiki bot dari Jeti Pengkalan Batu dan dibawa menyusuri Sungai Klang sehingga ke Jeti Nelayan Kampung Sungai Sireh dan Tanjong Harapan, Pelabuhan Klang.

Timbalan Yang Dipertua MPKTimbalan Yang Dipertua MPK, Ehsan Mukhri, berkata pengunjung juga bakal menikmati pemandangan menarik daripada pusat bandar yang berlatar belakang Masjid Bandar DiRaja Klang, Jambatan Kota dan Kota Raha Mahadi.

“Kedudukan lokasi dan keindahan pelbagai jenis tumbuhan kekal di sepanjang Sungai Klang adalah aset yang boleh digunakan sepenuhnya untuk memperindahkan sungai itu.

“Selain daripada itu, MPK berharap masyarakat setempat dapat memanfaatkan program berkenaan supaya menjadi ikon pelancongan yang mampu menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke sini pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sewaktu program ‘Trial Run’ bot pelancongan menyusuri Sungai Klang bersama media yang turut dihadiri ahli Majlis MPK, ketua jabatan dan wakil media. di Jeti Pengkalan Batu, di sini, semalam.

Sementara itu, operasi ‘Mini Cruise’ berkenaan akan bermula, pada 16 November ini dengan tambang promosi pada bulan November sehingga Disember sebanyak RM20 bagi dewasa dan RM7 kanak-kanak.MPK sg Klang 01

Pada masa yang sama, pelancong juga dapat menikmati keindahan kawasan hutan paya bakau yang belum diterokai serta kelibat burung helang yang singgah di sepanjang sungai itu.

Selain itu, pelancong juga akan diberi peluang membeli barangan keluaran Industri Kecil Sederhana (IKS) seperti ikan kering, keropok lekor sewaktu singgah di perkampungan Sungai Sireh.

Sebelum ini, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pembangunan semula Sungai Klang termasuk kerja pembersihan dan menaik taraf sungai akan dimulakan, pada Mac 2014.

-NFN-

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.