Categories
SELANGOR

JK khas ditubuh bagi capai sasaran 35,000 rumah mampu milik

Oleh : Naeem Raffi

SHAH ALAM 15 NOV : Kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Pembangunan Rumah Mampu Milik Negeri Selangor dalam usaha untuk memastikan sasaran pembinaan 35,000 Rumah Mampu Milik (RMM) di negeri itu tercapaai.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Ir Iskandar Abdul Samad, berkata bidang tugas jawatankuasa itu merangkumi kerja memantau permohonan dan kelulusan, selain menyelaras serta merancang pembinaan RMM.

“Antara usaha yang dilakukan adalah mengenalpasti RMM termasuk rumah kos rendah dan rumah kos sederhana yang diwajibkan ke atas pemaju untuk dibina,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

yb iskandar 3 editIskandar berkata, pihaknya mendapati bahawa terdapat rumah berkenaan yang wajib dibina pemaju tetapi masih belum dilaksanakan daripada hasil siasatan yang dilakukan.

“Contohnya, pada program Pendengaran Awam Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Shah Alam mendapati dua projek perumahan membabitkan lebih 1,800 unit masih belum lagi dibina walaupun diluluskan seawal tahun 1997,” katanya.

Iskandar berkata demikian dengan merujuk kepada rumah yang mendapat kelulusan pada tahun 90-an di zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang masih belum dibina.

Katanya, kini kerajaan negeri mewujudkan satu sistem pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih cekap serta tegas supaya pemaju tidak mengabaikan tanggungjawab mereka untuk mengelakkan perkara sama berulang.

Beliau juga menegaskan, krajaan negeri juga mewajibkan RMM dan rumah kos rendah dibina serentak dengan rumah jenis lain.

“Beberapa pemaju terbabit juga dipanggil untuk memberi penjelasan kenapa masih gagal membina rumah kos rendah yang diwajibkan ke atas mereka,” katanya.

-NFN-

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.