Categories
SELANGOR

MPSJ heret pemilik pangsapuri tak bayar caj selenggaraan ke mahkamah

mpsjOleh : NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA 9 NOV : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berjaya mengheret enam pemilik pangsapuri yang enggan membayar caj penyelenggaraan ke mahkamah, pada tahun ini.

Ketua Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) MPSJ, Noorhafez Nordin, berkata tindakan itu dilakukan dibawah Akta 663, Pengurusan dan Penyelenggaraan Bangunan Berstrata yang boleh menyebabkan tindakan sita dan lelong dilakukan.

Katanya, MPSJ tidak akan menerima sebarang rayuan daripada pemilik terbabit untuk menarik kes daripada tindakan pendakwaan ke mahkamah sehingga mencapai penyelesaian dengan pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB).

“Setakat ini, MPSJ akan mengeluarkan notis kepada pemilik dalam tempoh sebulan dan akan dakwa mereka ke mahkamah jika gagal membayar caj penyelenggaran.

“Jika gagal membayar, kita akan mengeluarkan waran tahanan dan sita atau lelong, namun kebiasaan kes diselesaikan di luar mahkamah,” katanya selepas taklimat Seminar Pengurusan dan Penyelenggaraan Bangunan Berstrata, di kondominium USJ One Avenue, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad memaklumkan sebanyak 127 kes sudah dibawa ke mahkamah melalui pihak berkuasa tempatan (PBT), sejak Ogos 2012 sehingga Mei lalu.

Katanya, 46 kes daripadanya Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), 35 daripada Sepang (MPSp) dan Hulu Selangor (MDHS), 16 Subang Jaya (MPSJ), 10 Kuala Selangor (MDKS), dan 3 Kajang (MPKj).

Dalam program itu, MPSJ mengambil inisiatif mengadakan Seminar Pengurusan dan Penyelenggaraan Bangunan Berstrata membabitkan 105 JMB dan Perbadanan Pengurusan (MC) bagi kawasan zon Subang Jaya.

Program itu bertujuan memberi pendedahan dan kefahaman berkenaan fungsi serta peranan Pesuruhjaya Bangunan, JMB dan MC berdasarkan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) yang akan dikuatkuasakan tahun depan.

Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) adalah undang-undang yang diperuntukkan untuk mengawal selia penyelenggaraan dan pengurusan bangunan bertingkat atau tanah yang dipecah bahagi dan dikeluarkan hakmilik strata, bermula daripada peringkat penyerahan milikan kosong sehingga ke peringkat selepas perbadanan pengurusan diwujudkan.

Akta itu diluluskan di Parlimen pada 19 Disember 2012 dan dijangka akan berkuatkuasa tahun depan, bagi mengantikan Akta 663 yang membolehkan pemilik bangunan tidak perlu menubuhkan JMB, namun setiap senarai pengurusan atau akaun mesti diserahkan kepada MC dan akan diserahkan terus kepada tribunal serta COB mempunyai kuasa penuh untuk mendakwa pemilik.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.