Categories
SELANGOR

Kempen ‘Ayuh Gempur Aedes Perdana’ dilancar esok

daroyah aedesOleh : NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM 9 NOV : Kerajaan Selangor melancarkan kempen ‘Ayuh Gempur Aedes Perdana’ secara serentak bermula esok bagi mencegah pembiakan nyamuk aedes, sekali gus mengekang penularan demam denggi.
Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi, berkata kempen itu dijalankan mengikut peringkat dan berterusan.
Katanya, ia dilaksanakan secara bersama dengan penduduk setempat di bangunan kediaman, perniagaan dan pangsapuri atau bangunan berstrata.
“Kita akan bersama-sama dengan penduduk bergotong-royong membersihkan kawasan manakala Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut memberi taklimat kepada penduduk.
“Kita akan bertukar-tukar kawasan antaranya kediaman, perniagaan dan tumpuan ramai,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, hari ini.
Mengikut perangkaan Jabatan Kesihatan Selangor, sebanyak 11,498 kes dilapor setakat 5 Oktober lalu, meningkat 61.74 peratus berbanding 7,109 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
Sebanyak 14 kematian akibat denggi dicatatkan tahun ini berbanding  11 kes bagi tempoh sama pada 2012. Ada 16 lokaliti wabak tidak terkawal dan 22 lokaliti ‘hotspot’ atau wabak berlarutan di Selangor.
Sebanyak 230 lokaliti wabak dilapor dengan 75 lokaliti (32.6 peratus) di Petaling, 71 lokaliti (30.9 peratus) di Hulu Langat dan 44 lokaliti (19.1 peratus) di Gombak.
Daroyah berkata, ia bertujuan mengurangkan kes denggi dengan mensasarkan sifar denggi berikutan Selangor sebelum ini, mencatatkan kes tertinggi di negara ini.
Beliau meminta semua lapisan masyarakat membersihkan kawasan persekitaran dan mengurus pembuangan sampah dengan lebih baik bagi membanteras penularan kes.
“Selangor sebuah negeri yang boleh disebut sebagai ‘urban terrorits’. Apabila penduduk ramai, kebersihan dilupakan sesetengah pihak. Walaupun PBT bertungkus lumus tetapi peranan masyarakat juga penting,” katanya.
– FZL
Categories
BERITA UTAMA

Perginya seorang pejuang tulen yang gigih (Oleh Syed Husin Ali)

suhaimi said 01Seorang pejuang tulen yang gigih untuk keadilan rakyat sudah meninggalkan kita buat selama-lamanya pada 5 November lalu.

Haji Suhaimi @ Sulaiman bin Said menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultan Ahmad Shah (HSAS) kira-kira jam 6.08 petang, dengan disaksikan oleh isterinya Hajah Hendon Jaafar, anak-anak dan keluarga terdekat.

Pada hari itu saya mendapat mesej menyatakan keadaan Suhaimi tenat. Saya telefon Hendon dan apabila ditanya keadaan Suhami dia menangis dan hanya mengeluarkan perkataan “Teruk”.

Dalam tiga kali saya melawatnya di HUKM dan HSAS saya lihat keadaannya semakin membimbangkan. Jadi kali ini saya terus bertolak dari rumah bersama empat orang kawan ke Temerloh.

suhaimi said 02Kami sampai di HSAS kira-kira jam 4.15. Walaupun belum waktu melawat lagi, kami dibenarkan ke wadnya di tingkat 7. Saya lihat matanya pejam dan nafasnya kuat; pada hidungnya terletak alat membekal oksigen.

Saya membisikkan nama pada telinganya, mengucap beberapa kali dan mengingatkannya supaya terus mengucap. Saya percaya dia mendengar.

Setengah jam kemudian kami turun untuk melapangkan tempat bagi keluarga dan sahabat yang menunggu hendak naik. Lepas jam 5 kami beredar dari hospital untuk pulang. Semasa berhenti di Lancang untuk menunaikan solat asar, kami ditelefon Suhaimi tiada lagi.

Saya merasa pilu sekali.

Suhaimi dilahirkan di kampung Lubuk Kawah, Temerloh pada 8 Disember 1944. Beliau membesar dalam keluarga dan masyarakat yang kuat berjuang untuk kemerdekaan dari penjajah.

Ayahnya seorang aktivis Angkatan Pemuda Insaf (API), sayap pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Bahkan boleh dikatakan seluruh kampung itu kuat dipengaruhi PKMM. Hampir semua anggota keluarganya terlibat dengan perjuangan parti kebangsaan itu.

Semasa dewasanya Suhaimi belajar di Koleh MARA dan ketika itulah saya sebagai pensyarah di UM mulai berkenalan dengannya. Kemudian Suhaimi bekerja di pejabat Menteri Besar Pahang, di bawah Datuk Razak Hussein.

Beliau dapat memberitahu kami tentang banyak laporan bertulis SB (Cawangan Khas) kepada MB. Masa itu pengaruh Parti Rakyat (PRM) di Temerloh sangat kuat.

Suhaimi berhenti dari bekerja untuk melanjutkan pelajaran undang-undang di London. Semasa itu saya selalu berjumpa dengannya sebab saya juga berada di sana untuk membuat ijazah PhD.

Di London beliau bergerak dalam PRM Ranting London dan cergas dalam gerakan pelajar. Beliau mengikuti juga pergerakan sosialis di sana.

Selepas dianugerah seorang anak perempuan dan berjaya mendapat ijazah, Suhaimi pulang ke tanah air dan tidak lama kemudian menceburkan diri dalam PRM. Dari masa itulah beliau mula bergerak di kalangan peneroka Felda.

Di samping itu beliau cergas mendirikan atau menguatkan ranting-ranting PRM. Beliau seorang aktivis yang tidak kenal penat lelah.

Berikutan krisis dalam PRM Suhaimi meninggalkannya dan memasuki PAS. Beliau menghadapi masalah dalam Parti itu dan berhenti pula untuk pindah sekejap ke dalam UMNO, yang sentiasa dianggapnya sebagai kesilapan besar.

Walaupun berpindah-pindah parti, beliau sentiasa berpegang kuat kepada asas perjuangan yang pro-rakyat. Beliau “bersara” dari politik seketika. Hanya pada 27 November 2007 Suhaimi memasuki Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), setelah diminta oleh Syed Husin, Anwar Ibrahim dan Nizam.

Beliau begerak dengan gigih hampir seorang diri mula-mulanya untuk terus membela nasib peneroka Felda dan menggerakkan jentera parti di Pahang. Beliau membuka Ranting Kuala Krau, yang ramai dianggotai oleh peneroka Felda dan Orang Asal.

Selaku pemimpin Ranting itu, beliau tidur baring di rumah Orang Asal dan mempelajari bahasa mereka. Mereka sayangkannya, dan tidak peliklah ramai antara mereka hadir pada hari pengebumiannya.

Di dalam KEADILAN Suhaimi memegang beberapa jawatan penting di peringkat Negeri dan Pusat. Beliau dipilih menjadi Naib Pengerusi KEADILAN Pahang dan diangkat sebagai anggota Majlis Pimpinan Parti (MPP) dan Ketua Biro Peneroka Felda dan Orang Asal.

Di bawah Biro ini beliau dan beberapa orang peguam, seperti Sivarasa, Kumar dan Latheefa telah memenangi beberapa kes saman mahkamah terhadap Felda untuk membela peneroka.

Suhaimi boleh dikatakan pekerja sepenuh masa Parti tanpa bayaran daripadanya. Baginya perjuangan dalam politik bukan untuk kepentingan diri. Kerana perjuangan beliau ditahan dua kali di bawah ISA pada 1985 dan 1987.

Beliau mempunyai sebuah syarikat guaman dan tidak pernah menggunakannya untuk mengumpul kekayaan. Oleh kerana bergerak cergas, beliau menyerahkan syarikat untuk diuruskan oleh anak perempuannya yang lahir di London dulu. Beliau bertanding dalam pilihanraya ke-13 akan tetapi gagal.

Semasa berkempen dalam pilihanraya itu Suhami sudah mula mengalami sakit yang bertambah tenat selepasnya. Beliau kembali ke RahmatulLah tanpa meninggalkan harta benda. Sebagai harimau mati meninggalkan belang, beliau meninggalkan nama yang harum.

Nama itu berkaitan dengan kegigihan dan keikhlasannya dalam perjuangan demi rakyat. Suhami harus dijadikan teladan dan ikutan paling baik bagi semua anggota KEADILAN dan pejuang rakyat.

Al-Fatihah.

Categories
SELANGOR

MPSJ heret pemilik pangsapuri tak bayar caj selenggaraan ke mahkamah

mpsjOleh : NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA 9 NOV : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berjaya mengheret enam pemilik pangsapuri yang enggan membayar caj penyelenggaraan ke mahkamah, pada tahun ini.

Ketua Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) MPSJ, Noorhafez Nordin, berkata tindakan itu dilakukan dibawah Akta 663, Pengurusan dan Penyelenggaraan Bangunan Berstrata yang boleh menyebabkan tindakan sita dan lelong dilakukan.

Katanya, MPSJ tidak akan menerima sebarang rayuan daripada pemilik terbabit untuk menarik kes daripada tindakan pendakwaan ke mahkamah sehingga mencapai penyelesaian dengan pihak Badan Pengurusan Bersama (JMB).

“Setakat ini, MPSJ akan mengeluarkan notis kepada pemilik dalam tempoh sebulan dan akan dakwa mereka ke mahkamah jika gagal membayar caj penyelenggaran.

“Jika gagal membayar, kita akan mengeluarkan waran tahanan dan sita atau lelong, namun kebiasaan kes diselesaikan di luar mahkamah,” katanya selepas taklimat Seminar Pengurusan dan Penyelenggaraan Bangunan Berstrata, di kondominium USJ One Avenue, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Abdul Samad memaklumkan sebanyak 127 kes sudah dibawa ke mahkamah melalui pihak berkuasa tempatan (PBT), sejak Ogos 2012 sehingga Mei lalu.

Katanya, 46 kes daripadanya Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), 35 daripada Sepang (MPSp) dan Hulu Selangor (MDHS), 16 Subang Jaya (MPSJ), 10 Kuala Selangor (MDKS), dan 3 Kajang (MPKj).

Dalam program itu, MPSJ mengambil inisiatif mengadakan Seminar Pengurusan dan Penyelenggaraan Bangunan Berstrata membabitkan 105 JMB dan Perbadanan Pengurusan (MC) bagi kawasan zon Subang Jaya.

Program itu bertujuan memberi pendedahan dan kefahaman berkenaan fungsi serta peranan Pesuruhjaya Bangunan, JMB dan MC berdasarkan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) yang akan dikuatkuasakan tahun depan.

Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) adalah undang-undang yang diperuntukkan untuk mengawal selia penyelenggaraan dan pengurusan bangunan bertingkat atau tanah yang dipecah bahagi dan dikeluarkan hakmilik strata, bermula daripada peringkat penyerahan milikan kosong sehingga ke peringkat selepas perbadanan pengurusan diwujudkan.

Akta itu diluluskan di Parlimen pada 19 Disember 2012 dan dijangka akan berkuatkuasa tahun depan, bagi mengantikan Akta 663 yang membolehkan pemilik bangunan tidak perlu menubuhkan JMB, namun setiap senarai pengurusan atau akaun mesti diserahkan kepada MC dan akan diserahkan terus kepada tribunal serta COB mempunyai kuasa penuh untuk mendakwa pemilik.

-NFN-

Categories
GALERI

Kemesraan MB Selangor dan Anwar Ibrahim

lensa mb anwar 2

Ketika segelintir pihak cuba memberi gambaran hubungan Tan Sri Khalid Ibrahim dan Datuk Seri Anwar Ibrahim kurang mesra, pertemuan mereka di Sekolah Rendah Agama Ar-Razi sempena program Akademi Imam Muda Da’ie, membuktikan sebaliknya.  Gambar Shuaib Ayob. LIHAT BERITA

Categories
NASIONAL

Pemberian Mykad palsu gugat keselamatan rakyat

20130623_PKR_Padang_Serai_N_SurendranOleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 NOV – Pemberian kad pengenalan (Mykad) palsu jelas menggugat keselamatan rakyat Malaysia apabila kes jenayah membabitkan senjata api semakin meningkat.

Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran, berkata jenayah itu adalah antara siri kegagalan kerajaan pusat dalam memastikan jaminan keselamatan Mykad yang dikatakan antara tercanggih dan tidak boleh ditiru sudah mampu diklonkan.

Hal itu terbukti apabila ramai warga asing yang bekerja sebagai pengawal keselamatan memiliki Mykad yang mempunyai ciri hampir sama seperti kad pengenalan rakyat tempatan dan ada di kalangan mereka diberi lesen menggunakan senjata api ketika bertugas.

“Pemeriksaan yang tidak teliti adalah antara kecuaian hingga mengakibatkan syarikat kawalan keselamatan mengambil pekerja yang mempunyai kad pengenalan palsu. Apakah ini satu lagi bentuk kronisme apabila ada pihak tertentu dalam syarikat ini diberikan lesen sewenang-wenangnya.

“Kita tahu ada syarikat yang mempunyai kaitan dengan bekas Ketua Polis Negara dan kerajaan perlu mengambil tindakan segera dan jelaskan kepada rakyat,” katanya kepada Selangor Kini.

Beberapa siri jenayah yang membabitkan pengawal keselamatan sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda perlu dipandang serius kerana terdapat pemalsuan Mykad yang berjaya dibongkar ekoran kejadian terbabit.

Hal itu turut diperkukuhkan dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang memaklumkan terdapat lima syarikat pengawal keselamatan disiasat kerana dipercayai melanggar syarat pengurusan lesen senjata api hasil siasatan rambang Polis Diraja Malaysia (PDRM), sejak dua minggu lalu.

Sehubungan itu, Surendran berkata, masih terdapat rakyat Malaysia belum memiliki Mykad biru khususnya kaum India dan penduduk Sabah Sarawak, namun warga asing yang masuk ke Malaysia berjaya memperolehnya walaupun secara palsu.

“Itu yang menjadi ironis. Rakyat sendiri terutama kaum India dan Sabah Sarawak tidak diberikan kad pengenalan biru.

“Orang tidak berhak memiliki Mykad palsu. Itu menunjukkan kerajaan tidak efisyen, tidak bertanggungjawab dan prihatin dengan masalah rakyat,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Peguam Negara ‘double standard’ kes PKFZ, Altantuya

PKFZ3Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 9 NOV : Keengganan kerajaan pusat memfailkan rayuan terhadap kes berprofil tinggi membabitkan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) disifatkan ‘double standard’.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N Surendran berkata, tindakan itu juga dilihat sebagai pilih kasih dan membuktikan sistem perundangan negara tidak bebas dan mempunyai integriti.

Katanya, kegagalan Peguam Negara dalam kes seperti itu menyebabkan masyarakat hilang keyakinan bukan sahaja terhadap kerajaan pusat, tetapi institusi Peguam Negara, polis dan mahkamah serta menjejaskan reputasi negara untuk menarik pelabur.

“Perkara ini serius dan saya terkejut apabila Peguam Negara enggan membuat rayuan dan perkara sama turut terjadi dalam kes Altantuya. Kita boleh lihat dengan jelas Peguam Negara pilih kasih dalam membuat rayuan dalam kes berprofil tinggi,” katanya ketika dihubungi portal Selangor Kini, di sini, hari ini.

Surendran turut memberikan contoh ‘double standard’ dalam kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila Peguam Negara berusaha untuk memenjarakan Anwar apabila membuat rayuan dan turut membawa masuk Datuk Shafei Abdullah sebagai pendakwa walaupun kes terbabit tidak mempunyai asas serta ditolak Hakim Mahkamah Tinggi.

“Tetapi dalam kes PKFZ dan Altantuya, pihak pendakwa tidak begitu minat. Ini menunjukkan ‘double standard’ berlaku apabila intitusi Peguam Negara dan sistem perundangan kita tidak bebas dan mempunyai integriti, selain memperlihatkan pendakwaan terhadap Anwar bermotifkan politik,” katanya.

Semalam, Timbalan Peguamcara II, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Malaysiakini mengesahkan Pejabat Peguam Negara tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan pembebasan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik dalam kes penipuan PKFZ.

Liong Sik didakwa menyebabkan Kabinet meluluskan pembelian tanah yang menyebabkan kerugian kepada kerajaan apabila projek PKFZ dianggarkan berharga RM1.1 bilion selepas dimulakan pada tahun 1997, namun menjadi empat kali ganda iaitu RM4.6 bilion, pada tahun 2007.

-NFN-

Categories
SELANGOR

30 penduduk DUN Bukit Melawati terima manfaat Skim Mesra Usia Emas

Camera 360Oleh : Lizawati Madfa

KUALA SELANGOR 7 NOV : Lebih 30 penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati menerima manfaat Skim Mesra Usia Emas (SMUE) iaitu khairat kematian, sepanjang bulan September dan Oktober lalu.

Penyelaras DUN, S Manikavasagam, berkata setiap peserta menerima RM 1,000 di pejabat DUN berkenaan, manakala baki RM 1,500 pula akan disampaikan dalam satu majlis anjuran Pejabat Daerah Kuala Selangor yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.

smue 03“Wakil pejabat penyelaras DUN akan ke rumah peserta yang tidak dapat hadir ke pejabat bagi menyampaikan wang yang diamanahkan ini.

“Pemberian ini bukti kerajaan Selangor dan Pakatan Rakyat komited dalam menunaikan segala manifesto pilihan raya, terutama dalam soal kebajikan rakyat tanpa mengira jantina, kaum, agama, fahaman politik, status ekonomi dan tahap sosial mereka,” katanya.

SMUE adalah satu daripada tujuh agenda Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor (MES) yang dilancarkan kerajaan negeri, pada Ogos 2008.

smue 02Manikavasagam berkata, melalui skim itu, penama yang berdaftar layak menuntut dari Pusat Khidmat DUN kawasan mereka sumbangan khairat kematian sebanyak RM 2,500 melalui dua fasa apabila ahli meninggal dunia.

“Ia adalah inisiatif kerajaan negeri bagi meringankan beban waris ahli yang meninggal dunia. Kita berharap pemberian inisiatif ini dapat membantu mereka sama ada untuk menguruskan jenazah atau perkara lain yang perlu,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

‘Kami benar-benar tinggalkan Al-Arqam, usah ragui taubat kami’

alarqam 01 copyOleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 9 NOV : Pengerusi Eksekutif, Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB), Hatijah Aam berharap masyarakat tidak meragui taubat yang dilafazkan beliau bersama bekas pengikut Al-Arqam.

Hatijah berkata, ikrar taubat yang dilafazkannya bersama kira-kira 400 pengikut ajaran yang diasaskan Ashaari Muhammad itu lahir daripada kesedaran mereka terhadap kesilapan lalu.

alarqam 02 copyKatanya, dana anak yatim yang sebelum ini didakwa diselewengkan beliau juga kini dalam proses untuk dikembalikan semula kepada penerima sebenar.

“Dana anak yatim itu dalam proses untuk dikembalikan semula mana yang termampu,” katanya pada sidang media Majlis Istitabah Pengikut Al-Arqam, di Hotel Concorde, di sini, semalam.

Ketika menjawab satu soalan, Hatijah berkata, kini tidak ada individu yang masih ‘ditahan’ beliau seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

alarqam 03 copyHatijah turut mempelawa pihak yang berminat untuk melihat sendiri perubahan cara hidup dan tempat ibadah bekas pengikut Al-Arqam di Bandar Country Homes Rawang.

Dalam majlis taubat itu, Hajijah melafazkan persiytiharan taubat di hadapan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Marzuki Hussin; Exco Hal Ehwal Islam, Sallehen Mukhyi; Timbalan Mufti Selangor, Datuk Abdul Majid Omar dan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Profesor Emiritus Tan Sri Dr Abd Shukor Hussein.

“Wallahi, Wabillahi, Watallahi; kami hari ini bertaubat dan menyesal dengan sebenar taubat dan kami begitu hina dan menyesal dengan perbuatan lalu kami.

“Kami berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatan kami dan selayaknya (wajib) atas kami untuk tidak akan memberi sebarang ruang walau sebesar zarah kepada tempias dan sisa fahaman juga pegangan untuk berdetik serta berlegar di hati kami, apatah lagi kepada insan sesama Islam yang lain,” katanya. -NFN-

Categories
SELANGOR

MB & Anwar sarapan bersama peserta Akademi Imam Muda Da’ie

01 (1) copyOleh : AFIX REDZUAN 

SHAH ALAM 9 NOV – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa bersarapan dan bergambar bersama 38 murid tahun enam Sekolah Rendah Agama Ar-Razi dalam Program Akademi Imam Muda Da’ie, di sini, hari ini.

Peserta progam latihan dan tarbiyah itu mengambil kesempatan bertemu dengan tokoh terkemuka termasuk pemimpin setempat bagi meningkatkan motivasi kepada pelajar di ruang legar Bangunan Pejabat Setiausaha Negeri Selangor (SUK).

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM MELAYANI PELAJAR - PELAJAR  DENGAN MEMBERI TANDATANGAN SEBAGAI KENANGAN DI MASJLIS SARAPAN PAGI BERSAMA PELAJAR -PELAJAR SEKOLAH AGAMA MERU DI LOBI SUK PAGI TADIProgram yang berlangsung selama tiga hari dua malam itu adalah antara inisiatif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan bagi mengisi masa lapang hujung minggu dalam usaha melatih murid menjadi imam dan pendakwah serba boleh sebelum melangkah ke sekolah menengah.Pengerusi PIBG, M Sueb Ismail, berkata inisiatif itu dicetuskan hasil daripada program Imam Muda yang disiarkan di Astro dan diadaptasi kepada murid sekolah berkenaan.

anwarKatanya, progam yang julung kali diadakan itu memberi pendedahan kepada murid untuk memantapkan kemahiran berhadapan dengan masyarakat, selain berpeluang beramah mesra bersama golongan profesional.

“Sambutan daripada ibu bapa memberansangkan cuma kekangan daripada segi kewangan. Kebanyakan mereka datang dari kawasan kampung dan ramai yang terpaksa menarik diri kerana masalah kewangan.

“Mereka rasa ini adalah program tambahan, tetapi kami lakasanakan versi yang berbeza iaitu menyelitkan unsur tarbiah dan latihan. Kami juga bercadang untuk menganjurkan program ini sebulan sekali pada hari Sabtu dan Ahad, namun menghadapi kekangan wang,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Naikkan rebat air, Johor sekadar ‘menunjuk-nunjuk’

V-GanabatirauOleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 9 NOV : Langkah kerajaan Johor menaikkan pemberian rebat air percuma kepada pengguna di negeri itu disifatkan sekadar menunjuk-nunjuk kononnya Barisan Nasional (BN) serius dalam membantu rakyat.

Exco Selangor, V Ganabatirau berkata, kerajaan Johor mampu berbuat demikian kerana meraih sokongan dan bantuan kewangan yang kukuh daripada kerajaan pusat.

“Hanya Selangor yang serius dalam isu pemberian air percuma, bukan Johor kerana mereka ini dilihat lebih menunjuk-nunjuk.

“Kita harus ingat, kerajaan BN yang kutuk kita dulu apabila Selangor memberi air percuma, tetapi sekarang mereka mencontohi kita pula,” katanya menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada portal Selangor Kini, di sini, semalam.

Semalam, kerajaan Johor mengumumkan untuk menaikkan pemberian rebat air daripada 20 meter padu kepada 35 meter padu dalam usaha meringankan beban golongan miskin dan miskin tegarnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata selain itu kerajaan negeri juga akan memastikan menjelang 2017 semua penduduk Johor akan menikmati bekalan air bersih.

Pelaksanaan itu bukan sahaja tertumpu kepada akses bekalan air tetapi juga merangkumi kualiti serta tahap perkhidmatan setanding dengan negara maju.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Karnival Jualan Murah BN taktik kotor ‘bodohkan’ rakyat

Nur-ManutyOleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 9 NOV : Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom tidak perlu memperbodohkan rakyat dengan alasan dangkal berkenaan jualan murah gula dan beras ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Muhammad Nur Manuty, berkata Jamil tidak seharusnya berbohong bagi pihak BN berkenaan isu kempen karnival jualan murah gula dan beras itu kerana beliau adalah menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam.

“Semua orang tahu bahawa apa yang berlaku di sana (karnival jualan murah) itu adalah kempen pilihan raya bagi mendapatkan undi rakyat di sana, jadi buat apa hendak dinafikan lagi.

“Jamil Khir tidak perlu berdolak-dalih dengan memberikan pelbagai alasan, mengaku sahaja itu adalah strategi kempen BN yang tidak menjadi,” katanya.

Beliau dihubungi portal Selangor Kini bagi mengulas penafian Jamil Khir tempoh hari bahawa jualan murah itu diadakan sebagai strategi kempen PRK, sebaliknya beliau berkata ia dilakukan secara kebetulan.

BN didakwa mengadakan karnival jualan murah iaitu gula hanya dijual pada harga RM 1 sekilogram (kg), manakala sekampit beras lima kg pula dijual dengan harga RM 5, tetapi kebiasaannya, setiap kg gula dijual pada harga RM 2.85 dan beras lima kg dijual dengan harga RM 13.

“Pelik kerana karnival itu dijalankan ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan bajet memberitahu satu Malaysia bahawa subsidi gula terpaksa dikurangkan bagi mengurangkan risiko penyakit diabeties di kalangan rakyat.

“Jadi adakah tindakan menjual gula pada harga semurah RM 1 itu untuk membuatkan penduduk Sungai Limau diserang penyakit,” katanya.

Categories
NASIONAL

Rizab negeri hanya untuk projek penting dan kritikal

teng chang kimOleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 9 NOV : Rizab negeri yang dianggarkan berjumlah RM2.6 bilion hanya akan digunakan untuk melaksanakan projek penting dan kritikal serta tidak akan dibelanjakan sesuka hati.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim, berkata rizab simpanan sedia ada mempunyai jumlah yang besar secara relatif, namun hanya akan digunakan jika berlaku kecemasan seperti pembinaan jambatan ketiga Klang untuk mengurangkan kesesakan di kawasan itu yang menelan kos kira-kira RM600 juta.

Beliau berkata, menjadi amalan biasa bagi kerajaan di seluruh dunia menyimpan rizab yang tinggi supaya dapat menampung perbelanjaan jika berlaku kegawatan ekonomi.

“Melihat kepada belanjawan negeri pada kadar RM1.6 bilion untuk tahun 2013, jelas menunjukkan rizab kita bukan besar sangat. Berkemungkinan belanjawan untuk tahun hadapan lebih tinggi memandangkan kos pentadbiran dan pembangunan perlu dipertingkatkan.

“Simpanan tidak bererti kita kena gunakan. Andai kata ekonomi Selangor teruk pada tahun depan, maka dengan adanya rizab ini kita boleh bertahan,” katanya.

Chang Kim berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan sesetengah pihak yang mempersoalkan keengganan kerajaan negeri menggunakan rizab walaupun nilainya kini mencecah berbilion ringgit.

Isu itu timbul selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seharusnya mengimbangi perbelanjaan dengan simpanan kewangan kerajaan negeri dalam satu forum, di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Sebaliknya, Anwar menyukai cara Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang berjaya menguruskan belanjawan seimbang dan sebagai menjawab pandangan Anwar itu, Abdul Khalid berkata, usaha mengumpulkan dana adalah jauh lebih sukar berbanding membelanjakan dana sedia ada.

-NFN-