Categories
SELANGOR

Perkenal langkah komprehensif atasi projek terbengkalai

Oleh : Afeeqa Afeera

Gambar : Shuaib Ayob

SHAH ALAM 21 NOV : Kerajaan negeri mengambil beberapa langkah komprehensif dan berkesan dengan memperkenalkan dasar baru untuk mengatasi projek perumahan terbengkalai tidak berulang.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar negeri, Iskandar Abdul Samad, berkata pemaju wajib menghantar Borang 7F untuk memaklumkan status terkini kedudukan projek yang sedang dibina seperti ditetapkan di bawah Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).

06Katanya, penguatkuasaan itu diputuskan kerajaan negeri melalui kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Iskandar berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memantau Jadual Kedua Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 yang memerlukan pemaju mengemuka borang (A, B, C, D dan E) kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bagi tujuan pemantauan.

“Dengan mengemukakan salinan borang itu, LPHS akan dapat mengenal pasti jika berlaku masalah terhadap sesebuah projek dan tindakan awal akan dapat dijalankan.

“LPHS melalui sistem pendaftaran pemaju akan memantau terus projek itu jika ingin menjalankan pembangunan perumahan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh kebenaran merancang diluluskan PBT,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Dr Yaakob Sapari (PKR-Kota Anggerik) berhubung langkah kerajaan negeri mengatasi projek terbengkalai.

Iskandar (PKR-Cempaka) berkata, pemaju juga diarah mengemukakan laporan status projek beserta jadual kerja bagi setiap pembangunan di Selangor.

Beliau berkata, LPHS juga akan bertindak sebagai ‘one stop centre’ apabila semua maklumat dikumpul dan diedarkan kepada PBT dan KPKT sebagai sistem amaran awal jika berlaku projek terbengkalai.

Katanya, konsep bina dan jual juga sedang dilaksanakan lebih meluas demi melindungi rakyat daripada dianiaya pemaju.

“Lawatan ke tapak projek akan dijalankan daripada semasa ke semasa bersama pihak perunding projek dan PBT jika menunjukkan projek berkenaan akan bermasalah,” katanya.

Sehingga ini, kerajaan negeri berjaya menyelesaikan 42 projek perumahan terbengkalai membabitkan 19,958 unit rumah, sejak Mac 2008 hingga 31 Oktober lalu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.