Categories
SELANGOR

Selangor tidak lulus penempatan rizab sungai elak masalah banjir

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 26 NOV : Kerajaan negeri tidak akan meluluskan penempatan di kawasan rizab sungai bagi mengelakkan masalah banjir yang mampu memberi impak sosial kepada penduduk.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kerajaan negeri juga akan mengambil langkah memindahkan penduduk yang tinggal di kawasan rizab sungai secara berperingkat.

11Katanya, penduduk hanya akan dipindahkan jika penempatan baru ditetapkan bagi mengelak sebarang masalah lain yang berbangkit.

“Itu adalah salah satu hasil analisa masalah dan cara mengatasi yang dijalankan kerajaan negeri di kawasan penempatan yang berhadapan masalah banjir.

“Kita juga tidak benarkan penempatan dibuat di kawasan tadahan hujan yang lebih tinggi daripada perumahan kerana risikonya lebih besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung perancangan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam menentukan sesuatu penempatan atau kawasan perumahan di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Abdul Khalid (PKR-Pelabuhan Klang) berkata, kerajaan negeri turut memantau rapat pembangunan yang dijalankan supaya selari dengan konsep pelan struktur yang dipersetujui.

“Masalah akan timbul apabila pembinaan dilakukan tidak mengikut ‘structural plan’, pembinaan sebelum pelan itu disediakan dam pembangunan yang dilakukan tanpa kelulusan. Semua pembangunan yang bermasalah dan tidak mengikut pelan berkenaan sedang dalam proses pemulihan,” katanya.

Abdul Khalid berkata, beliau turut berharap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat bekerjasama dengan Unit Perancangan Negeri (UPEN) serta Pejabat Tanah dan Daerah bagi mencari penyelesaian terbaik mengatasi kesan pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) membabitkan pelan struktur sedia ada.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.