Categories
NASIONAL

Syed Mokhtar untung RM3.5 bilion tapi pesawah terus miskin

Oleh : NAZLI IBRAHIM

Gambar : REMY ARIFFIN

SUBANG 13 NOV: Tan Sri Syed Mokhtar Bukhari diunjur bakal memperoleh pendapatan bernilai RM3.5 bilion daripada hasil pelaburan beliau dalam syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dalam jangka masa tiga tahun akan datang.

Unjuran pendapatan itu diperoleh berdasarkan keuntungan BERNAS yang terus meningkat daripada hasil komoditi beras yang juga makanan ruji rakyat Malaysia.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keadaan itu membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) lebih mengutamakan kroni mereka, berbanding kehidupan pesawah padi yang berterusan dibelenggu kemiskinan.

“Lebih menjadi tanda tanaya bagaimana seorang Melayu boleh beli syarikat atau penswastaan dan mencatat unjuran kekayaan pendapatan dalam tempoh tiga tahun akan datang RM3.5 bilion daripada BERNAS, sedangkan pendapatan rakyat miskin itu tidak mencukupi,” kata beliau pada Majlis Makan Malam Pakatan Rakyat (PR) di Hotel Empire, di sini, malam tadi.Dinner PR 01

Anwar berkata, ketika beliau menjadi Menteri Kewangan, penswastaan BERNAS hanya boleh diteruskan dengan syarat sebanyak 10 peratus saham syarikat itu diagihkan kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), manakala lima peratus kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Kelantan, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Kedah dan kakitangan BERNAS.

Sebelum ini, Anwar menegaskan Syed Mokhtar berjaya memiliki 53.7 peratus saham BERNAS melalui dua syarikat miliknya sehingga akhir 2009 dan tawaran pembelian saham itu dilanjutkan pada penghujung Februari lalu melalui beberapa syarikat lain yang dikatakan bernilai RM477 juta.

Anwar berkata, keuntungan bersih tahunan BERNAS secara konsisten pada RM135 juta sejak 2006 dan terus meningkat daripada RM2.1 bilion kepada RM3.6 bilion pada 2012.

Majlis Makan Malam PR itu dihadiri kira-kira 100 pemimpin utama PR termasukl Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.