Categories
NASIONAL

Anwar : Kepentingan ratusan ribu petani dikhianati demi Syed Mokhtar

Oleh : SIRAJ MOHD ZAINI

KUALA LUMPUR 18 NOV : Kepentingan ratusan ribu pesawah padi dikhianati ekoran pengambilalihan Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhrary.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata nasib 173,000 petani Melayu seluruh negara kini jelas terancam hanya kerana kerajaan pusat didakwa ingin mengayakan jutawan itu.

anwar white“Kita bicara berkenaan seorang yang bernama Tan Sri Syed Mokhtar atau 173,000 pesawah padi Melayu, 95 peratus Melayu dan bumiputera, dan kalau ikut rangka Pertubuhan Peladang, jumlah ini meningkat sehingga 240,000 orang.

“Kepentingan mereka dikhianati kerana kerajaan pusat menggadai kepentingan mereka dan menyerahkan kepada Syed Mokhtar yang mencatat keuntungan lebih RM800 juta mengikut unjuran yang dibuat Maybank Investment,” katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, 45 peratus pegangan BERNAS yang dahulunya menjadi milik petani dan kakitangan syarikat itu, kini hanya dikuasai Syed Mokhtar.

Pada 1995, syarat dikenakan kepada pegangan saham BERNAS iaitu 10 peratus pegangan saham diberikan kepada Petubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), manakala lima peratus kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan kakitangan syarikat itu.

Anwar berkata, dasar penswastaan yang diumumkan kerajaan pusat untuk menjadikan industri berkenaan lebih efisyen ternyata sudah menyimpang jauh daripada matlamat asalnya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

BERNAS diswasta, harga beras bakal naik

Oleh : Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 18 NOV : Tindakan kerajaan pusat menswastakan syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) mengancam kitaran sumber makanan utama negara dan menyebabkan harga beras pada kawalan syarikat yang memonopoli komoditi itu.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata tindakan penswastaan industri beras pada monopoli individu hanya mendedahkan harga beras kepada spekulasi yang boleh menjejaskan kehidupan rakyat.

Mohd Azmi Abdul HamidKatanya, kerajaan pusat perlu mempunyai kuasa dan kepentingan dalam industri utama negara khususnya makanan kerana ia adalahperkara asas rakyat Malaysia.

“Penswastaan ini satu perkara yang tidak patut berlaku dan kerajaan pusat perlu campur tangan serta memperbetulkan keadaan supaya tidak dibolot satu syarikat sahaja,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan Tan Sri Syed Mokhtar Bukhari yang didakwa mengambil alih sepenuhnya syarikat BERNAS untuk keuntungan peribadinya.

Anwar berkata, niat asal penubuhan BERNAS adalah untuk melindungi kepentingan petani dan pengedar Bumiputera sudah tersasar apabila kerajaan pusat membenarkan syarikat itu dimonopoli pihak tertentu.

Azmi berkata, beliau tidak menolak kemungkinan harga beras akan meningkat seperti yang berlaku terhadap kenaikan harga gula sebelum ini.

“Apabila satu barangan komoditi dibolot sesebuah kartel atau syarikat besar, maka ia akan terdedah kepada kenaikan kos kerana hanya mementingkan keuntungan.

“Kita tidak terkejut jika harga beras akan dipulangkan kepada pasaran untuk ditentukan harganya,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Syed Mokhtar untung RM3.5 bilion tapi pesawah terus miskin

Oleh : NAZLI IBRAHIM

Gambar : REMY ARIFFIN

SUBANG 13 NOV: Tan Sri Syed Mokhtar Bukhari diunjur bakal memperoleh pendapatan bernilai RM3.5 bilion daripada hasil pelaburan beliau dalam syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dalam jangka masa tiga tahun akan datang.

Unjuran pendapatan itu diperoleh berdasarkan keuntungan BERNAS yang terus meningkat daripada hasil komoditi beras yang juga makanan ruji rakyat Malaysia.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata keadaan itu membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) lebih mengutamakan kroni mereka, berbanding kehidupan pesawah padi yang berterusan dibelenggu kemiskinan.

“Lebih menjadi tanda tanaya bagaimana seorang Melayu boleh beli syarikat atau penswastaan dan mencatat unjuran kekayaan pendapatan dalam tempoh tiga tahun akan datang RM3.5 bilion daripada BERNAS, sedangkan pendapatan rakyat miskin itu tidak mencukupi,” kata beliau pada Majlis Makan Malam Pakatan Rakyat (PR) di Hotel Empire, di sini, malam tadi.Dinner PR 01

Anwar berkata, ketika beliau menjadi Menteri Kewangan, penswastaan BERNAS hanya boleh diteruskan dengan syarat sebanyak 10 peratus saham syarikat itu diagihkan kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), manakala lima peratus kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Kelantan, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Kedah dan kakitangan BERNAS.

Sebelum ini, Anwar menegaskan Syed Mokhtar berjaya memiliki 53.7 peratus saham BERNAS melalui dua syarikat miliknya sehingga akhir 2009 dan tawaran pembelian saham itu dilanjutkan pada penghujung Februari lalu melalui beberapa syarikat lain yang dikatakan bernilai RM477 juta.

Anwar berkata, keuntungan bersih tahunan BERNAS secara konsisten pada RM135 juta sejak 2006 dan terus meningkat daripada RM2.1 bilion kepada RM3.6 bilion pada 2012.

Majlis Makan Malam PR itu dihadiri kira-kira 100 pemimpin utama PR termasukl Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Najib dan Taib perlu isytihar harta bukti Ketelusan dalam kepimpinan

Najib dan Taib

SHAH ALAM 18 OKT: Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menegaskan tidak adil jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud tidak mengisytiharkan harta mereka dengan alasan sudah terlalu lama dalam politik.

Johari berkata, pengisytiharan itu perlu dilakukan memandangkan rakyat sudah mengetahui pendapatan ahli politik seperti Menteri Besar dan Ahli Parlimen terutama membabitkan Pakatan Rakyat.

Katanya, tidak menjadi masalah jika pemimpin politik mempunyai harta yang banyak dengan syarat mereka mampu menjelaskan kaedah perolehan harta terbabit.

“Pasti tidak adil jika mereka tidak mengisytiharkan harta yang dimiliki. Apa yang perlu ditakutkan jika dia ada RM50 juta dan boleh menjelaskan kepada umum dari mana dia dapat sumber itu.

“Keengganan pemimpin mengisytiharkan harta menyebabkan timbul prasangka bahawa mereka sedang menyembunyikan sesuatu. Saya rasa ketakutan untuk mengisyitiharkan harta mesti ada landasannya,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, hari ini.

Memetik laporan portal berita Malaysiakini, Pensyarah Universiti Malaysia (UM), Muhammad Asri Mohd Ali, berkata adalah tidak adil bagi dua pemimpin berkenaan mengisytiharkan harta mereka kerana sudah lama berada di dalam politik.

Johari yang juga bekas mahasiswa UM turut melahirkan kekecewaan berhubung kenyataan berkenaan kerana pengisyitiharan harta adalah tindakan terbaik untuk mengenalpasti individu yang terbabit atau ingin menceburi arena politik tidak dikaitkan dengan rasuah.

“Seperti yang diketahui umum, pemimpin baru atau lama wajar mengisytiharkan harta mereka kerana kaedah ini mampu mengenalpasti individu berkenaan tidak terbabit dengan rasuah dan saya kira ini adalah tindakan paling baik. Kalau betul terbabit dengan perniagaan, pemimpin itu isytiharkan sahaja harta mereka tanpa perlu disorokkan.

“Sekiranya pemimpin mula mengisyitiharkan harta, dia mungkin boleh bergelar jutawan jika mempunyai harta yang banyak dan itu tidak menjadi isu di negara ini. Sebagai contoh, tidak akan timbul sebarang kesalahan jika Syed Mokhtar Al-Bukhary, Vincent Tan atau mana-mana pihak ingin menyertai politik dan mengisytiharkan harta mereka dengan jumlah yang banyak,” katanya. -NFN-

 

Categories
NASIONAL

Penswastaan KTMB: Tambang Naik, Faedah Kakitangan Bakal Terjejas

 

SHAH ALAM, 12 SEPT : Pengguna perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal berhadapan kenaikan harga tambang perjalanan sekiranya penswastaan kepada Malaysian Mining Corporation Berhad (MMC) berlaku.

Perkara ini dinyatakan oleh Presiden Kesatuan Kakitangan KTMB, Abdul Razak Md Hassan yang membantah pengambilalihan KTMB kepada syarikat yang dikawal oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Jelasnya, rakyat sudah pasti akan menerima kesan pengambilalihan memandangkan setakat ini tambang perjalanan KTMB merupakan paling murah berbanding dengan pengangkutan awam lain seperti LRT dan Monorail.

“Adakah tambang ini tidak dinaikkan? Bagaimana pula dengan kargo? Jadi inilah implikasi kepada pengguna,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli sebelum ini mendedahkan usaha menyerahkan operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kepada MMC.

Rafizi mendakwa usaha ini satu percubaan untuk membentuk sistem monopoli dalam operasi pengangkutan awam dan industri logistik.

Selain itu, Abdul Razak berkata pengambilalihan ini akan menyebabkan kakitangan KTMB bakal kehilangan beberapa faedah.

Menurutnya, faedah kakitangan KTMB hampir dilucutkan semasa syarikat itu diambilalih oleh Marak Unggul Sdn Bhd dari tahun 1997 sehingga tahun 2002.

“Pengalaman dengan Marak Unggul, kakitangan terpaksa buat kerja-kerja yang bukan bidang spesifikasi kerja.

“Kedua, cubaan menarik beberapa keistimewaan syarat-syarat pekerja keretapi. Ketiga faedah hospital, di mana sebelum itu kos perubatan ditanggung sepenuhnya oleh KTMB.?

Dakwa Abdul Razak, Marak Unggul cuba meletakkan had RM 1,000 terhadap kos perubatan hospital.

Abdul Razak berkata, usaha untuk mengurangkan faedah kakitangan KTMB gagal apabila Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Lim Ah Lek campurtangan.
Akhirnya pengambilalihan Marak Unggul dibatalkan pada 2002 dan Kerajaan Pusat mengambil kembali KTMB.

Ujar beliau lagi, perkara ini tidak mustahil berlaku seperti di dalam kes pengambilalihan Proton oleh DRB-Hicom, sebuah lagi syarikat yang dikuasai Syed Mokhtar.

Tegas Abdul Razak, adalah lebih baik KTMB kekal dalam situasi sekarang atau dikembalikan kepada sektor awam agar tidak menjejaskan semua pihak.

Categories
NASIONAL

Tanah KTMB Yang Tidak Dirizab Tetap Milik Kerajaan Selangor

SHAH ALAM 11 SEPT : Kerajaan Pusat diingatkan agar tidak membuat sebarang urusniaga atau sebarang urusan di atas tanah milik Kerajaan Negeri berhubung penswastaan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata mana-mana tanah negeri yang pernah digunakan untuk tujuan perkhidmatan keretapi tetapi tidak dirizabkan atau diberi milik kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan atau diletakkan kepada Perbadanan Aset Keretapi (PAC) adalah milik Kerajaan Negeri Selangor.

“Begitu juga dengan tanah yang kini tidak diduduki atau digunakan bagi tujuan perkhidmatan keretapi adalah tanah negeri.

“Kita juga tidak perlu untuk kaveat tanah itu kerana sememangnya ia milik Kerajaan Negeri,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di SUK.

Beliau berkata Kerajaan Negeri bimbang tindakan penswastaan itu akan menjadikan aset-aset milik rakyat akan jatuh ke tangan pihak swasta.

“Kerajaan Negeri memandang serius terhadap tindakan itu kerana ia akan mengakibatkan aset dan pegangan tanah milik KTMB bernilai RM50 bilion akan jatuh kepada syarikat Malaysian Mining Corporation Berhad (MMC) yang dimiliki oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary,” katanya.

Tambahan pula, keputusan penswastaan itu dibuat melalui rundingan terus.

Jelas Abdul Khalid, ia bertentangan dengan hasrat awal Kerajaan Negeri menyerahkan hartanah tersebut kepada KTMB memandangkan KTMB adalah syarikat utiliti milik penuh Kerajaan Pusat.

“Kita tidak mahu ada orang yang datang kepada Kerajaan Negeri kerana tidak tahu apa yang berlaku dan tidak faham mengenai perkara ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

Anwar : Kroni Umno-BN Semakin Kaya, Kehidupan Rakyat Tidak Berubah


CHERAS, 9 SEPT: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan Kerajaan Pusat memberikan kontrak penswastaan jutaan ringgit kepada jutawan Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary.

Dakwanya, Datuk Seri Najib Razak adalah seorang Perdana Menteri yang penakut dan lebih mementingkan kroni berbanding memperbaiki kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Sekarang saya nak tanya Najib sebagai Perdana Menteri, kamu ada kuasa, sebab apa kamu takut sangat dengan Tan Sri Syed Mokhtar.

“Apa dia minta semua kamu bagi, gula, beras, KTMB, elektrik IPP, Proton, pelabuhan Tanjung Pelepas semua kamu bagi kepada Tan Sri Syed Mokhtar.

“Kalau kita nak tolong Bumiputera, tidak bolehkah kita beri kepada anak melayu lain yang lebih layak supaya kekayaan negara dapat dimanfaatkan sebetulnya kepada rakyat,” katanya.

Anwar berkata demikian di dalam ucapannya di Majlis Rumah Terbuka MP Bandar Tun Razak Tan Sri Khalid Ibrahim di Flat Sri Labuan, Bandar Tun Razak hari ini.

Baru-baru dilaporkan bahawa Kerajaan Pusat sedang mempertimbangkan cadangan daripada syarikat Malaysian Mining Corporation Berhad (MMC) untuk mengambilalih operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad.

Syed Mokhtar, menerusi beberapa syarikatnya, menguasai lapangan terbang Senai, Port of Tanjung Pelepas (PTP) dan pelabuhan Pasir Gudang.

Laman web The Malaysian Insider melaporkan beliau juga mempunyai kaitan dengan sebuah konsortium yang dianugerahkan projek keretapi dalam bandar MRT.

Categories
NASIONAL

Ambilalih KTMB: Cubaan Najib Untuk Adakan Monopoli

PETALING JAYA, 4 SEPT: Perdana Menteri sekali lagi memungkiri janji untuk mengendalikan tender-tender kerajaan dengan telus, adil dan terbuka apabila ia bakal menyerahkan operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kepada MMC Corporation Berhad (MMC).

PKR berkata syarikat yang akan mengambilalih KTMB itu sepatutnya dipilih melalui proses tender terbuka dan bukan hanya menyerahkannya kepada syarikat yang dikawal Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Pengarah Startegi PKR, Rafizi Ramli mendakwa usaha itu dilihat cubaan mewujudkan monopoli pengangkutan keretapi yang dijangka akan menjadi antara pengangkutan alternatif utama di masa hadapan.

“Konsortium beliau juga telah dianugerahkan tender pembinaan MRT yang kosnya dijangka melampui RM100 bilion.

“Dengan penganugerahan penswastaan KTMB pula, bermakna syarikat-syarikat yang dikawal oleh Syed Mokhtar akan menguasai pengangkutan keretapi yang merupakan alternatif terpenting kepada sistem pengangkutan awam darat di masa hadapan.

“Ini bermakna, sebarang usaha menaiktaraf sistem pengangkutan awam sudah tentu akan melibatkan beliau kerana monopoli ini,” kata Rafizi di dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di sini.

Rafizi mendakwa pentadbiran Najib ketika ini sedang meneliti pelan operasi dan pengambilalihan yang dikemukan oleh MMC pada awal tahun ini.

Tindakan tersebut juga dianggap sebagai usaha untuk memusatkan operasi dan kontrak melibatkan infrastruktur dan harta utama negara kepada beberapa pihak yang dikenali sebagai kroni kepada Najib.

“Kini pun, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary telah menguasai operasi dan aset-aset pelabuhan di negara ini,” kata Rafizi.

Menurut Rafizi sekiranya pengambilalihan itu hanya melibatkan peningkatan kecekapan operasi dan kos, dan tidak menangung hutang KTMB yang benilai RM1 bilion, adalah lebih wajar ia dibuat melalui tender terbuka.

Rafizi turut mengingatkan agar Najib dapat memastikan bahawa aset dan pegangan tanah KTMB bernilai RM 50 bilion tidak jatuh ke tangan pihak swasta atau individu.

Selain Rafizi, turut sama dalam sidang media parti itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr. Xavier Jayakumar dan Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Dr Mohd Nor Manuty.