Categories
NASIONAL

Wan Azizah : PKR beri kuasa mutlak kepada ahli

Oleh : Selangor Kini

SHAH ALAM 24 NOV: Pindaan perlembagan baru Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi kuasa mutlak kepada semua anggotanya memilih pimpinan pada pemilihan akan datang.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata PKR adalah parti pertama di Malaysia melaksanakan pemilihan secara terus anggotanya iaitu satu ahli satu undi.

“Kendati begitu, kita juga menerima serangan, manakala terdapat kelemahan dalam proses awal pemilihan.

Wan Azizah Kongres PKR“Perlembagaan baru memberikan kuasa mutlak kepada setiap anggota memilih dengan bebas. Diandaikan bahawa anggota cukup terlatih dengan idealisme perjuangan dan ini adalah untuk memastikan calon yang diamanahkan jujur kepada kewajiban serta tidak dipengaruhi sogokan atau ugutan,” katanya yang dipetik daripada laman Keadilan Daily.

Azizah berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Khas PKR 2013 yang turut dihadiri Ketua Umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, hari ini.

Katanya, tindakan keras akan diambil kepada mereka yang melanggar etika parti termasuk perbuatan rasuah dalam pemilihan tahun depan.

“Etika pemilihan dan calon akan dipantau dengan lebih keras dan teliti. Individu yang terlanjur, melanggar prinsip luhur perjuangan atau terbabit dalam kegiatan rasuah dan ugutan akan tersingkir daripada menjadi calon,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.