Categories
SELANGOR

Bas percuma: Rakyat diutamakan, warga asing kena bayar

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 24 NOV : Kerajaan negeri disaran mengenakan bayaran kepada warga asing bagi perkhidmatan bas awam percuma yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim, berkata langkah itu harus dilaksana bagi mengelakkan bas awam percuma disalah guna warga asing.

Ng_Sue_Lim_01Katanya, kutipan bayaran ke atas warga asing itu juga boleh digunakan bagi tujuan penyelenggaraan bas berkenaan dan adil kepada rakyat tempatan.

“Warga asing perlu dikenakan bayaran demi mempertahankan hak rakyat tempatan dan pada masa sama, tambang itu dapat digunakan untuk tujuan penyelenggaraan,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Suee Lim berkata, walaupun terdapat dakwaan mengatakan bahawa perkhidmatan bas awam percuma memberikan kelebihan kepada warga asing, inisiatif itu perlu juga dilaksanakan untuk rakyat tempatan sebagai kerajaan negeri yang prihatin dan bertanggungjawab.

“Sebagai kerajaan negeri yang prihatin dan bertanggungjawab, Selangor tetap akan menjaga kebajikan rakyat tidak kira jumlah yang menggunakan bas ramai atau tidak,” katanya.

shuhaimi shafieSementara itu, ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata, kerajaan negeri perlu mengkaji langkah bagi menetapkan beberapa peraturan dalam perkhidmatan bas awam percuma kepada warga asing demi keselesaan rakyat tempatan.

“Mungkin mereka boleh dikenakan syarat tertentu dan tidak salah jika diberikan percuma kerana warga asing itu juga pembayar cukai.

“Kita perlu sedar tidak semua tempat mempunyai ramai warga asing. Jadi perkara itu perlu diimbangi dan tidak boleh menyingkirkan mereka kerana golongan ini juga penyumbang kepada ekonomi negeri,” katanya.

Dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) baru-baru ini, kerajaan negeri bersetuju menyediakan perkhidmatan bas awam percuma dan pelaksanaan perkhidmatan itu akan diperluaskan ke kawasan luar serta pinggiran bandar jika permintaan meningkat di lokasi berkenaan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.