Categories
SELANGOR

50 Kanak-kanak Flat Impian Baiduri sertai ‘Sunathon Perdana’

Oleh : Siraj Mohd Zaini

PETALING JAYA, 8 DIS : Lebih 50 orang kanak-kanak daripada Flat Impian Baiduri memanfaatkan musim cuti sekolah dengan menyertai program khatan beramai-ramai atau dikenali sebagai ‘sunathon’ dalam satu majlis di Dewan Serbaguna flat berkenaan, di sini, hari ini.

Program kemasyarakatan itu adalah anjuran Ahli Majlis Zon 14 Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama Hospital Pakar An-Nur bagi memudahkan kanak-kanak di flat berkenaan menyempurnakan ibadah yang disunatkan dalam Islam itu.

DSC_0161AAhli Majlis MBPJ, Raja Fairuz Raja Mazlan, berkata program berkhatan beramai-ramai itu dianjurkan bagi memberi semangat kepada kanak-kanak supaya tidak berasa gentar dan takut apabila dikhatankan.

“Tujuan utama kita anjurkan program ini adalah untuk memanfaatkan cuti sekolah mereka dan memberi lebih keseronokan supaya tidak berasa takut dan gentar apabila berkhatan,” katanya.

Turut hadir bagi memeriahkan program berkenaan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Haniza Talha yang memuji kerjasama antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pihak hospital dan penduduk setempat.

DSC_0141aKatanya, selain menyempurnakan ibadah sunnah, program itu memberi ruang kepada penduduk setempat untuk berkumpul beramai-ramai dan mengeratkan silaturrahim antara mereka.

“Saya nampak ini adalah salah satu usaha mengumpulkan ahli masyarakat, selain daripada menghidupkan sunnah Nabi Muhammad SAW melalui program berkhatan ini,” katanya.

Semua kanak-kanak berkenaan dikhatankan menggunakan kaedah baru yang lebih mudah iaitu teknologi laser oleh doktor daripada Hospital Pakar An-Nur.

Pada masa sama, kebanyakan ibu bapa yang ditemui menyatakan perasaan gembira dan berpuas hati dengan penganjuran majlis seperti itu dan berharap diteruskan sebagai program tahunan.

Bagi Mohd Nasali Hamid, 44, program seperti itu boleh mengeratkan lagi ikatan silaturahim antara penduduk serta kanak-kanak, khususnya pada musim cuti sukolah.

“Program ini baik untuk semua dengan mengeratkan lagi penduduk di sini dan saya rasa bagus untuk kanak-kanak sekolah,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.