Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat pembangkang akui peruntukan bantu ribuan penduduk

SHAH ALAM, 26 JUN: Wakil rakyat pembangkang mengakui ribuan penduduk memperoleh manfaat daripada peruntukan yang diberi Kerajaan Negeri kepada mereka melalui program Mesra Rakyat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya berkata dana itu disalur untuk bank makanan, bantuan kerusi roda, sumbangan untuk masjid dan surau, projek pertanian serta bantuan kepada sekolah.

“Ribuan rakyat juga dapat dibantu walaupun kita hanya dapat RM150,000. Kalau dapat RM500,000 maka lagi ramai dapat manfaat,” kata Haniza Talha kepada Selangorkini.

Beliau yang pernah menyandang jawatan EXCO Selangor sebelum berubah haluan politik berkata pihaknya merancang dengan teliti setiap program berikutan peruntukan itu untuk kegunaan sepanjang tahun.

“Cuma kaedah yang dilakukan itu perlulah dirancang sebagai contoh kerusi roda, kita buat secara pinjaman selepas guna pulangkan, orang lain pula dapat,” katanya.

Haniza menjelaskan pihaknya juga menjalankan kerjasama bersama syarikat tertentu yang menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memastikan penduduk DUN Lembah Jaya dibantu.

Menyifatkan bantuan makanan banyak membantu penduduk terjejas akibat wabak, beliau berkata peruntukan itu disalur kepada penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk agihan sumbangan.

Menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 yang dibentang pada 9 Jun lalu, peruntukan program Mesra Rakyat kepada semua 56 wakil rakyat termasuk pembangkang ditingkat kepada RM100,000.

Kerajaan Negeri atas semangat ‘Kita Selangor’ juga memberi peruntukan tambahan RM50,000 untuk program tersebut membabitkan jumlah keseluruhan RM3.28 juta.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Pembeli unit Pangsapuri Lestari Putra terima kunci Ogos ini

SHAH ALAM, 3 JULAI: Pembeli unit Pangsapuri Lestari Putra, Puchong bakal menerima kunci rumah masing-masing selewat-lewatnya hujung Ogos ini.

EXCO Perumahan Haniza Talha berkata projek terbengkalai hampir 19 tahun susulan pemaju muflis membabitkan 360 unit kediaman.

“Saya dapat bayangkan betapa seronoknya pembeli apabila mendapat kunci kelak. Sudah terlalu lama mereka menunggu,” tulisnya di Facebook selepas melawat pangsapuri tersebut semalam.

Beliau turut berbincang dengan pemaju dan syarikat utiliti bagi memudahkan urusan mendapatkan sijil perakuan kelayakan (CF).

Pada 28 Jun lalu, SelangorKini melaporkan Kerajaan Negeri berjaya menyiapkan 82 daripada 179 projek perumahan dan komersial terbengkalai sejak 2008.

Projek meliputi 33,421 unit berdepan isu mendapatkan dokumen projek asal, pertukaran kebenaran pembangunan dan kewangan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Selangor selamatkan 82 projek terbengkalai sejak 2008

SHAH ALAM, 28 JUN: Selangor berjaya menyiapkan 82 daripada 179 projek perumahan dan komersial terbengkalai di negeri ini sejak 2008.

EXCO perumahan berkata projek meliputi 33,421 unit yang berdepan isu mendapatkan dokumen projek asal, pertukaran kebenaran pembangunan dan kewangan.

“Kerajaan Negeri menubuhkan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai Peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengatasi isu ini. Melaluinya, PBT menyenarai projek yang diberi keutamaan serta memberi cadangan pemulihan,” kata Haniza Talha ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Daripada keseluruhan projek terbengkalai, 141 milik Kerajaan Negeri manakala selebihnya swasta.

Sementara itu, Haniza berkata sebanyak 129,108 unit daripada 292 projek Rumah Selangorku berjaya disiapkan setakat ini.

“Kerajaan Selangor turut menyasarkan pembinaan 30,000 unit Rumah Selangorku dalam tempoh lima tahun bermula tahun lalu,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Kemas kini senarai pemaju, ahli lembaga pengarah bermasalah

SHAH ALAM, 28 JUN: Kerajaan Selangor bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengemas kini senarai ahli lembaga pengarah pemaju perumahan bermasalah.

EXCO perumahan berkata langkah tersebut bagi mengelak pihak tidak bertanggungjawab menubuhkan syarikat baharu serta menjalankan projek pembangunan di Selangor.

“Maklumat pemaju dan ahli lembaga pengarah projek terbengkalai akan dipaparkan di laman web Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) serta diedar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dengan sikap lepas tangan pihak pemaju. Mereka disenarai hitam kerana memiliki rekod buruk gagal menyiapkan projek perumahan,” kata Haniza Talha kepada SelangorKini hari ini.

Haniza berkata pemaju perlu mendaftar dengan sistem pendaftaran pemaju (Spem) dalam tempoh 30 hari dari tarikh kebenaran merancang bagi semakan status kelayakan.

“Kebenaran merancang akan ditarik jika Spem mengesan ahli lembaga pengarah yang disenarai hitam. Cukup-cukuplah kita berkompromi dengan pihak tidak bertanggungjawab dan bagi pihak Kerajaan Selangor, kita lebih berhati-hati untuk memberi kebenaran merancang.

“Kita juga minta pembeli sentiasa membuat semakan di laman web LPHS atau berhubung dengan agensi berkaitan untuk menyemak status pemaju sebelum membeli rumah,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Penantian pembeli rumah Axis Crown bakal berakhir – EXCO

SHAH ALAM, 21 JUN: Pembeli pangsapuri Axis Crown, Ampang boleh menarik nafas lega kerana penantian lebih sedekad lalu untuk mendiaminya bakal berakhir, kata EXCO perumahan.

Haniza Talha berkata projek perumahan terbengkalai itu baharu siap dibina dan sedang menunggu sijil siap dan pematuhan (CCC) dikeluarkan sebelum kunci rumah diserahkan kepada mereka dijangka tahun ini.

“Ia tergendala sejak 2007 sebelum pengurusan diambil alih peliquidasi dan berada di bawah pemantauan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada 2016 seterusnya diselesaikan pemaju penyelamat Ferrier Hodgson (M) Sdn Bhd.

“Sebanyak 368 unit rumah sudah dimiliki dengan kebanyakannya menunggu sejak 13 tahun lalu. Kini projek hanya tinggal lima peratus bagi mendapatkan CCC,” katanya kepada SelangorKini.

Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya turut meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini untuk menyenaraikan projek perumahan terbengkalai yang perlu diberi perhatian.

Bagaimanapun, katanya usaha menangani isu projek berkaitan akan mengambil sedikit masa berikutan membabitkan aspek undang-undang dan banyak pihak.

“Membantu rakyat mendapatkan hak atas masalah projek ini merupakan salah satu fokus saya kerana memahami susah payah dan sedihnya apabila rumah dibeli tidak dapat didiami.

“Saya sentiasa mendapatkan perkembangan projek terbengkalai daripada Lembaga Perumahan Hartanah Selangor termasuk mencari ruang untuk memudahkan proses penyiapannya,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Projek Rumah Selangorku diteruskan ikut jadual

SHAH ALAM, 16 JUN: Pembinaan projek Rumah Selangorku diteruskan mengikut jadual selepas terhenti susulan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan Covid-19.

EXCO perumahan berkata sasaran membina 30,000 unit rumah mampu milik kekal untuk tempoh lima tahun bermula tahun lalu hingga 2023.

“Segala proses diteruskan memandangkan sektor pembinaan mampu merangsang pertumbuhan ekonomi,” kata Haniza Talha kepada SelangorKini.

Sejak Januari 2014 hingga September tahun lalu, sebanyak 274 projek pembinaan Rumah Selangorku diluluskan meliputi 121,676 unit.

Rumah berkeluasan antara 700 hingga 1,000 kaki persegi dijual dari RM42,000 hingga RM250,000.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Kanak-kanak miskin bandar bakal dapat makanan khasiat percuma

SHAH ALAM, 10 JUN: Kanak-kanak yang tinggal di kawasan projek perumahan rakyat (PPR) dan kos rendah di negeri ini bakal menerima bantuan makanan seimbang.

Inisiatif Nutrisi dan Diet Anak Harapan Selangor kini berada di peringat akhir bagi menentukan jenis bekalan makanan sesuai kepada kumpulan sasar.

“Selama ini kita lebih tumpu kepada masalah infrastruktur seperti bumbung bocor, lif rosak, air dan bil tertunggak sehingga lupa perkara utama iaitu nasib kanak-kanak yang juga generasi masa depan,” kata EXCO Kehidupan Bandar Haniza Talha kepada SelangorKini hari ini.

“Jumlah bantuan diberi mengikut bilangan anak di dalam rumah kerana kita tidak mahu ada yang tercicir.”

Inisiatif tersebut bakal menggantikan Program Bank Makanan Selangor yang dilaksanakan untuk membantu 2,000 keluarga miskin bandar di negeri ini.

Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2018 mendapati pemakanan kanak-kanak di PPR kurang seimbang dan zat makanan.

Categories
ADN SELANGOR

Haniza edar ayam, sayuran bantu penduduk Lembah Jaya

SHAH ALAM, 17 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya mengedarkan 1,000 ekor ayam dan sayuran di tujuh lokasi di Dewan Undangan Negeri (DUN)nya semalam bagi membantu penduduk.

Haniza Talha berkata sumbangan diedar ke beberapa tempat termasuk Pangsapuri Ampang Saujana, Flat Halaman, Pangsapuri Astaria dan Antara Apartment.

“Alhamdulillah, dengan bantuan pegawai di pusat khidmat dan sukarelawan, kami berjaya mengedarkan bantuan itu ke lokasi dan memahami penduduk yang risau akan situasi Covid-19 yang belum kelihatan penghujungnya.

“Tetapi kita perlu terus berdoa supaya tuhan memberikan kita rezeki yang baik, kesihatan dan menghilangkan wabak ini. Saya harap sumbangan kecil ini dapat meringankan beban perbelanjaan penduduk,” kata EXCO Kerajaan Negeri itu menerusi Facebook malam tadi.

Categories
EXCO SELANGOR

MPAJ, jabatan hutan bina laluan air atasi banjir lumpur

SHAH ALAM, 1 MEI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Jabatan Hutan Selangor akan membina laluan air di bukit berdekatan Taman Ampang Saujana bagi mengatasi masalah banjir lumpur di kawasan berkenaan, kata EXCO perumahan.

Haniza Talha berkata ia bertujuan untuk mengalirkan air hujan ke saluran parit monsun terdekat kerana antara sebab utama banjir adalah taburannya yang semakin banyak dan sistem perparitan yang tidak diselenggara.

“Saya mendapat aduan penduduk berkenaan banjir lumpur disebabkan hujan lebat sejak beberapa hari di kawasan perumahan ini yang terletak betul-betul bersebelahan dengan bukit,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Haniza bersama Yang Dipertua MPAJ, Dato’ Abdul Hamid Hussain membuat lawatan ke Taman Ampang Saujana bagi mencari penyelesaian.

Haniza berkata beliau juga meminta pihak berkenaan membersihkan longkang berdekatan untuk memudahkan aliran air ke parit.

“Untuk penyelesaian jangka panjang, MPAJ akan membuat kolam takungan di dalam kawasan bukit tersebut untuk menakung air hujan,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Lembah Jaya agih bantuan Covid-19 lebih RM100,000

SHAH ALAM, 22 APRIL: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya mengagihkan sumbangan Covid-19 fasa pertama kepada kumpulan sasar dengan jumlah keseluruhan RM103,450, kata Ahli Dewan Negerinya.

Haniza Talha berkata bantuan berupa barangan keperluan asas itu diberikan kepada 2,069 keluarga yang kurang berkemampuan dan terjejas pendapatan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Peruntukan ini merangkumi daripada dana saya sendiri termasuk ahli majlis, ketua kampung, ketua komuniti India dan sumbangan penderma,” katanya menerusi Facebook hari ini.

EXCO Kerajaan Negeri itu berkata pihaknya juga akan memastikan tiada keluarga di DUN itu yang putus bekalan makanan terutama ketika wabak pandemik itu.

“Saya akan cuba bantu warga DUN Lembah Jaya yang memerlukan. Semoga semuanya berada dalam keadaan sihat dan selamat,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Empat PPR dikecuali bayar sewa sebulan

SHAH ALAM, 9 APRIL: Selangor hari ini mengumumkan pengecualian bayaran sewa selama sebulan membabitkan empat Program Perumahan Rakyat (PPR) di bawah seliannya.

PPR terbabit ialah PPR Kampung Baru Hicom, PPR Kota Damansara, PPR Serendah dan Council Homes Bandar Baru Bangi membabitkan 2,632 unit penyewa.

EXCO Perumahan Haniza Mohamed Talha berkata PPR tersebut turut diberi penangguhan sewa selama dua bulan pada Mei dan Jun bagi meringankan beban mereka yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Berdasarkan aduan diterima, terdapat penyewa tidak mampu membayar sewa bulanan atas beberapa sebab seperti pemotongan gaji oleh majikan, tidak dapat keluar berniaga dan hilang mata pencarian.

“Justeru, Kerajaan Negeri berharap perkara yang diputuskan ini sedikit sebanyak mengurangkan beban yang ditanggung oleh semua penyewa,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau turut menyeru rakyat mematuhi arahan PKP untuk memastikan kehidupan kembali seperti sedia kala.

Pada 21 Mac lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengumumkan pengecualian bayaran sewa sebulan membabitkan 9,185 unit rumah PPR.

PPR terbabit ialah PPR Sentul Murni, Rumah Transit Bukit Jalil, PPR Lembah Subang 1, PPR Lembah Subang 2, PPR Kampung Hassan Hulu Selangor dan PPR Ladang Siliau Port Dickson.

Turut tersenarai, PPR Tok Suboh, PPR Amanjaya, PPR Kota Setar, PPR Sinar Intan 3, PPR Gua Musang dan PPR Kota Bahru.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Lembah Jaya kumpul peruntukan tiga pihak, selaraskan agihan

SHAH ALAM, 3 APR: Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya menggabungkan peruntukan yang diterima Dewan Undangan Negeri, ahli majlis dan pemimpin peringkat kampung sebelum diagih bagi mengelakkan penyaluran bertindih.

Haniza Talha berkata ketiga-tiga pihak mengumpulkan dana dari Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin fasa kedua secara bersama, kemudian menyelaraskan pengagihan kepada rakyat memerlukan.

“Dengan ini, jumlah peruntukan terkumpul adalah lebih besar dan senarai penerima juga tiada yang akan bertindih. Pihak kami akan selaraskan proses penyaluran bantuan makanan asas seterusnya,” katanya di Facebook hari ini.

Beliau berkata pakej tersebut yang diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memperuntukkan DUN sebanyak RM30,000, ahli majlis (RM10,000) dan ketua kampung (RM5,000).

Rabu lalu, Amirudin mengumumkan peruntukan RM272.5 juta bagi menangani impak Covid-19, tambahan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor fasa pertama diumumkan pada 20 Mac berjumlah RM127.8 juta.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memutuskan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu dilanjutkan sehingga 14 April ini.