Categories
NASIONAL

Anwar dakwa Shafee kejar cita-cita jadi Peguam Negara

SHAH ALAM 17 DIS : Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengambil peranan sebagai timbalan pendakwa raya (DPP) dalam rayuan kes liwatnya dengan harapan untuk menjadi bakal Peguam Negara.

anwar whiteKetua Pembangkang itu berkata, ramai di kalangan ahli politik dan pengamal undang-undang di Kuala Lumpur tahu bahawa Shafee secara terbuka menyatakan cita-citanya untuk menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara.

“Ini menjelaskan mengapa Shafee begitu kritikal terhadap Gani dalam akuan berkanun (Datuk Mat Zain Ibrahim),” katanya dalam afidavit kedua menyokong permohonan mengapa Shafee patut diketepikan daripada bertindak sebagai DPP dalam kes liwat.

Beliau berkata, barisan pendakwa tidak akan dapat mengendalikan kes itu dengan adil kerana Shafee cenderung dan berpihak kepada perdana menteri serta pemimpin kanan kerajaan yang lain dengan memastikan mereka tidak disabitkan dengan apa-apa kesalahan, supaya peguam Umno itu boleh dianugerahkan jawatan Peguam Negara yang amat diidamkan itu.

Anwar memfailkan afidavit itu semalam dan permohonan akan didengar di Mahkamah Rayuan pada Khamis ini.

Ketua Umum PKR itu berkata, keinginan Shafee untuk memastikan Putrajaya memenangi rayuan itu sangat tinggi dan ia mungkin akan menjejaskan tanggungjawabnya sebagai ketua DPP dalam kes itu.

“Konflik kepentingan seperti itu akan hanya menjejaskan pentadbiran keadilan. Ia sudah tentu akan prejudis terhadap saya ketika perbicaraan rayuan itu nanti,” kata Anwar dipetik The Malaysian Insider.

Anwar dibebaskan tahun lalu atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di sebuah unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara pada 2008.

Beliau berkata, permohonannya untuk mengenepikan Shafee buat kali kedua dilakukan berdasarkan kepada pendedahan mengejutkan dalam akuan berkanun Mat Zain.

Anwar berkata, akuan itu menimbulkan isu serius terhadap pengetahuan Shafee mengenai tuduhan salah laku dan tindakan jenayah Gani dan peguam terpaksa berkompromi bagi memperolehi fiat (perintah) daripada Gani.

Dalam afidavitnya di samping laporan polis yang dibuat oleh Mat Zain terhadap Shafee, beliau berkata, afidavit peguam kepada Mahkamah Rayuan mengandungi fakta tidak tepat dan ia adalah kesalahan jenayah.

Leave a Reply

Your email address will not be published.