Categories
EKONOMI

Butik telekung pilihan tiga permaisuri Agong dan selebriti

Oleh  Nurul Farina Nazlan
Gambar  Asri Sapfie

JENAMA Siti Khadijah (SK) yang bertapak di pasaran lebih tiga tahun meluaskan langkah apabila memperkenal koleksi baju kurung dan jubah kontemporari sesuai digayakan tanpa perlu digosok.

Mulanya, SK menampilkan telekung inovasi baru tanpa meminggirkan
keperluan syariat melalui pelbagai variasi pilihan bergantung kepada kesesuaian dan keselesaan wajah pelanggan antaranya original, klasik dan moden.

Mengikut Pengarah Apparel SK, Muhammad Muzammil Aminuddin, SK diilhamkan ibunya, Padzillah Enda yang inginkan kesempurnaan dalam beribadah, sekali gus menampilkan keperibadian anggun bertepatan dengan saranan Islam.

Ia bermula dengan modal RM3,000 dan beroperasi di Cheras bermula Jun 2009 hingga Ogos 2010, sebelum berpindah di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi serta membuka cawangan di Seksyen 15, Shah Alam, akhir 2012.

Semangat ibu dan latar belakang keluarga dalam perniagaan menjadi
inspirasi untuk graduan Ijazah Sarjana Muda Elektrikal dan Elektronik
itu menceburi bidang berkenaan apatah lagi disokong isteri, Nuor Atieqah yang masih menuntut dalam jurusan perubatan.

telekung 02

“Istimewanya, jenama dan reka bentuk SK sudah dipaten di bawah reka
bentuk industri Perbadanan Harta Intelek Malaysia (myIPO). Lebih
membanggakan ia menjadi telekung pertama berdaftar dalam agensi itu.

“Bahan menghasilkan telekung diperoleh dari Indonesia dan China yang dijahit di kilang kami dengan mengekalkan ciri asli tudung dengan bahagian wajah telekung diberi sentuhan eksklusif melalui penggunaan sengkuap yang cantik.

“Kami turut menampilkan telekung baru yang dihasilkan dari kain denim
dan sutera. SK turut menampilkan baju kurung yang sesuai ke majlis dan
kenduri dengan warna rona pastel serta menekankan ciri Islam dengan
rekaan Riau,” katanya kepada Selangor Kini, baru-baru ini.

Tempahan boleh dibuat melalui laman sesawang www.sitikhadijah.com atau Facebook Telekung Siti Khadijah atau hubungi talian 013-2102668.

SK menekankan perkhidmatan berteras kepuasan pelanggan apabila majoriti pekerjanya terdiri daripada graduan institusi pengajian tinggi dan dilatih berhadapan dengan karenah pengunjung.

“Adakala, kami meminta kenalan rapat atau ahli keluarga yang tidak
dikenali pekerja untuk menyamar sebagai pelanggan dan memberi
komen berkenaan khidmat serta layanan.

” Kami turut menyimpan data pelanggan dan memaklumkan mereka setiap pakej dan promosi dari semasa ke semasa,” katanya.

telekung 01Tinjauan mendapati koleksi telekung, baju kurung dan jubah SK dijual
pada harga berpatutan, bahkan tudung dan kelangkapan umrah juga boleh didapati di butik berkenaan.

“Koleksi telekung kami turut menjadi pilihan tiga Permaisuri Agong, isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah dan selebriti tempatan antaranya Seniwati Datuk Sarimah Ahmad dan Eja.

“SK turut menganjurkan program celik solat menampilkan selebriti
Wardina Saffiyah kepada pelajar berusia enam hingga 12 tahun, 18
November lalu. Ia  mendapatkan sambutan hangat berikutan penyertaan mencecah 73 peserta walaupun tempat hanya untuk 30 orang.

Pada masa ini, SK merancang membuka cawangan di Maju Junction pada 2014 hasil kaji selidik pelanggan sekaligus lokasi berkenaan bakal menjadi butik ketiga jenama itu.

* Nurul Farina Nazlan ialah Editor BM (online) Selangor Kini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.