Categories
SELANGOR

Kadar cukai pintu Selangor kekal sejak 20 tahun

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 2 DIS : Dakwaan sesetangah pihak berhubung kadar cukai pintu tidak benar apabila sehingga kini tidak ada sebarang perubahan terhadap kediaman persendirian dan perniagaan membabitkan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim, berkata walaupun nilai hartanah di kawasan kediaman dan perniagaan meningkat mengikut nilai pasaran semasa, namun kadar cukai taksiran yang diguna pakai setiap PBT tidak pernah dinaikkan, sejak 20 tahun lalu.

06Katanya, kerajaan negeri dalam manifesto Pakatan Rakyat (PR) juga sudah melaksanakan pengurangan cukai taksiran lebih 20 peratus untuk golongan kurang berkemampuan.

“Kerajaan negeri sudah melaksanakan dasar pengurangan cukai taksiran sebanyak 25 peratus bagi pemilik pangsapuri kos rendah seluruh Selangor bermula penggal kedua tahun 2013 bertujuan meringankan beban rakyat ekoran nilai hartanah melambung tinggi.

“Pengurangan (cukai taksiran) itu juga diguna pakai kepada orang kelainan upaya (OKU),” katanya ketika menjawab pertanyaan Johan Abdul Aziz (BN-Semenyih) berhubung kadar cukai pintu PBT pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Sehingga kini, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengenakan kadar cukai sebanyak empat peratus untuk kediaman, manakala perniagaan tujuh peratus dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebanyak tujuh peratus untuk kediaman dan perniagaan (8.8%).

Majlis Perbandaran Klang (MPK) pula membabitkan 6.5 peratus kediaman dan perniagaan (7.5%); Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengenakan lima peratus kediaman dan lapan peratus perniagaan; Majlis Perbandaran Selayang (MPS) 8.6 peratus kediaman serta 10.8 peratus perniagaan dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) 7.7 dan 8.8 peratus maisng-masing bagi kediaman juga perniagaan.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sebanyak 5.5 peratus untuk kediaman, 6.6 peratus perniagaan; Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) 7.35 peratus kediaman, manakala 8.45 peratus-perniagaan; Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), sembilan peratus kediaman dan 11 peratus-perniagaan.

Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) pula menetapkan tujuh peratus bagi kediaman dan lapan peratus perniagaan, Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) 5.5 peratus kediaman serta 11 peratus perniagaan, manakala Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) 11.8 peratus kediaman dan 12 peratus perniagaan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.