Categories
SELANGOR

PBT tubuh ‘In House Team’, inisiatif urus sisa pepejal

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 2 DIS : Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kini mengambil inisiatif menubuhkan pasukan ‘in-house team’ sebagai inisiatif daripada terus bergantung kepada kontraktor luar dalam pengurusan sisa pepejal.

Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Teng Chang Khim, berkata langkah itu juga secara tidak langsung meningkatkan kemahiran PBT dalam pengurusan sisa pepejal.

sidang dun 21-11-13 - 1Katanya, pasukan itu akan berkembang secara berperingkat dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada kontraktor luar.

“Selepas kerajaan negeri mengambil alih sepenuhnya perkhidmatan, pembersihan awam dan kutipan sampah daripada Alam Flora, semua PBT bersedia dan mengambil inisiatif ini.

“Pasukan ini akan menjalankan tugas mereka jika berlaku kecemasan seperti kejadian lori kompaktor rosak atau pembuangan sampah haram,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) berhubung perancangan PBT di Selangor dalam memperkembangkan pasukan pembersihan sisa pepejal dalaman.

Chang Khim (DAP-Sungai Pinang) juga memberitahu sidang Dewan Negeri Selangor bahawa terdapat beberapa PBT yang menunjukkan perkembangan positif dalam memperkukuhkan pasukan berkenaan.

“Antaranya, Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang kini mempunyai lima lori kompaktor, tujuh lori terbuka (lapan tan) dan sembilan lori satu tan.

“MPK turut menyediakan pemandu dan pekerja seramai 150 orang untuk kawasan ‘in house’ dan sokongan,” katanya.

Chang Khim berkata, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) juga bertindak mewujudkan pasukan tindakan khas bagi menangani masalah sampah dan mengambil alih kawasan secara berperingkat selepas tamat tempoh kontrak kontraktor sedia ada.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.