Categories
SELANGOR

Kenaikan lesen perniagaan, MPSJ nafi ambil kesempatan

Oleh : AFIX REDZUAN

SUBANG JAYA 19 DIS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menafikan keputusan menaikkan kadar lesen perniagaan yang akan dilaksanakan tahun hadapan bertujuan untuk mengambil kesempatan di atas krisis kenaikan harga barang yang sedang dihadapi rakyat.

Sebaliknya, tindakan itu dibuat selepas melihat kesuaian masa akibat penagguhan perlaksanaan sejak tujuh tahun selepas Undang-undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Subang Jaya) 2007 diluluskan.

Situasi berkenaan juga menunjukkan ketetapan itu sudah dibuat pemimpin Barisan Nasional (BN) yang mentadbir negeri ketika itu.

asmawi kasbiYang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi, berkata undang-undang itu digunakan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor selepas diluluskan, pada 2007.

“Sebenarnya, isu kenaikan kadar lesen bukan besar tetapi masyarakat tidak memahami isu kadar lesen. Kadar lesen semasa sudah ditetapkan, sejak 20 tahun dahulu.

“Kita tidak pernah naikkan kadar. Jadi, kita sudah membuat pindaan akta pada tahun 2007 dan kerajaan negeri meluluskan tetapi perlaksanaannya kita tangguhkan yang mana akan laksanakan, pada 2014.

“Jika dilihat kenaikan daripada segi peratusan memang tinggi tetapi jumlah sebenar tidak besar. Kedai runcit, 180 naik 360 sahaja iaitu hanya kira-kira RM1 sehari.

“Kalau dulu RM50, naik 400 peratus baru RM200 sahaja. Sebagai contoh, jika pekedai runcit ada satu kedai kadarnya baru RM300 lebih,” katanya pada satu sidang media di MPSJ, di sini, hari ini.

Asmawi berkata, kenaikan sehingga 400 peratus sehingga mengakibatkan kadar lesen mencecah harga RM1,000 adalah untuk lesen perindustrian dan bukannya perniagaan biasa

“Kita tidak membezakan jenis perniagaan dan industri jika mengikut kadar lama. Tetapi, mulai tahun hadapan kita sudah asingkan kadar untuk perniagaan dan industri lain berdasarkan enakmen tahun 2007, manakala kebanyakan yang naik sehingga RM1,000 bukan membabitkan peniaga biasa tetapi industri,” katanya.

Laporan media hari ini menyatakan kenaikan sehingga 400 peratus berkenaan tidak masuk akal dan Ahli Dewan Perniagaan dan Perindustrian Klang/Selangor, Datuk Ching Eu Boon mendakwa ia bertujuan untuk menampung kenaikan gaji pemimpin kerajaan negeri.

Asmawi turut menafikan dakwaan tindakan itu dibuat tanpa memberikan notis kepada peniaga sebaliknya kerajaan negeri sudah mengadakan perjumpaan bersama seluruh persatuan peniaga di Shah Alam pada tahun 2012 dan tahun 2013 bagi membincangkan perkara terbabit.

Katanya, perjumpaan berkenaan dipengerusikan sendiri Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Teng Chang Kim dan sebahagian hasil kutipan kadar lesen ini akan digunakan untuk pengurusan MPSJ.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.