Categories
SELANGOR

3 kali menteri bertukar, Khalid Samad ‘dilarang’ lawat Hospital Shah Alam

SHAH ALAM 19 DIS : Pembinaan pusat perubatan kontroversi Hospital Shah Alam kini dalam proses kaliberasi dalaman dan Ahli Parlimen kawasan itu, Khalid Samad kecewa kerana masih gagal melawatnya walaupun sudah tiga menteri bertukar.

Khalid Samad berkata, hospital itu kini dalam proses kaliberasi dalaman untuk meletakkan mesin dan peralatan perubatan khas di dalam bangunan itu.

Khalid-Samad editBeliau berkata, mungkin kerajaan pusat mahu hospital itu siap terlebih dahulu sebelum beliau dibenarkan melihatnya.

“Proses kalibrasi semula hospital itu dijangka mengambil masa selama enam bulan, jadi mungkin hanya selepas pertengahan hingga tahun depan boleh dibuka,” katanya yang dipetik daripada laman Malaysia Kini.

Khalid turut menyatakan rasa terkilan kerana sudah lama memohon melawat tapak projek itu sejak zaman pentadbiran Datuk Mohd Zin Mohamed, bermula 2008.

Katanya, beliau sudah dipanggil untuk lawatan kerja bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof, tetapi mendakwa ia dibatalkan di saat-saat akhir, pada 24 Oktober lalu.

Khalid bagaimanapun mahu terus mengutus surat kepada kementerian untuk melawat hospital yang sepatutnya siap, pada 2011 itu.

Fadillah YusofOktober lalu, Fadillah berkata, projek pembinaan Hospital Shah Alam (HSA) di Seksyen 7 Shah Alam sudah siap sepenuhnya dan dijangka beroperasi, pada Jun 2014.

Hospital Shah Alam memulakan pembinaan pada 15 November 2007 dan dijadualkan siap pada 25 Jun 2011.

Bagaimanapun, projek bernilai RM482.6 juta itu mengalami kelewatan selepas kontraktor bermasalah dan menjadikan hospital itu antara 97 ‘projek sakit’ yang diambil tindakan kerajaan pusat.

Projek hospital itu ditenderkan semula pada 4 November 2010 dengan kerajaan melantik kontraktor penyelamat.

Hospital yang didirikan di atas tapak seluas 12.2 hektar itu bakal menempatkan 300 katil, selain bangunan kediaman termasuk kuarters jururawat.

Pada Jun 2011, Khalid pernah tampil membuat laporan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran pelbagai dakwaan yang membelenggu projek itu.

Ia termasuk isu dakwaan pembayaran komisyen jutaan ringgit oleh syarikat yang dikaitkan dengan Kementerian Kewangan, namun tidak ada tindakan SPRM dimaklumkan sehingga kini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.