Categories
AGENDA SUKANKINI

KL City juara Piala Malaysia, tamat kemarau 32 tahun

KUALA LUMPUR, 30 NOV: Pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC menamatkan penantian 32 tahun untuk merangkul Piala Malaysia selepas mengejutkan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Dua jaringan masing-masing daripada Zhafri Yahya dan kapten pasukan Paulo Josue pada separuh masa kedua, turut membantu skuad The City Boys melakar sejarah sebagai juara pada ulang tahun ke-100 kejohanan berprestij yang diperkenalkan pada 1921, selain meraih tiket ke saingan Piala AFC musim depan.

KL City yang dikenali sebagai Kuala Lumpur FA sebelum proses penswastaan Liga Malaysia (Liga-M), pernah mencipta kejuaraan hatrik Piala Malaysia pada 1987, 1988 dan 1989, namun tidak pernah melangkah ke final selepas itu.

Babak pertama menyaksikan skuad Harimau Selatan menguasai perlawanan dengan serangan bertali-arus mencemaskan gawang lawan.

KL City pula mempamerkan disiplin bertahan yang cukup baik untuk mematahkan serangan serta tangkas melakukan beberapa serangan balas.

JDT hampir membuka jaringan pada minit kelapan apabila rembatan Bergson da Silva dari penalty arc  berjaya menewaskan penjaga gawang Kevin Ray Mendoza, namun percubaan itu sekadar singgah di palang kiri gol KL City.

Tandukan Mauricio dos Santos hasil sepakan percuma Arif Aiman Hanapi pada minit ke-36 dan tandukan Safawi Rasid seminit kemudian, juga berjaya diselamatkan oleh penjaga gol import dari Filipina itu.

Skuad kendalian Bojan Hodak yang mula menunjukkan corak menyerang pada separuh masa kedua mendapat peluang untuk memecahkan kebuntuan apabila penyerang import dari Colombia, Romel Morales berjaya meloloskan diri ke dalam kawasan penalti JDT pada minit ke-59, namun tindakan pantas penjaga gol Farizal Marlias menyelamatkan keadaan.

KL City yang turun selaku ‘underdog’ akhirnya berjaya mengejutkan JDT, apabila Zhafri meledak masuk bola hantaran lintang daripada J. Partiban pada minit ke-66.

Ketika skuad kendalian Benjamin Mora sedang memburu gol penyamaan, KL City mencipta satu lagi jaringan untuk melebarkan jurang menerusi kapten pasukan, Paulo Josue pada minit ke-74, yang berjaya mengawal hantaran Hadin Azman dengan baik, sebelum menerjah gawang JDT.

KL City mara ke final mengatasi Melaka United 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas keputusan agregat terikat 2-2 pada pusingan separuh akhir, manakala juara 2017 dan 2019, JDT membenam Terengganu FC 4-1 secara agregat untuk melangkah ke final.

Zhafri turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan pada majlis penyampaian hadiah yang dihadiri oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Presiden KL City FC Tan Sri Annuar Musa serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Turut hadir Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad.

Pasukan KL City selaku juara menjulang trofi Piala Malaysia dan menerima pingat manakala JDT menerima pingat selaku naib juara.

Untuk rekod, ini adalah pertemuan pertama KL City FC dan JDT di perlawanan akhir Piala Malaysia selepas kedua-dua pasukan melalui penswastaan kelab, namun Johor FA pernah menewaskan Kuala Lumpur FA untuk memenangi Piala Malaysia pada 1985.

Piala Malaysia tidak dapat diadakan bermula 1942 hingga 1947 berikutan perang dunia kedua manakala edisi 2020 pula dibatalkan susulan pandemik Covid-19.

– BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Manfaat penuh dana laksana program mesra rakyat

SHAH ALAM, 23 JAN: Peruntukan khas wakil rakyat melalui Pakej Kita Selangor akan dimanfaat sepenuhnya untuk program kebajikan masyarakat.

Ahli parlimen Shah Alam berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Ahli Dewan Negeri, ahli majlis dan pihak berkuasa tempatan untuk menyelaras aktiviti berkaitan.

Beliau yang menyambut baik pakej tersebut mengalu-alukan usaha Kerajaan Negeri memandangkan wakil rakyat pembangkang sukar memperoleh dana di peringkat persekutuan.

“Di Selangor, saya akui pihak berkenaan memainkan peranan berkesan khususnya dalam menyusun program demi kepentingan penduduk,” kata Khalid Abdul Samad ketika ditemui di sini.

“Kita akan bekerja sebagai satu pasukan supaya pelaksanaan program tidak bertindih selain memastikan masalah yang dihadapi rakyat ditangani segera.”

Pakej Kita Selangor memperuntukkan RM100,000 kepada setiap Dewan Undangan Negeri dan RM50,000 kepada ahli parlimen bagi melaksanakan program Mesra Rakyat.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KWP tidak halang jika ada pihak mahu tawar harga lebih tinggi

PUTRAJAYA, 28 SEPT: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyatakan bahawa ia terbuka dan tidak menghalang mana-mana pihak untuk menawarkan harga yang lebih tinggi asalkan syarat pemilikan dipatuhi iaitu milik orang Melayu.

Menterinya, Khalid Abdul Samad, menyambut baik pandangan Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Amirhamzah Karim bahawa harga yang sepatutnya bagi tanah Kampung Baru adalah RM2,000 sekaki persegi dan bukannya RM850 sebagaimana ditawarkan oleh KWP.

“Saya berharap pandangan ini adalah pandangan kolektif DPMM sendiri dan ianya berdasarkan pernilaian yang dilakukan secara profesional.

“Sehubungan dengan itu, saya mengalu-alukan sekiranya DPMM mengusahakan agar tanah di Kampung Baru dibeli dengan harga RM2,000 sekaki persegi. Saya yakin berdasarkan pernilaian profesional yang dilakukan, DPMM akan mampu mendapatkan sokongan kewangan yang diperlukan untuk menjayakan pembelian ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Khalid berkata, jika DPMM bersetuju untuk membelinya dengan harga RM2,000 sekaki persegi, beliau akan pastikan KWP dan Perbadanan Kampung Baru memberikan kerjasama sepenuhnya untuk membolehkan DPMM membeli tanah penduduk Kampung Baru dengan harga yang ditawarkan.

“Saya yakin hasrat DPMM ini mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kabinet bincang isu Kampung Baru Rabu ini

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Kabinet akan membincangkan mengenai kadar tawaran harga pembelian tanah pemilik dan pewaris Kampung Baru pada mesyuarat Kabinet Rabu ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata beliau akan membawa perkara itu kepada Kabinet dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk mencari jalan penyelesaian terbaik buat semua pihak.

“(Bincang) Lusa masa di (mesyuarat) Kabinet, kalau dapat ruang saya akan maklumkan Dr Mahathir dan daripada situ kita akan fikir satu cara (penyelesaian).

“Kita faham memang semua nak harga yang lebih tinggi daripada apa yang ditawarkan, (tetapi) apa yang kita kena buat ialah kita perlu cari satu harga yang munasabah yang memungkinkan projek ini menjadi berdaya maju,” katanya selepas menghadiri program di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur di sini, semalam.

Sabtu lepas Khalid dipetik sebagai berkata kerajaan menawarkan kadar RM850 sekaki persegi sebagai pulangan kepada pemilik dan pewaris bagi pembangunan semula Kampung Baru.

Menurut Khalid ia merupakan kadar tertinggi dinilai Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan orang Melayu sahaja.

Katanya kerajaan juga tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan tawaran harga yang lebih tinggi bagi pembelian tersebut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan tawar beli tanah Kampung Baru RM850 satu kaki persegi

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Kerajaan hari ini menawarkan untuk membeli tanah di Kampung Baru di sini dengan kadar RM850 setiap satu kaki persegi sebagai pulangan kepada pemilik dan pewaris bagi pembangunan semula kawasan terbabit.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, tawaran itu adalah kadar tertinggi dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan orang Melayu sahaja.

“Selain nilai harga tanah, apa-apa struktur atau bangunan di atas tanah pemilik dan pewaris juga turut akan dinilai bagi tujuan pulangan kepada mereka.

“Oleh itu, jumlah pulangan yang bakal diterima oleh pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru adalah jumlah harga tanah ditambah dengan jumlah nilaian struktur di atas tanah terbabit,” katanya pada sesi townhall bersama lebih 3,000 pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru di sini hari ini.

Khalid berkata pemilik dan pewaris tanah boleh memilih antara empat tawaran jual beli iaitu dalam bentuk pulangan tunai, pulangan unit siap, kombinasi pulangan tunai dan unit siap serta pulangan sebagai pemegang saham dalam syarikat tujuan khas.

“Tawaran jual beli ini adalah berdasarkan lot tanah dan bukannya setiap pemilik yang berdaftar.

“Kerajaan menegaskan bahawa pemilikan tanah di Kampung Baru ini akan tetap menjadi hak orang Melayu tanpa kompromi,” katanya.

Bagi pulangan tunai dan separa tunai, 10 peratus daripada harga kaedah pembayaran akan diberi selepas perjanjian jual beli ditandatangani manakala selebihnya akan diberi selepas borang pindah milik 14A Kanun Tanah Negara didaftarkan, katanya.

Beliau berkata hasil pembangunan semula Kampung Baru dilihat dapat mengembangkan pemilikan hartanah orang Melayu di kawasan segi tiga emas ibu negara.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Status Bazar Jalan Raja bergantung pada sambutannya – Khalid

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 MEI: Keputusan untuk mengekalkan bazar Ramadan baharu di Jalan Raja akan diputuskan selepas melihat sambutannya tahun ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, setakat ini program pemindahan tapak bazar itu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah tindakan tepat.

“Saya melihat walaupun baru dua minggu menjalani ibadah puasa, tetapi sambutan bazar itu sangat memuaskan.

“Ramai yang hadir semalam, walaupun lagi dua minggu kita menyambut perayaan. Saya menjangkakan lebih ramai akan hadir khususnya minggu terakhir Ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Jom Shopping Hari Raya Dewan Undangan Negeri Batu Tiga, di Kemuning Utama, di sini.

Pada masa sama, Khalid berkata, dua masalah yang dikenal pasti iaitu isu takungan air ketika hujan lebat serta sistem pengudaraan di bazar itu sudah diselesaikan.

Terdahulu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil keputusan menempatkan peniaga Bazar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan peniaga Masjid India ke Jalan Raja selaras dengan penyusunan yang dirangka.

Bazar Ramadan baharu di Jalan Raja itu menawarkan 344 petak niaga yang lebih luas dan tersusun, sekali gus memberikan keselesaan kepada peniaga dan pengunjung.

Tapak baharu itu membabitkan tiga lorong jalan raya di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad.

Kawasan di situ lebih luas dengan enam lorong tetapi dikhususkan hanya tiga lorong untuk peniaga manakala tiga lagi akan digunakan oleh MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) bagi program berbuka puasa pada setiap hari Sabtu.

Foto Sumber: Facebook Khalid Samad

Categories
SELANGOR

Pembinaan Kompleks Baharu Uptown Shah Alam mohon dipercepatkan

SHAH ALAM, 13 NOV: Pembinaan kompleks baharu bazar larut malam ‘Uptown’ Shah Alam yang dijadual siap Oktober tahun hadapan dimohon dipercepatkan bagi mengelakkan kejadian kebakaran seumpamanya berulang sehingga menjejaskan pendapatan peniaga di situ.

Perkara berkenaan disuarakan Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad yang menyatakan kompleks dengan binaan kekal itu pastinya akan dilengkapi prasarana serta sistem pendawaian terbaik malah jauh lebih selamat berbanding struktur semasa.

“Saya akan semak mengenai isu pembinaan kompleks baharu Uptown ini dengan kerajaan Selangor serta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengenai sejauh mana perkembangan dan kemajuan projek tersebut kerana kita pun nak tahu kenapa macam lambat sangat.

“Walaupun struktur semasa ini jauh lebih baik daripada binaan asal Uptown, namun ia tetap struktur sementara. Peniaga pastinya mengharapkan bangunan kekal yang mana ia dilihat jauh lebih selamat,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak perniagaan Uptown Shah Alam yang terbakar di Seksyen 24, di sini malam tadi.

Tambah Menteri Wilayah itu lagi, disebabkan perniagaan di bazar larut malam itu dilihat banyak menarik golongan muda menceburi bidang keusahawanan, penyediaan platform antaranya seperti prasarana yang baik perlu diberi perhatian pihak berwajib.

Katanya, ia sekurang-kurangnya dapat membantu peniaga muda yang baru berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan keluar daripada zon selesa dengan meraih pendapatan secara ‘makan gaji’.

Beliau turut menyarankan kepada peniaga yang terjejas dalam insiden kebakaran itu supaya segera menyenaraikan jumlah kerugian yang dialami bagi memudahkan pihaknya selain Kerajaan Negeri menghulurkan bantuan sewajarnya.

Dalam kejadian kebakaran pada 5.30 pagi semalam, sebanyak 28 lot perniagaan di blok pertama dan blok kedua di Uptown itu terbakar 100 peratus manakala tujuh lot lagi di blok ketiga terbakar 50 peratus namun insiden terbabit tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Kebakaran berkenaan merupakan insiden ketiga berlaku di bazar larut malam itu selepas kali pertama berlaku pada 2014 membabitkan 196 kedai dan kali kedua membabitkan empat kedai pada 2016.

Pada Mei 2017, PKNS menyatakan sebanyak dua blok bangunan dua tingkat berkonsepkan seni bina ‘Bugis Moden’ yang menekankan ciri-ciri keselamatan dengan kemudahan menyeluruh serta ruang perniagaan lebih selesa untuk peniaga dan pengunjung akan dibina mulai Oktober 2017 dan dijangka siap pada Oktober tahun depan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

Jangan sewa gerai kepada orang lain

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 9 JUL: Peniaga Medan Selera Seksyen 19, di sini, diingatkan supaya mengamalkan dan mematuhi peraturan pengendalian gerai sebaiknya sepanjang menjalankan operasi perniagaan mereka, kata Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata, saranan itu termasuk larangan memberi sewa gerai kepada pihak lain tanpa pengetahuan pihak berwajib.

Katanya, perkara itu wajar diberi penekanan serius bagi memastikan tiada peniaga melanggar arahan yang sudah ditetapkan.

“Penyewa gerai yang mendapat lesen sah harus manfaatkan peluang ini dengan baik kerana kita sudah menyediakan landasan kepada mereka untuk jana pendapatan sendiri.

“Kita mahu membantu peniaga yang komited untuk menstabilkan ekonomi, sekali gus berjaya dalam bidang ini tanpa sebarang halangan.

“Justeru, kita tidak mahu peniaga menyewakan kepada individu atau pihak lain yang cuba mengambil kesempatan terhadap mereka,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Terdahulu, beliau berkata demikian pada Majlis Jamuan Hari Raya Medan Selera Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Rodziah Ismail, di sini, semalam.

Pada masa sama, Khalid merangkap Ahli Parlimen Shah Alam menyifatkan, pembukaan dewan makan berkenaan sudah pasti memberi pulangan baik kepada penyewa terutama lokasinya berhampiran stesen komuter.

“Ada sebahagian daripada peniaga sudah sebulan di sini, malahan saya difahamkan perniagaan mereka mendapat sambutan menggalakkan dan berjalan agak lancar.

“Saya cukup seronok melihat keadaan seperti ini kerana ia diyakini akan berkembang baik sepenuhnya dan terus maju,” katanya.

Terdahulu, medan selera itu secara rasmi mula beroperasi pada 1 Julai lalu selepas mendapat kelulusan tawaran daripada pihak pentadbiran MBSA.

Categories
NASIONAL

Lantikan politik BN disaran letak jawatan – Khalid

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 JULAI : Mana-mana individu yang menerima lantikan politik serta memegang jawatan di bawah portfolio Kementerian Wilayah Persekutuan dinasihatkan supaya meletakkan jawatan dalam kadar segera.

Menterinya, Khalid Samad berkata, pihaknya tidak mahu menjatuhkan maruah individu yang berkenaan dengan terus membuat pemecatan secara mengejut.

“Sepatutnya mereka ini faham-faham sendiri, memang sudah ada yang dimaklumkan oleh pihak saya, namun ada diantaranya yang memberi respon dengan mengatakan mahu meletakkan jawatan ikut prosedur.

“Hakikatnya hendak letak jawatan, beri sahaja surat, tak perlu ikut prosedur yang susah, ini semua alasan, kami juga mahu jaga air muka anda.

“Contoh terbaik adalah abang saya, Tan Sri Shahrir Abdul samad meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Felda tanpa desakan mana-mana pihak, jadi sesiapa yang dilantik atas tiket politik UMNO mahupun BN sebelum ini, letak jawatan segera,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Khalid turut memaklumkan portfolionya kini bertambah kepada Menteri Kesejahteraan Bandar setelah disahkan petang semalam.

“Tidak dinafikan peranan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan sudah cukup besar.

“Sekarang dibawah portfolio yang baru kemungkinan saya akan menjaga pengurusan agama seperti Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pejabat Mufti, pusat zakat, serta pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Putrajaya dan Labuah juga di bawah portflio yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Pakatan Harapan (PAKATAN) Shah Alam di Space U8 di sini.

Hadir sama Exco Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Najwan Halimi dan Pemilik Space U8, Terry Teo.

Categories
NASIONAL

Lagi MP Selangor bakal terajui kabinet Putrajaya?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 21 JUN : Digembar-gembur bakal menganggotai kabinet Putrajaya, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mengambil pendirian untuk tidak memberi kenyataan lanjut.

Bercakap kepada SelangorKini, Khalid berkata beliau menyerahkan sebarang keputusan lanjut kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pemilihan anggota kabinet dibuat berdasarkan keputusan Tun Dr Mahathir, dan adalah lebih baik sekiranya kita tidak mengulas mengenainya.

“Dalam situasi sekarang ini, banyak perkara boleh berlaku dan perubahan boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja.

“Jadi saya serahkan semuanya kepada Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi.

Untuk rekod, enam Ahli Parlimen dari Selangor dipilih menerajui kabinet.

Mereka adalah, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu, Zuraida Kamarudin, Gobind Singh Deo dan Dr Dzulkefly Ahmad.

SelangorKini sebelum ini melaporkan, pemilihan itu dianggap satu penghormatan terbaik buat rakyat Selangor.

Sementara itu, sekiranya Khalid Samad menganggotai senarai jemaah kabinet baru, ia sekali gus bakal menyaksikan Ahli Parlimen Selangor adalah yang paling ramai dipilih menjadi menteri kabinet Malaysia kini.

Terdahulu, nama Khalid disebut bakal menyandang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan bagi mengisi senarai kabinet kerajaan baharu.

Sinar Harian melaporkan, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok juga antara nama yang dicalonkan bagi jawatan itu.

Categories
NASIONAL

Sepanduk hina polis kait Khalid Samad fitnah

SHAH ALAM, 7 MEI: Calon Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa kain rentang yang tertera ayat menghina Polis Diraja Malaysia menggunakan gambar beliau adalah fitnah.

Dalam sidang media di pejabatnya, hari ini, beliau menyifatkan tindakan itu sebagai politik murahan oleh pihak lawan bagi mengelirukan pengundi.

Katanya, kejadian itu berlaku ketika pegawai, anggota dan pesara polis kontinjen Selangor ingin menjalankan tanggungjawab mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, pada 5 Mei lalu.

“Saya dimaklumkan pegawai polis di sana ketika membuat pantauan hari mengundi awal, terdapat dua kain rentang yang menggunakan gambar saya dengan tertulis ‘Polis Malaysia Anjing’, manakala satu lagi dibakar dengan mesej hampir sama ‘Polis Malasia, Anjing Kerajaan’.

“Saya sudah membuat laporan polis untuk menafikan sekerasnya tindakan itu dan ia jelas menunjukkan ini adalah agenda politk untuk memburukkan diri saya,” katanya.

Khalid turut menegaskan tindakan memasang sepanduk pada hari polis mengundi sebagai kurang bijak.

“Polis sendiri mengatakan mereka yakin ia bukan kerja saya kerana tidak mungkin saya nak pasang sepanduk semasa hari polis mengundi.

“Saya juga dimaklumkan siasatan sedang dijalankan dan pihak forensik mengambil cap jari ke atas sepanduk untuk mengenal pasti individu bertanggungjawab,” katanya.

Categories
NASIONAL

Masyarakat India tolak Azhari

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 7 MEI: Kaum India dari seluruh negara menolak keras calon Barisan Nasional (BN) P.108 Shah Alam, Datuk Azhari Shaari yang dianggap tidak sensitif apabila menghina agama dan budaya kaum lain.

Perakara itu disuarakan hampir 80 badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari masyarakat India berkaitan isu demonstrasi tindakan Azhari membawa kepala lembu di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini, pada 28 Ogos 2009.

Salah seorang wakil, BT Gana berkata, tindakan Azhari itu satu penghinaan kerana diketahui masyarakat India menganggap lembu adalah tuhan yang disembah.

“Dalam perarakan itu, mereka memijak kepala lembu sebagai protes untuk mengalihkan pembinaan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23.

“Oleh itu, kami sebulat suara membantah pencalonan beliau dan kami tidak mahu seseorang yang ektremis keagamaan sebagai wakil rakyat,” katanya ketika sidang media di pejabat Ahli Parlimen Shah Alam di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Malaysian Hindu Sangam, Arun Dorasamy berkata, walaupun perkara itu hampir 10 tahun berlalu, namun tiada tuntutan maaf secara rasmi oleh Azhari kepada kaum India.

“Mahkamah ketika itu menyatakan tindakan Azhari salah dan beliau dikenakan denda RM1,000 serta kami tidak mengambil tindakan lanjut, namun kami tidak mahu orang sebegini dilantik.

“Sememangnya media masa ada melaporkan Azhari ingin memohan maaf kepada kami, namuan hakikatnya perkara itu tidak pernah berlaku.

“Oleh itu, kami menyeru semua rakyat Selangor khususnya di Parlimen Shah Alam untuk tidak mengundi Azhari pada 9 Mei ini,” katanya.

Manakala, calon Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, menolak dakwaan Utusan sidang media itu sebagai senjata menyerang pihak lawannya.

“Perkara ini adalah permintaan persatuan masyarakat India dan bukan motif menyerang secara individu seperti yang didakwa.

“Maka saya nasihatkan kepada Azhari itu memohin maaf secara terbuka kepada seluruh masyarat India dan belajar menghormati agama dan bangsa lain,” katanya.