Categories
SENI

Lembing Sembuana: Mitos atau simbolik?

Oleh Nazli Ibrahim
LEMBING Sembuana ialah salah satu alat kebesaran Diraja Selangor yang
digunakan semasa Istiadat Pertabalan, Kemahkotaan dan Majlis Angkat
Sumpah pembesar Negeri Selangor.

Tidak dicatat tarikh sebenar lembing turun temurun itu tetapi Tengku
Seri Wangsa Diraja, Tengku Datuk Setia Ramli Tengku Shahruddin Shah,
percaya ia wujud sejak dari zaman Melayu Lama.

Sultan Selangor keenam, Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah ibni al-Marhum Raja Muda Musa adalah individu pertama yang menjalankan kajian terhadap sejarah lembing itu.

Sultan Alaeddin memerintah Selangor antara 1898 hingga 1938 dan
mempunyai kecenderungan terhadap barangan artifak dan kesenian lama.

lemMengikut kajian, mata lembing itu diperbuat daripada besi Khursani yang dikumpulkan dari sembilan daerah di Selangor.

Namanya diperoleh dari dua perkataan iaitu ‘Sembilan Buana’ yang
diringkas kepada Sembuana. Perkataan sembilan merujuk kepada sembilan daerah, yakni lokasi besi Khursani dikumpul untuk dijadikan mata lembing.

Mengikut Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),  perkataan buana berasal dari perkataan Melayu Klasik membawa maksud alam, dunia atau jagat. Dari situlah nama Sembuana diperoleh.

Disebabkan mata lembing itu diperbuat daripada besi Khursani, ia dipercayai memiliki semangat yang kuat dan tuah tersendiri.

Pada masa dahulu, individu yang mengangkat sumpah depan sultan dengan memegang Lembing Sembuana dikehendaki berkelana meninggalkan Selangor selama tujuh hari, tujuh malam.

Dan, hanya boleh kembali ke Selangor pada hari kelapan untuk mengadap sultan, seterusnya memulakan tugas yang dipertanggungjawab.

Lembing itu juga dipercayai pernah dijadikan sebagai senjata untuk
menjatuhkan hukuman bunuh kepada individu yang melakukan kesalahan berat.

Pada masa ini, lembing pusaka itu dianggap sebagai simbolik
kebertanggungjawaban yang diamanahkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor kepada individu yang dilantik.

Dalam istiadat mengangkat sumpah, mereka yang dilantik akan memegang Lembing Sembuana di tangan kanan sambil melafaz ikrar taat setia kepada Raja dan Kerajaan Selangor.

Antara istiadat yang menggunakan lembing itu ialah Permahsyuran Sultan baru di hadapan Jenazah, pelantikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor dan DYTM Raja Puan Muda Selangor serta pelantikan Orang Besar Istana, Orang Besar Daerah dan Negeri serta Datuk Diraja Selangor.

lembingmb - CopyIni dapat dilihat ketika Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan
Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-14 Negeri Selangor pada 14 Mei 2013.

Abdul Khalid ketika itu dilantik buat penggal kedua selepas kali pertama
dilantik ke jawatan berkenaan pada 2008.

Meskipun penggunaan lembing berkenaan tidak lagi dipraktik dalam majlis Istiadat Angkat Sumpah Menteri Besar penggal sebelumnya, baginda berkenan agar penggunaan Lembing Sembuana dikembalikan dalam istiadat.

Ia sekaligus dianggap kepercayaan baginda terhadap Abdul Khalid
dalammelaksanakan tanggungjawab dengan penuh integiriti dan beramanah sepanjang menerajui kerajaan.

Selangor pula sebuah negeri yang pesat membangun baik dari segi
pembangunan fizikal, ekonomi mahupun rohani. Ini dapat dilihat dengan keampuhan ekonomi Selangor sehingga dianggap peneraju ekonomi negara.

Ia membolehkan rakyat negeri ini menikmati bersama hasil negeri melalui segala dasar yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Namun, kejayaan tidak diraih sekelip mata melainkan melalui usaha gigih Rajanya, pembesar istana, pembesar negeri dan rakyat jelata sejak
penubuhan Selangor pada 1766 lagi.

Kejayaan hanya mampu dicapai melalui sikap bertanggungjawab dan amanah pembesarnya, seperti detik melafaz ikrar taat setia kepada Raja dan Negeri di hadapan baginda Sultan sambil memegang Lembing Sembuana.

Secara tidak langsung, Lembing Sembuana dianggap ramai sebagai antara simbolik kepada gemilang yang ditempa Kerajaan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah.

* Rencana ini sempena Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor ke-68 pada 11 Disember lalu.

– FZL

Leave a Reply

Your email address will not be published.