Categories
NASIONAL

Pengguna Facebook persoal: ‘Lepas tol, apa lagi mahu naik?’

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM, 17 DIS : Desas-desus mengenai kenaikan kadar tol yang dijangka berlaku tahun depan menjadi topik hangat yang dibincangkan pengguna terutama di laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Siri kenaikan yang disifatkan melampau oleh sebilangan besar rakyat bermula dengan pengumuman Kerajaan Umno-BN menaikkan harga petrol RON95 sebanyak RM0.20, diikuti harga gula (RM0.34) dan kemudiannya disusuli kenaikan 15 peratus terhadap kadar elektrik.

tol naikTidak cukup dengan itu, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar baru-baru ini bercadang untuk mengkaji semula kadar pengangkutan awam seperti aliran transit ringan (LRT), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Monorail serta tambang bas sekolah pada 2014.

Lebih memburukkan keadaan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dalam satu kenyataan menyarankan pengguna lebuhraya supaya menggunakan jalan alternatif sekiranya tidak bersetuju dengan kenaikan tol.

Seorang pengguna, Ravichandran Mamiar, berpendapat kerajaan seharusnya mengkaji cara-cara menguruskan kekayaan negara untuk disalurkan kepada rakyat dan bukannya menaikkan harga barangan serta kemudahan asas secara mendadak hingga menekan golongan bawahan.

Ada di kalangan pengguna juga menyatakan rakyat ditipu Umno-BN setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) baru-baru ini apabila dalam tempoh kurang setahun, pelbagai kenaikan sudah diumumkan.

“Bagaimanakah Rakyat ditipu ? Selepas menang, satu hingga dua tahun, semua harga dinaikkan sama sekali. Bila penggal dekat dengan pilihanraya iaitu tahun ketiga hingga keempat, harga dikurangkan dan ada pula yang dimansuh. Inilah taktik kerajaan untuk memperbodohkan rakyat,” kata seorang pengguna di Facebook Media Selangorku.

“Inilah akibat bila tak pandai urus ekonomi negara, terus menerus dengan tradisi ketirisan wang negara. Akhirnya rakyat yang menanggung sengsara. Lepas ini naikkan apa pula?,” soal Muhammad Affidan Hamdani.

Sopi Sahak, pula secara sinis menyatakan lebuhraya bertol hanya layak digunakan golongan berada sahaja, manakala rakyat marhaen perlu menggunakan jalan biasa yang dipenuhi lubang dan selekoh berbahaya.

Manakala Noramin Sulaiman, berkata kira-kira 80 peratus jalan raya di Malaysia adalah lebuhraya bertol dan terpaksa digunakan warga kota saban hari untuk melakukan kerja seharian.

“Ditakuti apabila ramai yang ikut jalan biasa, kerajaan letak tol pula di situ,” sindir Haslawati Dahlan.

naik tolKenaikan tol mula diperkatakan ekoran kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof bahawa terdapat semakan semula kadar itu pada tahun depan dari segi perjanjian antara kerajaan dengan syarikat konsesi lebuh raya.

Dilaporkan kenaikan kadar itu dijangka berlaku antara 30 sen sehingga RM1, tetapi tidak menyatakan untuk jarak perjalanan sejauh mana.

Terdapat 13 lebuh raya yang terlibat dalam semakan semula kadar tol itu.

Pakatan Rakyat menentang cadangan tersebut kerana langkah itu hanya memberi keuntungan kepada syarikat konsesi yang akan terus membebankan pengguna.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.