Categories
SELANGOR

MB : Gaji ADUN berbaki RM500 tanpa pelarasan gaji

Oleh : Nazli Ibrahim

SHAH ALAM 4 DIS : Gaji yang diterima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor hanya berbaki RM500 dan tidak mencukupi bagi menampung keperluan keluarga masing-masing jika pelarasan gaji tidak dilaksanakan seperti yang diumumkan, baru-baru ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata perkara itu berlaku apabila perbelanjaan berbentuk sumbangan harus dihulurkan wakil rakyat terbabit kepada masyarakat setempat yang diwakili mereka.

Khalid Ibrahim“ADUN bergaji RM6,000 dan hampir setiap minggu perlu dibelanjakan RM500 untuk sumbangan orang kahwin, orang datang pejabat dan orang meninggal dunia. Keseluruhan sumbangan sebulan mencecah RM2,000 dan hanya tinggal RM4,000.

“Bayar kereta, rumah dan bayaran lain mencecah RM2,000, manakala kena beri kepada parti RM1,000. Beli baju kalau yang mementingkan gaya sudah RM500, tinggal RM500 duit untuk anak sekolah dan perbelanjaan keluarga. J

“Jadi, bagaimana dia ingin berbelanja dan sebab itu saya menaikkan gaji kerana susah untuk ADUN bekerjaa,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam ucapan perasmian Bengkel Kenali Kampungku/Bagan/Tersusun bagi peringkat Hulu Selangor dan Sabak Bernam di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, di sini, hari ini.

DSC_0054aAbdul Khalid berkata, keputusan menaikan gaji mampu mengurangkan risiko pembabitan pemimpin kerajaan yang sering terdedah dengan gejala rasuah.

“Saya tidak mahu ADUN kekurangan duit untuk menjaga masyarakat setempat. Nanti, kalau dia pergi pula minta pada tauke atau sana sini. Hal ini akan menjadi sangat susah dan negeri juga akan turut terpalit dengan masalah terbabit,” katanya.

Sebelum ini, bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, langkah menaikkan gaji mampu membendung Menteri Besar, Speaker, Timbalan Speaker, Exco dan ADUN Selangor terjebak dengan gejala rasuah mengikut perspektif Islam.

“Kalau soal akauntabiliti itu sudah ditekankan dan kemudian dinaikkan gaji sebagai salah satu langkah mengangkatnya, maka itu tidak menjadi masalah. Tidak kira sama ada Menteri Besar, ADUN atau Ahli Parlimen boleh dinaikkan gaji kalau benar terbukti mereka tidak pernah ambil sebarang keuntungan lain, selain gaji yang diterima,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.