Categories
SELANGOR

Urus sisa buangan, MBPJ sedia tong sampah berpenutup

Oleh : Lizawati Madfa

PETALING JAYA 11 DIS : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membekalkan 1, 800 tong sampah berpenutup di Seksyen 5 dan Seksyen 10 di sini, bagi memudahkan pengurusan sisa buangan domestik setiap isi rumah di kawasan selian agensi berkenaan.

Ahli Majlis Zon 12 MBPJ, Derek John Fernandez, berkata jumlah tenaga kerja pengutipan sampah juga dapat diminimakan, selain penduduk yang akan beroleh manfaat daripada inisiatif berkenaan.

derek john fernandezKatanya, tong sampah yang dibekalkan secara percuma itu boleh diangkat dengan menggunakan jentera atau lori pengangkut sampah dan bukannya seperti amalan kebiasaan apabila pekerja diperlukan untuk mengangkat sampah yang biasanya dikumpulkan dalam plastik sampah.

“Ini langkah pertama kita dan langkah seterusnya adalah dengan menggubal undang-undang di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengenakan denda atau saman kepada yang tidak menggunakan tong sampah diberikan.

“Saya juga berharap setiap penduduk dapat menjaga dan menggunakan dengan baik harta pihak majlis ini kerana ia diberikan untuk kesenangan serta kemudahan mereka dalam menguruskan sisa rumah,” katanya.

Beliau ditemui ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Tong Sampah Zon Bersih MBPJ yang turut dihadiri beberapa wakil penduduk di Dewan Serbaguna Gasing Indah, di sini, pagi tad.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penduduk Gasing Indah, S Mohana, berkata penduduk gembira dan berbesar hati dengan inisiatif pihak MBPJ yang dilihat mampu mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih bersih serta selesa.

MBPJ“Kini, kami berhadapan masalah longgokan sampah dalam plastik yang selalu berselerakan akibat dibongkar anjing dan ini menjadikan kawasan persekitaran kotor.

“Apabila keadaan kotor, pasti banyak perkara tidak baik mudah berlaku dalam masyarakat seperti jangkitan penyakit. Jadi, kita berterima kasih pada MBPJ, khususnya ahli majlis yang prihatin dengan keperluan penduduk,” katanya.

Sejak awal bulan ini, 400 tong sampah berjaya diedarkan sementara bakinya akan diserahkan kepada setiap rumah di Seksyen 5 dan 10 secara berperingkat.

Tong sampah yang mampu memuatkan kira-kira 120 liter sisa sampah itu berharga RM90 seunit dan tidak boleh dijual beli kerana ia adalah hak MBPJ.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.