Categories
ADN SELANGOR

ADN Hulu Kelang serah 36 tong sampah kepada penduduk pangsapuri PKNS AU1A/1

GOMBAK, 20 FEB: Sebanyak 36 unit tong sampah disumbangkan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang kepada penduduk pangsapuri PKNS AU1A/1 di sini, hari ini.

Wakil rakyatnya memaklumkan sumbangan itu merangkumi 12 tong sampah bersaiz besar dan 24 lagi bersaiz kecil.

“Terdapat empat blok kediaman di sini di mana setiap blok kita berikan tiga bersaiz besar dan enam bersaiz kecil.

“Pemberian ini adalah permintaan penduduk yang mana mereka menitik beratkan kebersihan,” kata Saari Sungib selepas menyampaikan sumbangan berkenaan.

Saari berkata pemberian di perumahan berkenaan adalah kali kedua dalam tempoh beberapa tahun ini.

Katanya terdapat perbezaan ketara di mana tahap kebersihan di perumahan berkenaan bertambah bersih dari sebelumnya kerana mempunyai tong sampah yang mencukupi.

Categories
PBT SELANGOR

MPS lapor polis susulan CCTV rakam kecurian tong sampah

SHAH ALAM, 4 NOV: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) membuat laporan polis berhubung kecurian tong sampah miliknya di Taman Desa Jaya, Kepong.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang mengesan seorang individu melakukan kegiatan itu pada Isnin diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, maklum pengarah Jabatan Korporatnya.

Rakaman CCTV yang mengesan seorang individu mencuri tong sampah di Taman Desa Jaya, Kepong pada 1 November 2021. Foto MPS

“MPS amat kesal apabila hasil pemantauan CCTV yang dipasang, seorang individu didapati mencuri tong sampah milik MPS yang diletakkan untuk kegunaan orang awam.

“Kejadian dikesan berlaku pada jam 7 malam,” kata Mohamad Zin Masoad menerusi kenyataan.

Beliau menegaskan pemantauan aktiviti kecurian dan vandalisme terus dijalankan dan individu melakukan perbuatan tersebut akan diambil tindakan.

Mohamad Zin menambah MPS membelanjakan sebanyak RM130,000 untuk menggantikan tong sampah awam yang rosak dan hilang ekoran kegiatan terbabit.

“Semua kemudahan awam disediakan untuk kegunaan bersama dan orang ramai haruslah lebih bertanggungjawab agar ia dapat dimanfaatkan bersama,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM serah 125 unit tong sampah, buang sisa secara teratur

AMPANG, 12 OKT: KDEB Waste Management (KDEBWM) menyumbang 125 tong sampah jenis MGB120L untuk kegunaan penduduk Kampung Melayu Ampang di sini, hari ini.

Tong sampah itu ditempatkan di Lorong Merbau, Lorong Seraya, Lorong Jati dan Lorong Pinang manakala sebuah tong sampah kitar semula diletak di Pusat Khidmat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Zon 7.

Pengurus Besar Operasi KDEB Waste Management Mohd Idris Mohamed Yusof

Pengurus Besar Operasi KDEBWM Mohd Idris Mohamed Yusof berkata serahan itu bagi memudahkan penduduk dan kontraktor pembersihan memproses pembuangan sampah domestik lebih teratur.

“Kita difahamkan sebelum ini rata-rata penduduk di sini membuang sampah dalam pelbagai medium seperti tangki air, beg dan kebuk simen.

“Dengan serahan tong baharu ini kita percaya ia akan lebih teratur, seragam dan bersih. Saya berharap penduduk menggunakan tong ini sebaiknya dan tidak melakukan vandalisme,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyerahan tong tersebut di Dewan MPKK Kampung Melayu Ampang di sini hari ini.

Sumbangan itu diserahkan kepada Ketua Kampung Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Melayu Ampang Daing Muhammad Najib Bachok.

Sementara itu Mohd Idris berkata, KDEBWM selaku syarikat yang mengendali pengurusan sisa pepejal di Selangor menitikberatkan masalah dihadapi penduduk dan bersedia membantu jika ada keperluan.

Daing Muhamad Najib

Manakala, Daing Muhammad Najib berterima kasih kepada pihak KDEBWM dan berharap penduduk di kampung itu tidak menyalahgunakan manfaat itu.

“Penduduk perlu gunakan kemudahan ini sebaiknya dengan tidak buang sampah di luar tong. Pemberian ini juga membuatkan pemandangan di kampung lebih cantik dan seragam.

“Kita juga berharap KDEBWM menyumbang lebih banyak tong pada masa depan termasuk meletakkan di depan kedai-kedai,” katanya.

Categories
ADN AGENSI SELANGOR

KDEBWM sumbang sembilan tong sampah untuk penduduk Taman Templer

SHAH ALAM, 5 OKT: KDEB Waste Management (KDEBWM) menyumbangkan sembilan tong sampah larut di perumahan sekitar Taman Templer yang menghadapi masalah kekurangan tempat pembuangan sampah.

Wakil rakyat Taman Templer Mohd Sany Hamzan berkata tujuh pangsapuri menerima sumbangan itu di Pangsapuri Julia, Selayang Mulia, Prima Selayang, One Selayang, Kota Warisan, Dahlia dan Nuri.

Bantuan turut diberi di Kampung Mahkota dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Selayang Baru.

Mohd Sany berkata kawasan terbabit sebelum ini menghadapi masalah tong sampah tidak mencukupi kerana terpaksa berkongsi dengan penduduk dari luar kawasan.

“Ada orang luar datang buang sampah di kawasan itu sehingga berlaku limpahan menyebabkan keadaan tidak selesa kepada penduduk.

“Jadi kami bangkitkan kepada KDEBWM yang bersetuju sumbang sembilan tong untuk kemudahan penduduk,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tong sampah larut itu disampaikan Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir di One Selayang.

 

Categories
ADN SELANGOR

Kurang seminggu selesai aduan, ADN Subang Jaya puji KDEBWM

SUBANG JAYA, 16 SEPT: Tindakan pantas syarikat pengurusan sisa pepejal negeri menggantikan tong sampah penduduk yang rosak dipuji Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya.

Michelle Ng Mei Sze berkata KDEB Waste Management (KDEBWM) mengambil masa kurang seminggu untuk menyelesaikan masalah penduduk Pangsapuri PJS 7/15, Bandar Sunway.

“Saya membuat permohonan kepada KDEBWM minggu lalu dan hari ini (semalam) terima yang baharu. Tindakan sangat cepat dan betul-betul prihatin masalah penduduk.

“Inisiatif ini juga memudahkan proses kutipan sampah. Jika tidak kakitangan KDEBWM perlu mengutip secara manual dan mengambil masa,” katanya selepas menerima tong sampah larut (leach bin) daripada Pengarah Urusan KDEBWM Ramli Mohd Tahir.

Michelle turut meminta penduduk menjaga dan menggunakan kemudahan tersebut dengan betul bagi memastikan kebersihan sekitar pangsapuri terpelihara.

Semalam, KDEBWM menyumbang enam tong sampah jenis larut bernilai lebih RM10,00 kepada pangsapuri berkenaan sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporatnya.

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM sumbang tong sampah ‘leach bin’ untuk kemudahan penduduk Pangsapuri PJS 7/15

SUBANG JAYA, 16 SEPT: Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM) menyumbang enam tong sampah jenis ‘leach bin’ kepada Pangsapuri PJS 7/15, Bandar Sunway semalam.

Pengarah urusannya Ramli Mohd Tahir berkata bantuan menerusi projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu menggantikan tong sampah lama yang usang dan rosak.

“Sumbangan ini dapat membantu penduduk menjaga kebersihan kawasan kediaman mereka selain memudahkan pekerja KDEBWM membuat kutipan.

Pengarah Urusan KDEBWM, Ramli Mohd Tahir berucap ketika majlis perasmian Pusat Kitar Semula KDEBWM di Bukit Puchong, Puchong pada 29 Mac 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Wakil rakyat Subang maklumkan tapak tong lama dah rosak. Bila waktu hujan air sampah mengalir keluar menghasilkan bau busuk malah anjing juga datang menyelongkar sampah. Jadi kita setuju sumbang tong sampah ‘leach bin’ bersaiz 1,100 liter,” katanya.

Sumbangan bernilai lebih RM10,000 itu diserahkan kepada Michelle Ng Mei Sze dan wakil penduduk L Baranitharan.

Menurut Ramli inisitif seperti itu akan diteruskan ke beberapa kawasan pangsapuri sekitar Ampang dan Petaling Jaya dalam masa terdekat.

“Kami mohon supaya penduduk gunakan tong sampah ini dengan betul. Jangan bakar sampah yang ada dalamnya serta tidak membuang sampah pukal.

“Mana-mana kawasan yang perlukan tong ini boleh membuat permohonan. Kami mengutamakan kediaman strata, pangsapuri dan komersial,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Jaga kebersihan, MPK wajibkan peniaga sedia tong sampah

SHAH ALAM, 23 OKT: Majlis Perbandaran Klang mewajibkan semua premis perniagaan menyediakan tong sampah mudah alih 240 liter menjelang hujung tahun bagi menjaga kebersihan persekitaran.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Persekitarannya berkata pihaknya pada masa ini menjalankan kempen mendidik peniaga dan memberi notis makluman sebelum menguatkuasakan peraturan itu mulai 1 Januari tahun depan.

Zaireezal Ahmad Zainuddin menjelaskan syarat itu ada dimaklumkan ketika peniaga memohon lesen tetapi segelintir mereka tidak mematuhinya dan membuang sampah ke bahu jalan.

“Ada saliran tersumbat disebabkan sampah dibuang merata-rata. Kita mahu mengawal keadaan ini dan memudahkan tugas kutipan sampah oleh KDEB Waste Management,” katanya pada 21 Oktober.

Beliau berkata peniaga yang tidak menyediakan tong sampah jenis itu boleh dikenakan tindakan termasuk lesen perniagan ditarik balik apabila penguatkuasaan dibuat pada tahun depan.

“Tindakan dibuat mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPK) 2007 kerana kegagalan mematuhi syarat permohonan lesen yang mewajibkan peniaga menyediakan tong sampah di premis.

“Penguatkuasaan juga dibuat mengikut UUK Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah-Sarap (MPK) 2007 atas kesalahan pelupusan sisa pepejal tidak dibuat secara betul,” katanya.

Categories
SELANGOR

Tiada kompromi premis, rumah tiada tong sampah

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 20 JUN: Pihak premis komersial dan kediaman di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa disaran mengatasi masalah kebersihan dengan penggunaan tong sampah di kawasan masing-masing.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, G Gunarajah berkata, pihaknya dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan dan tindakan bakal diambil sekiranya pihak terbabit mengabaikannya.

“Kita mengenal pasti beberapa kawasan utama berkenaan isu ini memandangkan ketiadaan tong sampah di premis komersial dan kawasan perumahan menjadi punya utama masalah sampah di tempat berkenaan.

“Kita tidak boleh menyalahkan penduduk kerana ketiadaan tong sampah di rumah mereka tetapi tabiat sesetengah penduduk suka membuang sampah merata tempat menjadikan kawasan ini kotor.

“Bagi premis perniagaan, saya sudah berbincang dengan Yang Dipertua MPK supaya tidak mengeluarkan lesen kepada pihak berkenaan jika mereka tidak menyediakan tong sampah seperti di dalam perjanjian ditetapkan,” katanya dalam sidang media.

Pada masa sama, Gunarajah berkata, pihaknya akan membantu dan memainkan peranan dalam usaha membasmi isu berkenaan sebelum tindakan dilaksanakan secara drastik.

“Kami sudah melancarkan kempen ‘Clean And Green’ dan beberapa aktiviti sudah dijalankan bermula April lalu sehingga kini membabitkan persatuan penduduk di kawasan berkenaan.

“Kempen ini bertujuan memberikan inspirasi kepada penduduk di kawasan berkenaan untuk menjaga dan melindungi alam sekitar serta mesra alam.

“Kami juga mendidik dan memberikan tunjuk ajar kepada kanak-kanak serta pelajar sekolah untuk menanam pokok supaya timbul kesedaran terhadap kepentingan itu,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)

Categories
NASIONAL

Tak akan jadi ‘tong sampah’ sisa pepejal

SHAH ALAM, 31 JUL: Malaysia tidak akan menjadi ‘tong sampah’ kepada sisa pepejal dunia, kata Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.

Bee Yin berkata, ia tidak terjadi walaupun berlaku lambakan bahan buangan berkenaan ekoran tindakan China mengharamkan kemasukan sisa pepejal negara maju ke negara berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan memperkenalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan peraturan baharu bagi permohonan lesen import sisa pepejal selain membatalkan serta-merta lesen ke atas semua 114 pemegang lesen sebelum ini bagi mengekang isu itu.

Katanya, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara mengeluarkan lesen berkenaan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Pengusaha perlu memohon semula mengikut SOP dan kriteria baharu dalam usaha memastikan tiada pelanggaran standard serta peraturan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri Persidangan Dewan Rakyat, lapor BERNAMA, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bebas-Bagan Serai) yang ingin tahu berhubung tindakan kementerian membabitkan longgokan beribu tan sisa pepejal dari negara maju selepas tindakan pengharaman oleh China.

Bee Yin berkata, kebanyakan negara Barat mengeksport sisa pepejal ke negara Asia lain selepas tindakan China, yang berkuatkuasa Januari lalu.

Beliau berkata Malaysia menjadi pengimport terbesar sisa pepejal plastik dari United Kingdom dengan mengimport 17 peratus daripada keseluruhan 250,000 tan sisa pepejal dari negara berkenaan hanya untuk tempoh suku pertama tahun ini, berdasarkan laporan ‘British National Audit Office’.

“Sebagai perbandingan, sebanyak 40 peratus sisa pepejal plastik negara itu diimport China untuk tempoh sama, tahun lalu. Kerajaan turut menubuhkan satu task force untuk mengkaji kaedah terbaik kawalan import plastik yang dihentikan.

“Kerajaan sedia maklum, terlalu banyak sisa plastik berada di tempat berbeza sejak Januari lalu. Kerajaan juga bersedia mengambil tindakan terhadap pengusaha yang cuba nasib memproses plastik ini secara haram dan akan membawa mereka ke mahkamah berdasarkan undang-undang sedia ada,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Hampir RM10 juta didik warga Shah Alam urus sampah

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memperuntukkan hampir RM10 juta dalam usaha melahirkan masyarakat celik pengurusan sisa pepejal dan sampah domestik.

MBSA ZaharinDatuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, ia termasuk program pengedaran tong sampah beroda (Mobile Garbage Bins-MGB) kepada penduduk di kawasan pentadbiran MBSA.

Katanya, lebih 900 tong MGB 120 liter (l), 495 tong MGB 660l dan 43 ‘Leach Bin’ bakal diedarkan secara percuma dan berperingkat kepada penduduk.

“Walaupun membabitkan peruntukan agak besar tetapi MBSA sedia berbelanja bagi menambah baik pengurusan sisa pepejal dan sampah dalam kalangan masyarakat.

“Usaha ini juga diyakini mampu meningkatkan peratus kitar semula seterusnya mencapai matlamat Shah Alam ke arah Bandar Raya Sifar Sampah (Zero Waste) dan Bandar Rendah Karbon, menjelang 2030,” katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pengedaran Tong Sampah Secara Percuma Kepada Penduduk Bandar Baru Sungai Buloh, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Khairuddin Othman dan Timbalan Datuk Bandar, Shukri Mohamad Hamin.

Majlis menyaksikan 211 tong sampah MGB 120l diedarkan kepada penduduk Bandar Baru Sungai Buloh Fasa 3.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

9,000 tong sampah sekitar bandar Petaling Jaya

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 JAN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menyerahkan 9,000 unit tong sampah secara berperingkat kepada penduduk kawasan perumahan di sekitar Petaling Jaya.

Sekretariat Media, Unit Komunikari Korporat dalam kenyataan memaklumkan tong sampah berkenaan akan diserahkan kepada penduduk melalui Ahli Majlis MBPJ zon terbabit, bermula 8 Januari ini.

Katanya, penduduk yang menerima tong sampah berkenaan akan menandatangani surat aku janji dan diwajibkan mematuhi syarat ditetapkan.

tong-sampah-mbpj-1“Antara syaratnya ialah meletakkan tong sampah berkenaan di hadapan rumah, menggantikan tong sampah baru sekiranya rosak atau hilang dan tidak meletakkan tong sampah dilokasi yang mengganggu laluan.

“Penduduk yang gagal mematuhi syarat itu akan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Tong sampah yang mampu memuatkan 120 liter sisa sampah itu berharga RM110 seunit dan tidak boleh dijual beli kerana ia adalah hak mutlak MBPJ.

Ahli Majlis yang terlibat dalam program itu ialah G Suriase (Zon 1), Shatiri Mansor (Zon 3), Ang Min Ern (Zon 5), Daniel Lee Marn Zhi (Zon 7), Jamaliah Jamaluddin (Zon 9) dan Ong Swee Long (Zon 13).

Selain itu, Ermeemarianna Saadon (Zon 15), Terrance Tan Teck Seng (Zon 16), Ahmad Akhir Pawan Chik (Zon 17), Ariffin Mahaiyuddin (Zon 18), Onn Chong Lin (Zon 20), Mohd Ghazali Daud (Zon 21), Azri Mohamad Arish (Zon 23) dan Halimey Abu Bakar (Zon 24).

MBPJ memberi keutamaan kepada penduduk perumahan di atas tanah (landed residential) yang menggunakan sistem tong sampah berpusat (leach bin).

Ia turut membabitkan kawasan perumahan kampung, kampung baru dan tanah lot kawasan bermasalah lori kutipan untuk memasuki untuk membuat kutipan (lorong yang sempit, jalan mati).

-NFN-

Categories
SELANGOR

Urus sisa buangan, MBPJ sedia tong sampah berpenutup

Oleh : Lizawati Madfa

PETALING JAYA 11 DIS : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membekalkan 1, 800 tong sampah berpenutup di Seksyen 5 dan Seksyen 10 di sini, bagi memudahkan pengurusan sisa buangan domestik setiap isi rumah di kawasan selian agensi berkenaan.

Ahli Majlis Zon 12 MBPJ, Derek John Fernandez, berkata jumlah tenaga kerja pengutipan sampah juga dapat diminimakan, selain penduduk yang akan beroleh manfaat daripada inisiatif berkenaan.

derek john fernandezKatanya, tong sampah yang dibekalkan secara percuma itu boleh diangkat dengan menggunakan jentera atau lori pengangkut sampah dan bukannya seperti amalan kebiasaan apabila pekerja diperlukan untuk mengangkat sampah yang biasanya dikumpulkan dalam plastik sampah.

“Ini langkah pertama kita dan langkah seterusnya adalah dengan menggubal undang-undang di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengenakan denda atau saman kepada yang tidak menggunakan tong sampah diberikan.

“Saya juga berharap setiap penduduk dapat menjaga dan menggunakan dengan baik harta pihak majlis ini kerana ia diberikan untuk kesenangan serta kemudahan mereka dalam menguruskan sisa rumah,” katanya.

Beliau ditemui ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Tong Sampah Zon Bersih MBPJ yang turut dihadiri beberapa wakil penduduk di Dewan Serbaguna Gasing Indah, di sini, pagi tad.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Penduduk Gasing Indah, S Mohana, berkata penduduk gembira dan berbesar hati dengan inisiatif pihak MBPJ yang dilihat mampu mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih bersih serta selesa.

MBPJ“Kini, kami berhadapan masalah longgokan sampah dalam plastik yang selalu berselerakan akibat dibongkar anjing dan ini menjadikan kawasan persekitaran kotor.

“Apabila keadaan kotor, pasti banyak perkara tidak baik mudah berlaku dalam masyarakat seperti jangkitan penyakit. Jadi, kita berterima kasih pada MBPJ, khususnya ahli majlis yang prihatin dengan keperluan penduduk,” katanya.

Sejak awal bulan ini, 400 tong sampah berjaya diedarkan sementara bakinya akan diserahkan kepada setiap rumah di Seksyen 5 dan 10 secara berperingkat.

Tong sampah yang mampu memuatkan kira-kira 120 liter sisa sampah itu berharga RM90 seunit dan tidak boleh dijual beli kerana ia adalah hak MBPJ.

-NFN-