Categories
NASIONAL

Pembelian kondo RM110 juta babitkan rakan kongsi Riza Shahriz

Oleh : NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA 30 DIS: Kemampuan anak lelaki Datin Seri Rosmah Mansor, Riza Shahriz Abdul Aziz membeli kondominium bernilai RM110 juta di New York seperti yang dilaporkan laman Sarawak Report menimbulkan kesangsian.

Sebaliknya, langkah membeli kondominium di West 63rd Street di Park Laurel, New York, pada 19 November 2012 itu dipercayai membabitkan rakan kongsi perniagaan penerbitan filem di Hollywood itu.

Justeru itu, pihak terbabit disaran mendedahkan bagaimana anak tiri kepada Perdana Menteri itu mendapatkan wang untuk membeli hartanah mewah berkenaan dan identiti rakan niaganya.

Rafizi1-179x300Pengarah Startegi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, pendedahan itu perlu dibuat bagi mengelakkan sebarang persepsi buruk terhadap keluarga Perdana Menteri itu.

“Tidak logik, dengan umur dia yang lebih kurang saya dan dalam jangka masa singkat tidak ada cara dia kumpul duit hingga mampu beli kondominium berharga RM110 juta itu.

“Kalau dia juga ikut amalan emaknya dengan menabung sejak kecil juga masih tidak logik,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Rafizi berkata, merahsiakan indentiti rakan kongsi perniagaan Riza hanya menyebabkan timbulnya tanggapan kewujudan penggunaan pengaruh dan kuasa wanita yang paling ‘berpengaruh’ di Malaysia itu.

Laman Sarawak Report sebelum ini melaporkan, anak lelaki Rosmah daripada perkahwinan terdahulu membeli hartanah di West 63rd Street di Park Laurel, New York itu, pada 19 November 2012.

Laporan itu memetik laman web syarikat hartanah New York, The Real Deal, menyatakan hartanah membabitkan unit megapuri (penthouse) mewah itu dilengkapi dengan tujuh bilik.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.